Amalan Sunnah dalam Bulan Ramadan
BULAN Ramadan adalah suatu bulan yang penuh dengan ganjaran yang akan dikurniakan oleh Allah SWT kepada para hambaNya yang berusaha beramal sama ada ibadah wajib mahupun sunnah.
Ibadah yang fardu telah menjadi kewajipan bagi setiap orang tanpa mengira bangsa dan bulan. Namun, pada bulan Ramadan pula sangat dianjurkan untuk melakukan ibadah sunat.
Ibadah sunnah juga ada yang boleh dilakukan pada bulan yang lain dan ada yang khusus hanya terdapat dalam bulan Ramadan sahaja. Justeru, masyarakat Islam dianjurkan untuk memperbanyakkan ibadah dalam bulan ini.
Terdapat pelbagai anjuran amalan sunnah dalam bulan Ramadan kepada masyarakat Islam yang boleh dilaksanakan dalam kehidupan seharian untuk menambah keberkatan dan pahala, seperti berikut:
1. Segera berbuka puasa
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi dia menyegerakan berbuka puasa” (Muttafaqun ‘Alaih)
Selain itu, Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: “Manusia akan sentiasa dalam keadaan baik, selagi mereka menyegerakan berbuka puasa. Berbeza dengan orang Yahudi dan Nasrani yang selalu melewatkan berbuka puasa.” (Riwayat Abu Daud)
2. Berbuka dengan buah kurma
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu berbuka puasa, hendaklah dia berbuka dengan tamar (kurma), jika tidak ada, berbukalah dengan seteguk air kerana ia suci.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
Selain itu, Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: “Bahawa Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum mengerjakan solat dengan beberapa rutob (kurma basah), jika tidak ada dengan kurma-kurma kecil, jika tidak ada, dengan air.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
3. Melewatkan sahur
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada keberkatan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Selain itu, Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: “Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW, kemudian kami bangun mengerjakan solat, pernah dikatakan, berapakah jarak antara dua masa tersebut? Jawab baginda: “dengan kadar bacaan lima puluh ayat.” (Muttafaqun ‘Alaih)
4. Menunaikan solat terawih dan merebut ganjaran Lailatulqadr
Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan (solat rerawih) dengan iman dan mengharapkan ganjaran pahala, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Selain itu, Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan solat pada malam Lailatulqadr dengan iman dan mengharapkan ganjaran pahala, maka akan diampunkan dosad-osanya yang lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Selanjutnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah malam Lailatulqadr pada malam-malam ganjil dari sepuluh terakhir Ramadan”. (Riwayat Bukhari).
5. Memanfaatkan Ramadan dengan berzikir dan bersedekah
Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi makan orang yang berbuka puasa, maka baginya pahala sepertimana orang yang berpuasa, tidak akan berkurang sedikit pun pahalanya seperti orang yang berpuasa”.
(Riwayat Tirmizi)
Selain itu, Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: “Adalah Rasulullah SAW merupakan semulia-mulia manusia, Baginda amat mulia (paling pemurah) terutama di bulan Ramadan.” (Muttafaqun ‘Alaih)
Terdapat pelbagai lagi amalan sunnah yang lainnya tidak disebutkan di sini, namun inilah antara amalan sunnah yang mudah untuk dilaksanakan oleh masyarakat Islam dalam kehidupan.
Demikianlah, amalan-amalan sunnah yang boleh diusahakan untuk diaplikasikan sepanjang hari di dalam bulan Ramadan bagi menambah pahala buat bekalan di hari kemudian nanti. - DagangNews.com