Toku berjaya kumpul RM47.26 juta pembiayaan Siri A untuk pengembangan perniagaan di Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

Toku berjaya kumpul RM47.26 juta pembiayaan Siri A untuk pengembangan perniagaan di Asia Pasifik

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26  Okt - Penyedia komunikasi awan, Toku berjaya mengumpulkan AS$5 juta (RM23.63 juta) dalam lanjutan pusingan pembiayaan Siri A, menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan itu sebanyak AS$10 juta (RM47.26 juta).

 

Sambungan itu diketuai bersama oleh Delivery Hero Ventures, cabang modal teroka syarikat penghantaran makanan berpangkalan di Jerman Delivery Hero, konglomerat Malaysia OSK Ventures International dan firma modal teroka Betatron Venture Group.

 

Pengarah Eksekutif  dan Ketua Pegawai Eksekutif OSK Ventures International, Amelia Ong berkata, pengalaman pelanggan menjadi titik fokus penting untuk perniagaan hari ini dan pengembangan Toku yang dipercepatkan di seluruh Asia Pasifik dengan pusingan pembiayaan ini akan memberi kesan positif kepada banyak syarikat.

 

"Syarikat itu akan terus melabur dalam inovasi dan teknologi bagi memberi pengalaman holistik kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bermula dengan lesen telekomunikasi, Toku mendakwa memiliki lebih 60% nombor maya di Singapura tetapi kekurangan inovasi dalam sektor itu menyebabkan mereka bergerak melangkaui telefon tradisional untuk meningkatkan pengalaman pelanggan melalui komunikasi.

 

Toku merekodkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 128% sepanjang empat tahun lalu, termasuk ramalan kewangan keputusan untuk FY22 yang berakhir pada 31 Disember 2022.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Toku, Thomas Laboulle berkata, lanjutan pembiayaan itu adalah bukti keyakinan syarikat berada di landasan yang betul untuk perniagaan terus berkembang di rantau ini.

 

"Kami menghubungkan saluran komunikasi pilihan dan mengumpul data pelanggan bagi memastikan penglibatan adalah relevan dan cekap," katanya. - DagangNews.com