Skip to main content

Ibraco, Sarawak Metro tandatangani MOU bagi pembinaan Stesen ART di The NorthBank, Kuching

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 28 Jan - Ibraco Bhd (Ibraco) mengumumkan telah memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Sarawak Metro Sdn. Bhd. (Sarawak Metro) untuk bekerjasama membina Stesen Automated Rapid Transit (ART) dalam perbandaran Bersepadu strategik IBRACO di The NorthBank Kuching.

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Ibraco berkata, pembinaan itu bertujuan untuk meningkatkan faedah ekonomi dan sosial projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

 

Katanya, MOU itu bakal membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dan berunding untuk pembinaan Stesen ART di The NorthBank dan sebarang pengaturan perniagaan bersama pada masa hadapan berhubung dengan Projek KUTS. 4

 

"Kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk menyediakan bersama apa-apa dokumentasi teknikal, kewangan, komersial dan apa-apa dokumentasi berkaitan dan/atau maklumat lain yang berkaitan untuk tujuan memeterai perjanjian muktamad berasingan yang berkaitan dengan pembangunan dan pembinaan Stesen ART yang dicadangkan dan penjajaran yang terletak di projek hartanah The NorthBank.

 

"Walau bagaimanapun, kedua-dua pihak tidak akan diwajibkan atau terikat untuk memasuki perjanjian muktamad yang berasingan," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

 

Tambahnya, MOU tersebut akan berkuat kuasa untuk tempoh enam bulan dan dijangka tidak mempunyai sebarang kesan ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, gearing, modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar bagi Syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

 

Sarawak Metro telah diperbadankan di Malaysia pada 26 Februari 2018 sebagai sebuah syarikat sendirian berhad di bawah Akta Syarikat, 2016. 

 

Pada dasarnya syarikat itu terlibat dalam perkhidmatan pengangkutan penumpang kereta api bandar dan pinggir bandar dan aktiviti perkhidmatan lain yang bersampingan dengan pengangkutan darat. 

 

Sarawak Metro ialah anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak dan telah diberi hak untuk melaksanakan dan mengurus Projek KUTS.

 

Ibraco telah ditubuhkan pada tahun 1971 dan disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad. Ia telah berada di barisan hadapan dalam pembangunan hartanah selama lebih 40 tahun. -DagangNews.com