TNB lancar projek pengukuhan bekalan elektrik di Pulau Pinang bernilai RM500 juta | DagangNews Skip to main content

TNB lancar projek pengukuhan bekalan elektrik di Pulau Pinang bernilai RM500 juta

KUALA LUMPUR 15 Sept - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) melancarkan Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Pulau Pinang melalui talian penghantaran keempat, yang mampu membekalkan sehingga 2,000 megawatts (MW) secara terus dari Grid Nasional di tanah besar ke Pulau Mutiara itu.


 
Sistem penghantaran melalui sambungtara talian atas 275kV sejauh 8.5 kilometer ini, akan direntang selari dengan jambatan pertama Pulau Pinang dengan menggunakan 31 menara tunggal (monopole), menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Stesen Janakuasa (SJ) Perai ke PMU The Light, yang akan dibina di Daerah Timur Laut berhampiran Kem Tentera Batu Uban.

 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam ucapannya berkata, projek pengukuhan bekalan itu amat ditunggu-tunggu penduduk di negeri itu sebagai pemangkin kepada pembangunan Pulau Pinang.

 

Katanya, ia selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang telah digariskan secara komprehensif, lengkap dan menyeluruh. 

 

“Kita boleh merancang dengan teliti, menyusun strategi untuk projek-projek gergasi sekali pun, namun ia tidak boleh dicapai tanpa bekalan tenaga yang mencukupi dan stabil. 

 

"Di sinilah peranan yang dimainkan oleh TNB dengan pelaksanaan projek pada hari ini,” katanya semasa melancarkan projek berkenaan hari ini.

 

Turut hadir, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan Ahli Dewan Rakyat/Negeri Pulau Pinang. 

 

 

TNB
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah) bersama Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (dua, kanan) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din (tiga, kiri) melihat model sambungtara talian atas TNB sejauh 8.5 km yang akan direntang selari dengan jambatan pertama Pulau Pinang selepas Majlis Pelancaran Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik melalui Sambungtara Talian Atas di Pulau Pinang, hari ini.

 

 

 

Berdasarkan fasa pembinaan projek ini, kerja-kerja penyiasatan tanah telah dijalankan sekitar Februari hingga Julai lalu. 

 

Fasa seterusnya adalah kerja penanaman cerucuk di laut, pemasangan menara dan disusuli dengan kerja-kerja merentang pengalir yang dijangka bermula awal Oktober 2022, dengan keseluruhan projek dijangka siap pada 2024.

 

Tiga penghantaran bekalan elektrik sedia ada ke pulau berkenaan adalah melalui kabel dasar laut 132kV dari SJ Prai – SJ Gelugor yang dimula tugas pada 1978; 132kV kabel bawah jambatan (1989) dan 275kV kabel dasar laut dari PMU Juru – PMU Bayan Lepas (1995), di samping SJ Gelugor.

 

Sementara itu, dalam ucapannya, Takiyuddin berkata, pelaksanaan projek talian atas ini amat tepat sekali memandangkan kapasiti penghantaran tenaga elektrik adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan kaedah kabel bawah jambatan dan kabel dasar laut. 

 

Katanya, ia mampu menghantar bekalan 2,000MW daripada SJ Perai ke PMU The Light bergantung kepada permintaan beban di kawasan pulau. 

 

"Projek bernilai lebih RM500 juta itu akan memastikan rakyat dan para pelabur di Pulau Pinang terus menerima bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap, berikutan permintaan dijangka meningkat sejajar pemulihan ekonomi pasca pandemik. 

 

“Pengekalan kestabilan bekalan ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai bidang termasuk perindustrian, pembangunan infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan. 

 

"Malah, talian penghantaran ini sendiri menjadi daya tarikan pelancongan dengan enam daripada 31 menaranya mempunyai reka bentuk ikonik berbentuk buah pinang,” katanya. -DagangNews.com