Koperasi Masjid Nurul Yaqin : Kisah kejayaan koperasi kariah masjid yang wajar dicontohi | DagangNews Skip to main content

Koperasi Masjid Nurul Yaqin : Kisah kejayaan koperasi kariah masjid yang wajar dicontohi

Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya atau Koyaqin di Kelana Jaya, Selangor.
Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

SAYA memasuki alam koperasi semenjak sekolah di mana menjadi ahli jawatankuasa dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.

 

Penglibatan yang aktif memungkinkan saya belajar selok-belok bisnes yang mencukupi untuk memasuki perniagaan antarabangsa sewaktu berada di Dubai.

 

Koperasi memberikan saya pengajaran yang berguna kerana melalui koperasi dapat menyumbang pelbagai kepakaran dan memperoleh modal yang lebih besar, terutama yang baru mula berniaga.

 

Koperasi berupaya menjadi wadah untuk membantu rakyat memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup melalui aktiviti perkumpulan.

 

Penglibatan anggota dalam aktiviti bisnes koperasi mampu meningkatkan pendapatan untuk menjana pendapatan negara.

 

Hampir satu bilion penduduk dunia sudah mendapat manfaat daripada aktiviti koperasi termasuk mampu menyediakan 100 juta peluang pekerjaan.

 

Dalam berdepan pandemik COVID-19 koperasi dapat membuka luas peranan sebagai benteng membantu masyarakat dan menyumbang kepada pertumbuhan. Seramai enam juta daripada 32 juta penduduk Malaysia (20 peratus) adalah anggota koperasi pada hari ini.

 

Jangan sentiasa mengharapkan bantuan dan ihsan kerana kita mampu berdiri sendiri. Rakyat boleh menyertai koperasi yang sedia ada di komuniti atau membangunkan sendiri koperasi yang boleh memberi manfaat bersama.

 

Modal koperasi disumbangkan oleh anggota dan sepanjang waktu PKP sehingga ke tahap PKP Pemulihan boleh dikatakan ramai yang tidak mempunyai modal besar bagi memulakan perniagaan.

 

Jika tiada modal boleh kumpul modal menerusi koperasi. Kalau tiada kepakaran, cari anggota yang mempunyai kepakaran kerana jawapannya ada pada koperasi.

 

Koperasi menawarkan perniagaan yang selamat dan memberi manfaat persekitaran besar kepada masyarakat setempat kerana tadbir urus yang baik dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

 

 

skm

 

 

Dengan setiap keputusan mempunyai aturan, garis panduan dan punca kuasa yang mengurangkan risiko penyelewangan dan kerugian. Modal anggota boleh ditadbir dengan baik dan efisien mengikut garis panduan.

 

Koperasi perlu memenuhi keperluan anggota dalam aktiviti perniagaannya dengan perniagaan dijalankan koperasi adalah berasaskan kepada keperluan komuniti.

 

Begitupun strategi boleh berubah ubah mengikut keperluan semasa dengan meningkatkan keusahawanan. Koperasi akan menjadi platform kepada usahawan untuk mendapatkan bekalan sumber bahan mentah dengan harga lebih murah selain pasaran yang lebih luas dan terbuka.

 

Banyak koperasi berasaskan komuniti ditubuhkan seperti koperasi kariah masjid, koperasi sekolah, koperasi rukun tetangga dan kejiranan, koperasi peruncitan, koperasi pekerja, koperasi pertanian dan koperasi kredit.

 

Pendekatan menubuhkan koperasi kariah masjid (KKM) sebagai satu instrumen meningkatkan ekonomi, sosial dan budaya. Ini kerana kariah masjid bukan hanya untuk orang Islam, sebaliknya meliputi masyarakat setempat termasuk bukan Islam.

 

Contohnya koperasi masjid yang berjaya dengan cemerlang ialah Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya atau Koyaqin, tempat saya tinggal dari tahun 1990.

 

Pada Persidangan Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan Tahun 2022, Koperasi Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya Berhad telah memenangi Tempat Kedua bagi Anugerah Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan 2022 dengan membawa pulang wang berjumlah RM15,000.

 

 

koop
Pengerusi, Dato Lamien Sawiyo mewakili Koyaqin menerima anugerah daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Datuk Idris Ahmad di Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan pada 8 Mac 2021.

\

Koperasi yang didaftarkan pada 23 Oktober 2015 mempunyai keanggotaan seramai 343 orang serta menjalankan pelbagai aktiviti iaitu CoopMart, Penyelenggaraan bangunan/rumah, Penjualan lembu korban, Perkhidmatan gunting rambut serta Perkhidmatan pakej pelancongan.

 

Dengan cogan kata “Berjemaah Bertambah Berkat” merangkumi prinsip koperasi dimana setiap anggota perlu bekerjasama dalam satu pasukan (berjemaah) untuk mencapai objektif penubuhan koperasi.

 

Mencerminkan Koyaqin sebagai sebuah koperasi masjid dimana semua aktiviti yang dijalankan menjurus kearah mencari keberkatan Allah SWT.

 

Dari sejarah, Koyaqin  terletak di kawasan perumahan SS7 Kelana Jaya telah beroperasi sejak tahun 1993 dan mempunyai sekitar 400 rumah penduduk beragama Islam sebagai kariah. 

 

Salah satu biro yang diwujudkan oleh Pengurusan Masjid ialah Biro Ekonomi yang bertanggungjawab membantu menjana dana untuk menampung kos pentadbiran dan membiayai aktiviti masjid.

 

Begitupun aktiviti Biro Ekonomi agak terhad kerana terikat dengan peraturan ketat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap pengurusan masjid yang melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi yang menggunakan dana masjid.

 

Pada 2015, pengurusan Masjid Nurul Yaqin mula mengkaji kemungkinan menubuhkan satu koperasi yang dapat mengambil alih peranan Biro Ekonomi masjid tanpa melanggar peraturan JAIS.

 

Dengan sokongan dan galakan dari pengurusan Masjid dan juga bimbingan dari pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Selangor dan Ibupejabat, Koperasi Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya Berhad telah diluluskan pendaftaran pada 23 Oktober 2015.

 

Disebabkan  penubuhan Koyaqin telah dipelopori oleh Pengurusan Masjid Nurul Yaqin maka tidak hairan apabila majoriti Lembaga Koperasi pertama Koyaqin dianggotai oleh AJK Masjid.

Nazir Masjid menjadi Pengerusi sementara Setiausaha dan Bendahari Masjid masing-masing memegang jawatan yang sama dalam Koyaqin.

 

masjid

 

Penglibatan secara aktif Pengurusan masjid di peringkat awal penubuhan Koyaqin banyak membantu kerana kebanyakan aktiviti koperasi berpusat di masjid.  Ahli kariah turut merasa lebih yaqin untuk menyokong koperasi.

 

Bagi memastikan penglibatan masjid dalam koperasi akan berterusan, Undang-Undang Kecil (UUK) Koyaqin berkaitan kenggotaan Lembaga Koperasi telah digubal secara khusus dimana sejumlah Anggota Lembaga Koperasi akan dilantik oleh Jawatankuasa Masjid. 

 

Ada ALK yang bertindak sebagai “ALK Pematuhan Syariah” dan merupakan Imam 1 Masjid Nurul Yaqin dan lulus peringkat Sarjana dalam ilmu agama.  Tugas utama ALK Pematuhan Syariah ialah memastikan semua aktiviti yang dijalankan oleh koperasi “patuh syariah” sejajar dengan visi dan misi koperasi.  Ini penting kerana sebagai koperasi masjid wajib menjadikan kepatuhan syariah sebagai teras aktiviti yang diceburi.

 

Aktiviti pertama yang dijalankan oleh Koyaqin ialah operasi kedai runcit yang ditempatkan di dalam kawasan masjid.  Kedai yang diberi nama YaqinMart memulakan operasi pada awal bulan Januari 2016 hanya selepas dua bulan pendaftaran Koperasi diluluskan oleh SKM.

 

Walaupun tidak ada anggota Lembaga yang berpengalaman mengendali kedai runcit, operasi kedai dapat dilaksana dengan masalah yang minimum.

 

Setelah dua tahun beroperasi, Koyaqin berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, Koyaqin memohon bantuan dana dari SKM dan suntikan dana sebanyak RM30,000.00.

 

Pendapatan Yaqinmart meningkat dari satu tahun ke satu tahun. 

 

Pada tahun 2021 sekali lagi Koyaqin telah memohon bantuan dari SKM untuk membina bangunan koperasi yang baru bagi menempatkan Kedai Runcit YaqinMart dan beberapa ruang pejabat untuk disewa. 

 

SKM meluluskanRM200,000 tetapi masih tidak mencukupi untuk menampung semua kos yang diperlukan. 

 

Aktiviti lain Koyaqin adalah Yaqin Bina dalam sektor pembinaan yang melibatkan kerja-kerja penyelenggeraan atau pembangunan. Setakat hujung tahun 2021, Yaqin Bina telah melaksanakan kerja-kerja bernilai sekitar RM1.3 juta.

 

 

yaqin
Satu daripada produk keluaran Koperasi Koyaqin.

 

 

Koyaqin juga mengadakan Yaqin Travel bekerjasama dengan beberapa agensi yang berdaftar untuk menganjur beberapa pakej pelancong untuk anggota, penduduk setempat dan keluarga mereka.

 

Juga menjalankan YaqinCafé yang mula beroperasi pada bulan Disember 2017 dengan menyediakan kemudahan sarapan pagi di ruang legar masjid.  Operasi dikendalikan oleh anggota koperasi termasuk penyediaan juadah.  Sasaran pelanggan ialah Jemaah solat Subuh.

 

Setiap pagi YaqinCafe akan menjual pelbagai jenis kueh mueh dan juadah untuk sarapan.  Ini memudahkan anggota dan penduduk setempat untuk mendapatkan bekalan.  YaqinCafe juga menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah dengan caj minima untuk mereka yang memerlukan.

 

Akhir sekali ialah Yaqin Catering menyediakan juadah berbuka puasa dan makan malam untuk ahli kariah dan mereka yang datang ke masjid untuk berbuka.  Setiap hari sekitar 200 orang akan menggunakan kemudahan ini.

 

Produk jenama Yaqin sebagai salah satu strategi untuk mempromosi dan memasarkan dimana produk pertama ialah air mineral.  Lain-lain produk yang menggunakan logo Yaqin termasuk Minyak Masak dalam botol 2kg dan 5k, Ayam Yaqin dalam pelbagai bahagian, Produk makanan yang dibungkus semula dan Produk minuman

 

Mungkin Koyaqin boleh memasarkan melalui program e–dagang dan memulakan bisnes halal secara mutlak.

 

Sehingga September 2020, sebanyak 1,457 koperasi berdaftar menjadi peruncit dan dijangka sehingga 3,000 koperasi mendaftar menjelang akhir 2021.

 

 

masjid
Dato Lamien Sawiyo (dua dari kanan) bersama pasukan pengurusan Koyaqin bersama plak hadiah pada Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan pada 8 Mac 2022.

 

 

Disasarkan 10,000 buah masjid dan surau di negara ini bakal dapat menubuhkan koperasi kariah yang dilihat berpotensi besar dalam menggerakkan aktiviti masyarakat setempat.

 

Setakat ini, hanya 462 buah koperasi kariah masjid telah didaftarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan keahlian 38,000 anggota dan jumlah aset yang melebihi RM29 juta.

 

Bilangan ini sebenarnya masih kecil lagi kerana di seluruh negara, kita ada 6,514 buah masjid dan 18,279 buah surau yang direkodkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

 

Kerajaan juga menyumbang bantuan sebanyak RM1.90 juta kepada 54 koperasi kariah masjid di seluruh negara bagi tempoh 2016 hingga Mac tahun ini. Dimana sektor pemborongan dan peruncitan merupakan sektor yang mendapat bantuan tertinggi iaitu RM615,625.

 

Koperasi kariah masjid memainkan peranan besar bagi menangani isu kos sara hidup melalui penglibatan koperasi dalam aktiviti peruncitan, pemborongan serta pertanian.

 

Hasil dan pulangan dari aktiviti ini dapat memberi manfaat kepada ahli koperasi kariah sama ada melalui jualan barangan pada harga yang berpatutan atau pemberian dividen serta pengwujudan tabung kebajikan seperti pendidikan dan khairat kematian.

 

Kerajaan turut mengalu-alukan mana-mana koperasi kariah masjid yang baru ditubuhkan agar mendapatkan bantuan di bawah Koperasi Prihatin Rakyat yang menawarkan bantuan sehingga RM100,000. – DagangNews.com