Pendefinisian Asnaf al-Gharimin menurut Ulama Mazhab dan Ulama Semasa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 07 Jul 2023 07:00 AM

Pendefinisian Asnaf al-Gharimin menurut Ulama Mazhab dan Ulama Semasa

 

 

‘Al-Gharimin’ adalah perkataan bahasa arab merupakan kata majmuk bagi ‘gharim’ yang bermaksud orang yang berhutang atau orang yang terikat dengan perjanjian.

 

‘Al-gharim’ pula adalah pemiutang. Asal bagi perkataan ‘al-Gharm’ dari segi bahasa adalah ‘al-Luzum’ iaitu sesuatu yang melazimkannya.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan kami, jauhkan azab jahannam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal.” (Surah al-Furqan: 65)

 

Ayat di atas menjelaskan azab neraka pasti melazimkan kebinasaan yang kekal. Golongan yang berhutang dinamakan dengan ‘al-Gharim’ kerana hutang itu menjadi kelaziman ke atasnya. Manakala al-Gharim (pemiutang) pula akan selalu melazimi ‘al-Madin’ (penghutang) untuk menuntut hutangnya.

 

Ulama berbeza pendapat dari sudut definisi secara istilah. Menurut mazhab Hanafi mendefinisikan ‘al-gharimin’ sebagai golongan yang berhutang dan tidak memiliki nisab yang melebihi hutangnya.


 

parafrasa
Masjid Mohammad al-Amin di Beirut, Lubnan. - Gambar Marten Bjork

 


Sementara mazhab Maliki pula menjelaskan ‘al-gharimin’ adalah orang yang berhutang dan tidak mempunyai harta untuk membayarnya dan tidak berhutang dalam perkara maksiat.

 

Mazhab Syafie dan mazhab Hanbali pula mendefinisikan ‘al-gharimin’ kepada dua bahagian iaitu pertama, golongan yang berhutang untuk dirinya atau orang lain samada hutang berkaitan kebajikan atau maksiat. Kedua, golongan yang berhutang untuk mendamaikan orang yang berselisih walaupun orang kaya.

 

Sebahagian ulama mazhab Syafie mengkategorikan asnaf gharimin kepada empat golongan iaitu:

1. Golongan yang berhutang untuk mendamaikan pertelingkahan.

2. Golongan yang berhutang kerana maslahat umum seperti meraikan tetamu dan mengimarahkan masjid serta membina jambatan

3. Berhutang untuk tujuan peribadi

4. Berhutang kerana menjadi penjamin.

 

Keempat-empat golongan tersebut boleh disimpulkan dalam dua kategori iaitu golongan yang berhutang untuk mendamaikan persengketaan dan berhutang untuk tujuan peribadi.


 

parafrasa
Masjid Kristal di Kuala Terengganu. - Gambar  Mahmud Ahsan

 


Ulama telah mengkhususkan bahawa golongan yang berhutang untuk mendamaikan pertelingkahan adalah kepada golongan yang berhutang melibatkan pembayaran diat atau menanggung hutang pihak lain yang tidak melibatkan diat seperti pampasan, atau ganti rugi.

 

Ulama kontemporari telah meluaskan makna ‘al-Gharimin’ dengan memberi pandangan keharusan memberi zakat kepada mangsa bencana alam bersandarkan pendapat Mujahid iaitu bahawa golongan ‘al-Gharimin’ termasuk di dalamnya ialah seseorang yang rosak hartanya kerana banjir, terbakar dan seseorang yang mempunyai ahli keluarga tetapi tidak memiliki harta lalu berhutang untuk memberi nafkah kepada ahli keluarganya.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Aku telah menanggung bebanan yang banyak lantas aku pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda mafhumnya : Tetaplah kamu di sini sehingga datang kepada kami sedekah dan kami akan perintahkan supaya diberi kepadamu.

Kata Qabisah: Kemudian Baginda SAW bersabda: Hai Qabisah! Sesungguhnya meminta-minta tidak halal kecuali untuk tiga golongan sahaja.

Lelaki yang menanggung bebanan maka halallah baginya meminta sehingga menyelesaikannya kemudian menyimpannya, lelaki yang ditimpa bencana sehingga binasa hartanya maka halal baginya meminta sehingga mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau menyelesaikan keperluannya, lelaki yang ditimpa kefakiran sehingga datang tiga orang lelaki yang berakal dan bermaruah daripada kaumnya mengiyakannya yang dia telah ditimpa kefakiran maka layaklah untuknya meminta sehingga menyelesaikan keperluan hidupnya.

Hai Qabisah! Selain daripada itu, meminta-minta itu dianggap sebagai haram dan memakannya adalah haram.” (Riwayat Muslim: no.1044 & Abu Daud: no.1640)

 

Al-Marhum Shaikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menyatakan bahawa pengkhususan mengenai sifat al-gharimin ialah antaranya bagi golongan yang terkena bencana alam sehingga binasa harta bendanya dan terpaksa kepada berhutang, maka hukumnya dibolehkan.


 

parafrasa
Masjid Ubudiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar. - Gambar Hongbin

 


Selain itu, pandangan Dr. Husamuddin bin Musa ‘Iffanah, Profesor Fiqh dan Usul dari Universiti al-Quds, Palestin juga menyatakan pandangan yang sama bahawa harus diberikan kepada golongan mangsa bencana alam.

 

Demikianlah, perbahasan ulama silam dan kontemporari secara terperinci berkaitan definisi ‘al-Gharimin sebagai panduan kepada masyarakat Islam untuk membantu golongan tersebut dan pada masa yang sama berhati-hati supaya tidak tersalah agih. - DagangNews.com

 

 

 
PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

parafrasa