Diam Lebih Baik dari Berbicara
Diam bukanlah bererti tidak berbicara langsung, malah diam dalam erti hanya berbicara jika ada keperluan. Diam juga bukan bermakna seseorang itu kalah, tetapi diam itu menandakan kematangan untuk mengalah.
Menahan diri daripada berbicara atau berkata perkara-perkara yang tidak berfaedah adalah salah satu kemuliaan dalam Islam. Nabi SAW menasihatkan agar orang yang beriman kekal diam sekiranya tidak ada perkara yang baik untuk diperkatakan.
Tindakan diam atau tidak berbicara adalah satu tip yang mudah dan senang tetapi masih ramai yang belum dapat amalkan dan laksanakan dalam kehidupan seharian seseorang manusia.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata baik atau diam...” (Riwayat al-Bukhari, no.6475 dan Muslim no.47)
Hadis di atas menunjukkan panduan terbaik atau adab untuk seorang mukmin menguruskan lisan. Berbicara atau bercakap merupakan salah satu medium komunikasi penting bagi manusia untuk saling berinteraksi.
Namun, pada hari ini ramai yang suka berbicara tentang semua perkara. Apabila banyak berbicara, maka ada potensi banyaklah salahnya. Apabila banyak salah, maka banyak kemudaratan yang akan timbul seperti perbalahan, persengketaan, permusuhan dan sebagainya.
Terdapat banyak persengketaan yang wujud hanya kerana lisan yang tidak terjaga. Malah, orang yang sentiasa berbicara tanpa berfikir terlebih dahulu diibaratkan seperti tin kosong yang berbunyi tetapi tiada berguna dan bermanfaat.
Sewajarnya, bagi orang yang beriman menggunakan lidah yang dikurniakan Allah SWT untuk menyampaikan mesej dan info yang bermanfaat dan berusaha tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia.
Seterusnya, memanfaatkan peranan diam sebagai benteng dan perisai bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia atau yang tidak bermanfaat sehingga mencetuskan perkara negatif.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Antara kebaikan keislaman seseorang, dia meninggalkan perkara yang tiada kaitan dengannya.” (Riwayat al-Tirmizi, no.2317)
Imam al-Ghazali pernah berkata: “Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”
Seterusnya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari ini Kami membungkam mulut mereka, tangan merekalah yang berkata kepada Kami dan kaki merekalah yang akan bersaksi terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.” (Surah Yasin: 65)
Setiap percakapan akan dipertanggungjawab dan dipersoalkan di akhirat kelak. Diam memiliki hikmah dan ciri kriteria tersendiri ketika dipraktikkan seperti mengetahui waktu-waktu yang tepat untuk diam dan ketika bila pula bersuara sebagai sikap ketika berinteraksi dengan orang lain.
Diam pada tempatnya boleh menjadi kebiasaan apabila diterapkan dalam diri, dan mampu menjadikan seseorang lebih produktif. Bersikap diam itu juga suatu kebijaksanaan dan keadilan, ilmu dan pengetahuan, bahkan merupakan akhlak baik yang mampu mendidik masyarakat daripada terjerumus ke lembah permusuhan, kekeliruan, negatif dan sebagainya.
Namun, ada ketika diam bukan pilihan yang baik, seperti diam ketika dizalimi atau menyaksikan kemungkaran dan kezaliman. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Katakanlah kebenaran walaupun pahit.” (Riwayat Ibnu Hibban, no.361)
Demikianlah, lidah boleh membawa kebaikan dan keburukan dalam hidup manusia, maka perlulah sentiasa berwaspada dan berhati-hati menggunakan lidah sewaktu berbicara dan berinteraksi.
Seseorang perlu bijak ketika berkomunikasi kerana sekiranya kata yang dilafazkan boleh menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati atau terguris, maka kesannya boleh mendatangkan keburukan. - DagangNews.com
PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD