V.S Industry peruntuk RM50 juta bagi mengurangkan kadar pelepasan karbon | DagangNews Skip to main content

V.S Industry peruntuk RM50 juta bagi mengurangkan kadar pelepasan karbon

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - V.S Industry Berhad dijangka memperuntukkan RM50 juta bagi tujuan pemasangan panel solar di keseluruhan kilangnya dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun sebagai langkah mengurangkan kadar pelepasan karbon.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, selain itu mereka juga akan mewujudkan rangka kerja Etika Pembekal dan Tatacara Alam Sekitar untuk membina rantaian bekalan yang lebih mampan.

 

Firma itu berkata, penilaian dari segi indeks Perikatan Perniagaan Bertanggungjawab (RBA) FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM), mencerminkan usaha berterusannya ke arah tadbir urus korporat yang baik dan amalan mampan yang baik.

 

"PwC telah memuktamadkan laporan bebas mengenai status buruh asing pada Jun 2022 tiada sebarang alam buruh paksa di dalam kumpulan itu.

 

"Mereka juga sudah mengenal pasti ruang penambah baikan dan usaha itu sedang berjalan dengan baik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini

 

Firma itu berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa berjaya memperbaiki situasi kekurangan tenaga kerja kepada kumpulan itu.

 

Katanya, tujuh kumpulan pekerja asing sudah tiba (sejumlah 2,000 pekerja) dan menjangkakan sejumlah 1,700 lagi pekerja akan tiba pada penghujung September 2022.

 

"Difahamkan, sekiranya proses pengambilan pekerja berjalan seperti dirancang dengan 3,700 kuota pekerja asing dapat dipenuhi, kumpulan itu dapat meningkatkan operasinya sebanyak 40%," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.14.

 

"Sebagai pemain industri perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) terbesar di Malaysia dengan rekod yang baik, kami menjangkakan kumpulan itu dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga pekerja selain mencari peluang di dalam sektor perdagangan," katanya. - DagangNews.com