Keputusan kewangan Sentral REIT tepati ramalan tahun penuh CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Keputusan kewangan Sentral REIT tepati ramalan tahun penuh CGS-CIMB

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 21 Jan - Keuntungan bersih teras FY21 Sentral REIT secara amnya sejajar, pada 103% daripada ramalan tahun penuh CGS-CIMB namun ia 9% melebihi anggaran tahun penuh konsensus. 

 

Menurut firma penganalisis itu berkata, keadaan operasi keseluruhan bertambah baik pada 4Q21, hasil daripada pembukaan semula ekonomi sepenuhnya dan populasi semula ruang pejabat secara beransur-ansur. 

 

"Ini mendorong pendapatan 4Q21 Sentral REIT naik 2.5% yoy disokong oleh rebat sewa minimum untuk penyewa runcit dan PKS (4% daripada jumlah portfolio NLA) dan pendapatan tempat letak kereta yang lebih kukuh," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Sentral REIT merekodkan pendapatan bersih direalisasikan sebanyak RM19.03 juta bagi suku keempat 2021 (Q4FY21), iaitu 7.6% lebih rendah berbanding pendapatan bersih direalisasikan sebanyak RM20.61 juta yang dicatatkan bagi suku keempat 2020 (Q4FY20).

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, ia memaklumkan, bagi tahun penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY21), ia merekodkan pendapatan bersih direalisasi dan pendapatan boleh agih sebanyak RM84.49 juta, peningkatan sebanyak 4.4% berbanding pendapatan bersih direalisasi dan pendapatan boleh agih sebanyak RM80.95 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.

 

"Pendapatan bersih direalisasikan yang lebih tinggi adalah disebabkan terutamanya oleh kos kewangan yang lebih rendah dan perbelanjaan pentadbiran yang ditanggung dan keuntungan daripada pelupusan Bangunan Quill 5. 

 

"Prestasi 2022 mungkin terus terjejas oleh wabak yang berlarutan dengan kemungkinan kebangkitan semula pandemik COVID-19," katanya, 

 

CGS-CIMB mengekalkan penarafan 'Tambah' dan harga sasaran sebanyak RM1 bagi saham Sentral REIT.

 

"Risiko bagi penarafan kami termasuklah pendapatan yang lebih kukuh, kadar penghunian yang bertambah baik dan pengembalian sewa yang positif. 

 

"Namun kebangkitan semula varian COVID-19 mengakibatkan pengembalian semula langkah sekatan pergerakan, penurunan kadar penghunian dan pengembalian sewa yang lebih lemah merupakan antara risiko penurunan," katanya. -DagangNews.com