Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Dis - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan tahun lalu nyata memberi hikmah buat perniagaan Doctorkayu yang kini memberi fokus kepada perniagaan perhiasan berasaskan kayu termasuk jam dinding.
Perniagaan yang dimiliki Liyana Azim itu pada mulanya tertumpu kepada penjualan perabot namun bertukar arah selepas memiliki sebuah mesin laser bagi memulakan pembuatan jam dinding potret menggunakan kayu.
Pembantu pembuatan Doctorkayu, Norizam Khaled berkata, permintaan terhadap produk berasaskan kayu itu sememangnya tinggi dalam kalangan masyarakat.
Katanya, pihaknya ada beberapa rekaan yang tersedia namun pembeli boleh menentukan rekaan yang diiginkan.
"Kebiasaannya kami akan menggunakan kayu berlapis namun boleh menggunakan bahan lain bergantung kepada kehendak pembeli.
"Buat masa sekarang kami ada beberapa rekaan yang tersedia kepada pelanggan seperti jam dinding, tulisan khat dan rehal," katanya ketika ditemui di Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Mengulas mengenai harga, Norizam berkata, Doctorkayu menjual produk pada harga serendah RM80 namun ia boleh mencecah harga ribuan ringgit bergantung kepada rekaan dan bahan yang ingin digunakan.
"Harga barangan kami sukar untuk ditentukan, kalau saiz besar-besar serta bahan yang digunakan berlainan daripada kebiasan harga memang akan menjadi mahal dan paling mahal kami pernah jual adalah RM2,500," katanya. - DagangNews.com