Prestasi ringgit bukan gambaran situasi ekonomi negara, tegas Gabenor BNM | DagangNews Skip to main content

Prestasi ringgit bukan gambaran situasi ekonomi negara, tegas Gabenor BNM

Cadangan tambatan ringgit atau kawalan modal akan lebih memudaratkan ekonomi negara. - Gambar : Megat Irfan/Unsplash
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Okt - Prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bukan satu-satunya petunjuk yang mencerminkan keadaan ekonomi negara, sebaliknya dipengaruhi pelbagai faktor, demikian tegas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus. 

 

Beliau berkata, kadar tukaran hanyalah salah satu faktor sahaja, sebaliknya adalah penting untuk mempertimbangkan kekuatan dan prestasi positif ekonomi Malaysia. 

 

Jelasnya, pertumbuhan negara adalah teguh dengan pasaran buruh yang sihat dan sistem kewangan berdaya tahan untuk terus melaksanakan peranannya dengan berkesan.

 

Tambahan pula, katanya, Malaysia mempunyai kedudukan luaran yang kukuh dengan lebih banyak aset mata wang asing daripada liabiliti mata wang asing dengan pinjaman mata wang asing hanya menyumbang kurang daripada 3% daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan.

 

"Adalah satu 'kelalaian' di pihak saya jika tidak bercakap mengenai ringgit. Sejak Januari tahun ini, kita menyaksikan ringgit telah menyusut nilai lebih 10% berbanding dolar AS.

 

"Tetapi dalam hal ini, kita perlu jelas bahawa pengukuhan dolar AS adalah fenomena global, dan bukan sahaja melibatkan Malaysia.

 

"Malah, dolar AS kini berada pada paras tertinggi dalam tempoh dua dekad berikutan pengetatan agresif dasar monetari oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) yang meningkatkan kadar dasarnya sebanyak 300 mata asas tahun ini," katanya ketika berucap pada Forum Khazanah Megatrends 2022 hari ini.

 

 

Nor Shamsiah Mohd Yunus
NOR SHAMSIAH MOHD.YUNUS

 

 

Sentimen risiko yang timbul daripada konflik geopolitik dan prospek pertumbuhan global yang sederhana telah meningkatkan lagi permintaan untuk aset dolar AS.

 

Seperti kebanyakan negara di dunia dan sekitar rantau ini, ringgit tidak terkecuali. Mata wang utama ekonomi utama juga menyusut berbanding dolar AS. 

 

"Jika kita melihat bagaimana nilai ringgit berbanding mata wang rakan dagangan kita, ia telah meningkat berbanding beberapa mata wang dan susut nilai berbanding yang lain.

 

"Prestasi ringgit, jika dibuat perbandingan dengan mata wang rakan dagangan Malaysia secara relatifnya stabil. Ini menggariskan titik bahawa kita berada dalam persekitaran kekuatan dolar AS," jelasnya.

 

Nor Shamsiah juga menekankan bahawa kadar pertukaran yang fleksibel terus relevan kerana ia membolehkan negara menyerap kejutan luaran.

 

Katanya, ia juga membolehkan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menetapkan kadar dasar berdasarkan pertumbuhan dalam negeri dan prospek inflasi, dan bukannya dikekang untuk mengikuti dasar monetari ekonomi maju yang lain.

 

"Kini, kita mengetahui yang pergerakan kadar tukaran boleh mewujudkan pemenang dan mereka yang kalah. Tiada lagi kerahuan, pengukuhan dolar AS telah meningkatkan kos import barang termasuk harga makanan kerana ia merangkumi kurang daripada 20% kos pengeluaran.

 

"Kami juga memahami bahawa kenaikan harga terutamanya barang makanan adalah kebimbangan kepada semua orang," katanya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Beliau berkata, walaupun impak kadar pertukaran kepada inflasi bukan satu lawan satu, ia sebahagiannya menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup kerana harga komoditi yang lebih tinggi dan gangguan bekalan menjejaskan harga domestik.

 

"Pelbagai langkah sedang dilaksanakan untuk mengurangkan kesan kenaikan harga ini termasuklah bantuan sosial, menstabilkan harga dan akses kepada barangan keperluan diskaun," tambahnya.

 

Sebaliknya, menurut beliau, penyusutan ringgit dijangka memberi manfaat kepada sektor berorientasikan eksport yang mempunyai lebih daripada 30% pekerja tempatan.

 

Malah, katanya, eksport Malaysia telah meningkat sebanyak 30% tahun ini disokong beberapa faktor, termasuk keuntungan penilaian kadar pertukaran. 

 

"Peningkatan dalam pertumbuhan eksport, sedikit sebanyak menyumbang kepada penciptaan pekerjaan yang lebih tinggi dan kenaikan gaji. 

 

"Ini menunjukkan bahawa adalah penting untuk kita mempunyai ekonomi yang pelbagai bagi membantu mengurangkan kejutan luaran," jelasnya.

 

 

BNM

 

 

Nor Shamsiah berkata, meskipun BNM tidak menyasarkan sebarang tahap kadar pertukaran, tetapi bank pusat itu akan terus memantau dengan teliti dan memastikan keadaan pasaran yang teratur

 

"Mengenai perkara ini, saya harus menekankan bahawa walaupun dengan turun naik yang meningkat dalam pasaran kewangan global, volum transaksi kadar tukaran asing (FX) pesisir dan aktiviti pasaran bon kekal sihat.

 

"Pembaharuan untuk memperdalam pasaran bon domestik telah membantu mengukuhkan asas ekonomi dengan membolehkan perniagaan memenuhi keperluan pembiayaan mereka dengan lebih berkesan," katanya.

 

Beliau juga mengingatkan syarikat korporat Malaysia supaya mengekalkan keadaan pasaran yang teratur dengan mengambil tindakan yang tidak memburukkan lagi keadaan berikutan penyusutan ringgit yang disebabkan pengukuhan dolar AS. 

 

Dalam hal ini, katanya, BNM akan memastikan pasaran tukaran asing kekal cair, supaya perniagaan boleh diyakinkan bahawa semua keperluan mata wang asing mereka dapat dipenuhi dengan cekap.

 

"Jadi tidak perlu membeli atau menambah dolar AS secara ketara. Korporat dan institusi kewangan domestik juga harus berhemat dalam menguruskan kunci kira-kira masing-masing termasuk mengelak daripada mewujudkan kelemahan baharu, terutamanya daripada hutang mata wang asing dan ketidakseimbangan kewangan, serta melindung nilai risikonya dengan sewajarnya," katanya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Nor Shamsiah turut menyarankan perniagaan dan pelabur yang mendapat manfaat daripada penyusutan ringgit supaya mengambil peluang dalam persekitaran ringgit lemah.

 

"Sebagai contoh, bagi mereka dalam sektor pelancongan dan eksport, boleh meningkatkan pengeluaran dan memanfaatkan peluang ini, dan bagi mereka yang mempunyai pendedahan di peringkat global, boleh melabur semula di tanah air," jelasnya.

 

Sekali lagi, beliau mengulangi penegasannya bahawa keutamaan dasar bagi Malaysia adalah untuk mengekalkan pertumbuhan, yang akan memberi sokongan kepada ringgit berbanding menggunakan kawalan modal atau tambatan semula seperti yang dicadangkan oleh sesetengah pihak, kerana ia menimbulkan lebih banyak kemudaratan kepada ekonomi.

 

"Sebagai ekonomi terbuka, keutamaan dasar bagi Malaysia adalah untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran kestabilan harga dan mengukuhkan lagi asas ekonomi melalui pembaharuan yang diperlukan," tegasnya. - DagangNews.com