Malaysian Pacific Industries yakin inflasi tidak jejas pertumbuhan bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

Malaysian Pacific Industries yakin inflasi tidak jejas pertumbuhan bagi FY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Malaysian Pacific Industries Berhad optimis untuk mengekalkan perkembangan pertumbuhan bagi FY23 didorong permintaan yang stabil di dalam pasaran walaupun berdepan cabaran kenaikan inflasi serta kekurangan tenaga pekerja serta bahan mentah.

 

RHB Research berkata, kumpulan itu merekodkan hasil yang tinggi bagi FY22 sebanyak RM2.4 bilion dan pendapatan teras sebanyak RM318.1 juta.

 

Firma itu berkata, permintaan yang lebih tinggi merentas semua segmen produk dan pengembangan margin, walaupun kadar cukai lebih tinggi kerana sesetengah produk tidak diberikan pengecualian cukai.

 

Walaupun menghadapi cabaran inflasi dan kekurangan tenaga kerja dan bahan mentah, firma itu menjangkakan pertumbuhan berterusan sehingga FY23 disokong permintaan yang sihat terutamanya dalam segmen automotif dan pengurusan kuasa, termasuk pembungkusan silikon karbida.

 

"M-Site baharu (ruang lantai 70,000 kaki persegi) dijangka memulakan pengeluaran pada awal tahun 2023 bersama-sama dengan ruang tambahan seluas 35,000 kaki persegi di S-Site menjelang 2HFY22 untuk memenuhi permintaan bagi mikro elektro-mekanikal sistem penderia dan produk automotif sebelum permulaan kilang Suzhou baharu menjelang 1HFY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, kilang Suzhou mungkin beroperasi lebih lewat kerana kekurangan bahan mentah disebabkan sekatan pergerakan di China selain pengurangan permintaan untuk pembungkusan.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM44.40.

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana ia mendapat manfaat daripada pelan pengembangannya, usahanya di China dan teknologi pembungkusan termaju iaitu modul kuasa dalam pembungkusan silikon karbida dan galium nitrida untuk ruang elektrifikasi automotif.

 

"Bagaimanapun juga turut berdepan pelbagai risiko termasuk tempahan yang lebih rendah daripada jangkaan, kekurangan bahan mentah dan tukaran wang asing yang tidak menarik," katanya. - DagangNews.com