'Leyla's Quest: Echoes of Uthmaniyah' di PBAKL 2024 rai ulang tahun penaklukan bersejarah Uthmaniyah ke atas Konstantaniah | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 20 May 2024

'LEYLA'S QUEST: ECHOES OF UTHMANIYAH' DI PBAKL 2024 RAI ULANG TAHUN PENAKLUKAN BERSEJARAH UTHMANIYAH KE ATAS KONSTANTANIAH

 

 

 

KERUNTUHAN Empayar Uthmaniyah diikuti berakhirnya zaman Khalifah tepat 100 tahun yang lalu merupakan satu daripada peristiwa penting yang mencetuskan era kolonialisma global.

 

Kesan daripada sejarah tersebut terasa di seluruh dunia, hingga hari ini di mana dalam kurun ke 20, dunia Barat mengaggap merekalah pemimpin mutlak dunia. 

 

Masanya telah tiba untuk kesedaran ‘thought leadership’ yang lebih holistik dan inklusif. Kita perlu menyuntik semangat pencarian ilmu dan kebenaran di kalangan generasi muda kita.

 

Lebih penting lagi, kita patut mengkaji dengan terperici peranan negara kita dalam geopolitik dunia selama 2000 tahun yang lampau.

 

Ini merupakan intipati novel terkini bertajuk, LEYLA’S QUEST: Echoes of Uthmaniyah - sebuah novel fiksyen sejarah  mengenai Leyla, seorang e-gamer berketurunan Malaysia-Turki.

 

 

leyla's quest

 

 

Novel ini mengambil masa empat tahun untuk penyelidikan dan penulisan, termasuk lawatan ke beberapa muzium terkemuka di Istanbul termasuk Muzium Panorama, Masjid Hagia Sofia sambil “menikmati angin sepoi-sepoi bahasa di laut Bosphorus."

 

LEYLA’S QUEST sebuah novel yang mencerminkan keinginan mencari kesedaran dan kecelikan sejarah tersendiri. 

 

Dalam LEYLA'S QUEST, usaha menggali sejarah dan warisan melalui sebuah e-game menghubungkan watak Leyla dengan Empayar Uthmaniyah yang telah runtuh.

 

Melalui pencarian harta waqaf Uthmaniyah, Leyla menemui hubungan dengan masa lalunya yang lebih mendalam dan tidak dijangka sama sekali. 

 

Presiden Hubungan Awam dan Komunikasi PRCA Malaysia, Prof. Mohd Said Bani berkata, "Dalam naratif mengasyikkan 'LEYLA'S QUEST: ECHOES OF UTHMANIYAH', Ninot Aziz berjaya menyatukan unsur fiksyen dan sejarah, membangkitkan semangat pencarian ilmu yang tidak pernah luntur.

 

"Melalui lensa kreativiti, Ninot mencabar naratif terkini, menarik pembaca untuk mencari realiti yang tidak diceritakan tentang Empayar Uthmaniyah. Gabungan rekaan dan sejarah ini tidak hanya memukau tetapi juga mendidik, mencerminkan kehebatan Ninot sebagai seorang komunikator.

 

 

leyla's quest
Ninot Aziz menandatangani buku karya di PBAKL 2023 tahun lalu. Pada PBAKL 2024, beliau juga bersedia bertemu para peminat.

 

 

"Di dalam dunia yang dipenuhi dengan laporan berat sebelah, pendekatan beliau berdiri sebagai mercu tanda inovasi, memaksa kita untuk mencari kebenaran yang diselindungi naratif konvensional. Bersedia untuk meneruskan perjalanan di mana rekaan fiksyen menjadi pintu gerbang kepada pencerahan sejarah."

 

Tersirat dalam halaman novel ini adalah bayangan hubungan yang mendalam antara Empayar Uthmaniyah dan Dunia Melayu, yang tersembunyi secara rahsia beratus tahun. Kisah bermula dengan peperangan Uthmaniyah dan Konstantaniah yang kita sedia maklum diikuti peristiwa dunia semasa terutamanya konflik global hari ini. 

 

Sementara itu, seni kulit buku mencerminkan simbol tradisi dan warisan Uthmaniyah dan zaman silam Alam Melayu, menjemput pembaca untuk menyelami naratif yang menerangi sejarah kedua tamadun silam.

 

 

leyla's quest

 

 

Rekaan Kulit Buku ini bermotif bunga tulip tradisional Turkiye, serta herba liar Kepulauan Melayu yang direka oleh Atie Ismail. Rekaan kulit buku ini menyatukan keanggunan sejarah dan kekayaan warisan.

 

Keris berhias emas, lambang kekuatan dan kemakmuran Kesultanan Melaka, berdiri sebagai saksi era kemegahan yang telah berlalu.

 

LEYLA’S QUEST: Echoes of Uthmaniyah merupakan novel terbaru dari Hikayat Fandom diberi sentuhan ilustrasi oleh Ariyana Ahmad, disunting oleh Johnny Gillette, dan direka oleh Atie Ismail akan tersedia di PBAKL bermula dari 29 Mei 2024, hari bersejarah penaklukan Kota Konstantaniah oleh Al-Fateh. Selepas PBAKL 2024, dapatkan novel ini di Galeri Hikayat Fandom di GMBB. 

 

 

leyla's quest

 

leyla's quest

 

 

Pembaca yang berminat boleh membuat membuat tempahan awal di pautan ini atau datang saja  ke Reruai A16, Tingkat 4 di WTCKL sepanjang PBAKL. 

 

Pada masa yang sama, baru-baru ini, tujuh buah buku Ninot Aziz terbitan Hikayat Fandom dan Patriots Publishing telah dipilih untuk dipamerkan di Pesta Buku Antarabangsa Beijing bulan hadapan. Selain itu, DRAGONLORE Dari Timur dan Barat dipilih antara 50 Buku Terbaik Malaysia oleh Majlis Buku Negara.

 

Untuk mendapatkan buku-buku Hiayat Fandom, jemput ke Pesta Buku Antarabangsa, reruai Hikayat Fandom di Tingkat 4 Reruai A16 WTCKL. - DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb

 

Portfolio Tags