MUZIUM BUDAYA BORNEO - TANDA ARAS BAHARU PEMUZIUMAN DI MALAYSIA
APABILA memperkatakan tentang industri kreatif, mungkin permuziuman merupakan antara satu daripada sektor yang paling jarang diberikan perhatian.
Mungkin atas faktor muzium yang dilihat sebagai sesuatu yang kurang bernilai ekonomi dalam konteks di Malaysia, menyebabkan kita kekurangan muzium yang mempunyai tarikan kunjungan yang kuat, khususnya kepada khalayak antarabangsa.
Permuziuman merupakan sebuah bidang yang berisiko besar untuk menjadi tidak menarik pada mata khalayak umum atas sifatnya yang kental dengan nada budaya dan sejarah – yang jika tidak kena gayanya mampu menjadi sesuatu yang membosankan kepada masyarakat generasi masa kini.
Namun, jika kena dengan pendekatan dan percaturan, ia mampu memainkan peranan yang sangat penting dalam membina keseimbangan antara fungsinya sebagai pusat arkib ketamadunan, serta menjadi destinasi pelancongan yang sangat menarik. Hal ini terbukti dalam kunjungan saya ke sebuah muzium di Kuching, Sarawak baru-baru ini.
Isnin lalu, saya berkesempatan melawat ke Muzium Budaya Borneo (Borneo Cultures Museum) pada hari keenam ia mula dibuka kepada orang ramai setelah dirasmikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Taib Mahmud pada 4 Mac, diikuti pembukaan kepada orang ramai bermula pada 9 Mac yang lalu.
Ia menjadi sesuatu yang sangat dinantikan ramai pihak, khususnya bagi peminat budaya dan sejarah.
Satu daripada pendorong kuat penantian tersebut pastinya memandangkan kerana muzium ini merupakan muzium terbesar di Malaysia, serta merupakan yang muzium kedua terbesar di Asia Tenggara, di samping binaan dan senibinanya yang sangat menyerlah di tengah-tengah bandar Kuching.
Sesuai dengan harapan orang ramai terhadap muzium ini, ia memberikan suatu pengalaman yang begitu segar dalam konteks muzium di Malaysia.
Gabungan elemen interaktif serta memanfaatkan sebaiknya enam deria rasa manusia menjadikan kuratorial pameran di muzium ini menjadi sangat menarik, tidak kira kepada peminat pemuziuman, orang awam, malah kepada golongan kanak-kanak untuk turut mendekati kisah-kisah di sebalik setiap artifak yang dipamerkan.
Menjadi kelaziman malah kemestian dalam dunia kuratorial permuziuman pada masa kini untuk memikirkan sekaligus memberi penekanan terhadap aspek penceritaan dalam setiap pameran yang diadakan.
Muzium tidak harus dilihat sebagai semata-mata sebuah gudang penyimpan barangan, namun menyedari bahawa cerita di sebalik setiap artifak tersebut adalah nyawa dalam susun atur persembahannya.
Teknologi yang diaplikasi tidak harus sekadar mempamerkan unsur kekaguman tetapi harus mendukung kepada penceritaan yang memberikan makna kepada setiap artifak terbabit.
Pengkisahan tersebutlah yang memberikan nilai kepada setiap artifak, dan tanpanya, ia hanya barangan tidak bermakna.
Memasuki sebuah muzium adalah memasuki sebuah perjalanan ketamadunan serta peradaban yang mengasyikkan. Untuk kita melihat masa lalu, sambil mencongak masa depan. Itulah peranan yang harus dimainkan oleh muzium pada masa kini.
Dalam kunjungan saya ke Muzium Budaya Borneo ini, saya dapat merasa hal tersebut. Ia membawa rasa keterujaan, sesuatu yang sememangnya sukar tetapi harus diusahakan oleh seseorang kurator.
Muzium Budaya Borneo ini kini dibuka secara percuma untuk tiga bulan pertama. Bagi memenuhi pematuhan garis panduan dalam situasi semasa, hanya 300 slot pengunjung dibuka pada setiap sessi, dengan dua sesi dibuka setiap hari, pagi dan petang. Pengunjung perlu membuat tempahan secara dalam talian.
Sebaik tempahan dalam talian untuk kunjungan dibuka pada 1 Mac yang lalu, dalam beberapa hari sahaja, slot tempahan untuk sepanjang Mac telah penuh.
Sambutan menggalakkan oleh masyarakat ini memperlihatkan bahawa orang awam sebenarnya optimis untuk berkunjung, meraikan muzium sekaligus menafikan bahawa orang awam tidak berminat dengan muzium.
Apa yang perlu ialah muzium tampil dengan pendekatan yang menarik serta segar.
Tidak keterlaluan rasanya jika saya meletakkan bahawa Muzium Budaya Borneo ini telah meletakkan satu tanda aras baharu kepada dunia pemuziuman di Malaysia.
Dan menjadi tanggungjawab kepada pentadbir dan kurator muzium tempatan yang lain, tidak kira dari sektor kerajaan mahupun swasta untuk memikirkan idea-idea yang lebih baik dalam menandingi apa yang telah dicapai oleh muzium ini.
Saya melihat bahawa dalam konteks yang positif bahawa persaingan itu perlu, untuk semua pihak yang berkaitan bagi sentiasa memikirkan pendekatan serta konsep yang lebih segar dalam persembahan dan penceritaan pameran di muzium masing-masing.
Melalui pergaulan dengan beberapa pentadbir muzium milik kerajaan sebelum ini, saya sangat memahami situasi yang mereka hadapi.
Apabila bercakap tentang peruntukan kewangan kepada pembangunan infrastruktur dan kandungan muzium, ia sering dilihat kurang penting dalam kalangan pembuat keputusan dan ahli politik, suatu situasi yang telah kita hadapi sejak sekian lama.
Namun, saya berharap mereka terus optimis, dan yakin bahawa usaha ini tidak harus berhenti dalam terus memperkasakan dunia muzium di Malaysia.
Semoga akan muncul banyak lagi muzium yang mampu menandingi, atau setidaknya berada pada tanda aras yang telah diusahakan oleh kerajaan Sarawak dan Muzium Budaya Borneo ini.
Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).