Ihsan faktor kecemerlangan dalam kehidupan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 24 May 2024 07:00 AM

Ihsan faktor kecemerlangan dalam kehidupan

 

 

TERDAPAT beberapa istilah moden seperti integriti, benar, telus, bijaksana, adil, rajin, tekun dan lain-lain sifat kecemerlangan insan dalam kehidupan yang turut disebut sebagai nilai ihsan.

 

Ihsan ialah tindakan yang dilakukan dengan niat yang keluar dari dalam hati nurani sendiri. Bahkan, ihsan merangkumi semua sifat baik menurut istilah agama yang universal seperti takwa, iman, amanah, syukur, sabar dan Ikhlas.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan ihsan, dan memberikan hak kaum keluarga, dan (Dia) melarang (kamu) daripada melakukan keburukan dan kemungkaran serta kezaliman. Dia mengingatkan kamu semoga kamu mengambil pelajaran.” (Surah al-Nahl: 90)

 

Berdasarkan ayat di atas menjelaskan ihsan seharusnya menjadi budaya insan yang diamalkan sepanjang hayat sebagai tabiat dan kelaziman tanpa wujud paksaan dan lakonan semata.

 

 

irsyad

 

 

Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan (melakukan kebaikan) dalam semua perkara. Oleh itu apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan cara terbaik dan apabila kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan cara terbaik dan hendaklah kamu menajamkan mata pisaunya dan memberi keselesaan kepada haiwan sembelihannya.” (Riwayat Muslim)

 

Hadis di atas menyatakan tentang kewajipan berlaku ihsan dalam semua perkara. Tingkatan ihsan yang paling tinggi dan utama adalah ihsan kepada Allah SWT.

 

Nabi SAW telah menjelaskan ihsan kepada Allah dalam sabda yang bermaksud: “… kalian menyembah Allah seolah-olah kita melihat-Nya, sekiranya kita tidak melihat-Nya maka kita mesti yakin bahawa sesungguhnya Allah SWT sedang melihat kita…” (Riwayat Muslim)

 

Selain itu, ihsan kepada semua makhluk Allah SWT. Makhluk Allah SWT yang paling hampir dan mulia dalam konteks manusia ialah ibu bapa masing-masing. Berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu yang sangat dituntut dalam Islam.

 

Bahkan, perbuatan menyakiti ibu bapa dengan berkata 'ah' sekalipun adalah dilarang dan merupakan perbuatan dosa yang dilarang oleh Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: 

 

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra': 23-24)

 

Selain ibu bapa, dalam konteks sesama manusia perbuatan ihsan dituntut dilakukan kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang fakir serta miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terkandas dan juga hamba yang kamu miliki.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.” (Surah al-Nisa': 36)

 

 

irsyad

 

 

Seterusnya, tuntutan ihsan kepada binatang. Hadis yang telah dinyatakan di atas menunjukkan kaedah cara terbaik ketika membunuh sama ada pembunuhan terhadap manusia ketika dalam peperangan atau selainnya yang diharuskan dalam Islam dan juga pembunuhan binatang sembelihan.

 

Kaedah ihsan ketika membunuh atau menyembelih binatang ialah dengan mempercepatkan kematian binatang tersebut dan bukan dengan cara yang melambatkan kematiannya kerana akan berlaku penyeksaan seperti membakar, menyayat, mengkelar dan sebagainya.

 

Perlakuan ihsan dalam konteks sembelihan ialah dengan cara menajamkan pisau yang diguna untuk menyembelih kerana ketajaman pisau tersebut ketika dihiris ke bahagian yang wajib dipotong ketika menyembelih dapat mengurangkan kesakitan.

 

Seterusnya, memberikan keselesaan kepada binatang yang hendak disembelih seperti antaranya tidak melakukan sembelihan di hadapan binatang yang lain kerana perbuatan tersebut akan mendatangkan keresahan kepada binatang korban yang lain.

 

Demikianlah, panduan dan pedoman yang telah ditetapkan oleh Islam supaya berlaku ihsan dalam setiap tindakan dalam kehidupan selari dengan ajaran Islam yang mementingkan nilai-nilai kebaikan dan kesejahteraan. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews