Skip to main content
Kolum Industri Kreatif - 23 April 2021

Industri Kandungan Faktual Malaysia perlu diberi penekanan

 

GENRE kandungan faktual mencakupi kepelbagaian format. Bagi penulisan minggu ini, saya suka untuk mengfokuskan kepada salah satu daripadanya iaitu dokumentari.

 

Dua puluh tahun lalu, dokumentari di Malaysia masih dianggap sebagai bidang kurang berkemampuan untuk mejadi salah satu bidang penting dalam industri kandungan kreatif di Malaysia.

 

kreatif

 

 

Dengan kebergantungan besar industri kandungan kreatif ketika itu kepada penerbitan untuk siaran televisyen, serta kebanyakannya masih bergantung kepada penyiar tempatan, penerbitan dokumentari masih dianggap sebagai tidak mampu menjadi penyumbang yang signifikan – tidak kira dalam konteks penjanaan perniagaan mahupun potensi kerjaya bagi penggiat dan pembikin kandungan tempatan.

 

Setelah 20 tahun, banyak perubahan berlaku.

 

Saya melihat perkembangan positif pembikinan dokumentari di Malaysia apabila Dasar Perfileman Negara (DFN) diperkenalkan – apabila dokumen dasar tersebut secara jelas memperlihatkan hasrat menjadikan dokumentari sebagai antara produk utama kandungan kreatif negara; khususnya di gelanggang antarabangsa.

 

Diakui bahawa kita dapat melihat banyak dasar yang hanya kekal sebagai dasar yang tidak digerakkan secara holistik. Ini termasuk banyak perkara dalam DFN sendiri. Namun, saya melihat ia sedikit berbeza dalam konteks pembangunan dokumentari.

 

Tidak keterlaluan rasanya untuk saya menyatakan bahawa salah satu penyumbang utama membawakan nafas baharu ke sektor penerbitan dokumentari pastinya komitmen pengurusan pihak kementerian yang bertanggungjawab ketika itu - untuk memastikan komponen pembangunan sektor dokumentari yang dinyatakan dalam DFN terbabit benar-benar berjaya direalisasikan.

 

Tahun-tahun pada penghujung 2000-an dan awal 2010-an  menyaksikan fasa peting bagi dokumentari tempatan yang mula memasuki pasaran dan siaran platform antarabangsa.

 

Pihak kementerian dengan penyeliaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) memulakan beberapa siri program khas kerjasama dengan platform penyiar antarabangsa seperti National Geographic, History Channel dan Discovery Channel. Antaranya program seperti First Time Filmmaker dan Eye on Malaysia.

 

 

kreatif
Program `Eye on Malaysia' hasil kerjasama Finas dengan National Geographic.

 

 

Melalui program-program ini, pengarah dan penerbit Malaysia diberikan peluang untuk menghasilkan dokumentari dengan bimbingan dan pemantauan penyiar antarabangsa bagi memastikan kualiti, spesifkasi serta pendekatan dokumentari yang dihasilkan sesuai dengan kehendak pasaran antarabangsa.

 

Ia sebenarnya merupakan fasa penting bagi penerbitan kandungan faktual di Malaysia untuk memulakan langkah meneroka pasaran di luar Malaysia. Ketika itu, kebanyakan penyiar antarabangsa mempunyai standard dan pendekatan spesifik masing-masing.

 

Sebagai contoh, saluran Discovery Channel meletakkan kandungan yang bersiaran di salurannya sebagai bukan sebagai dokumentari konvensional – tetapi dinamakan dengan terma `real life entertainment`- yang mempunyai elemen dan spesifikasi pendekatan penceritaan yang tertentu.

 

Bagaimanapun, secara asasnya, kebanyakan penyiar antarabangsa ini masing terikat dalam kerangka kandungan untuk penyiaran televisyen – dengan format yang masih tidak jauh beza dengan dokumentari untuk televisyen di kebanyakan tempat. Contohnya dari segi durasi, suara latar, dan bukti visualnya.

 

Namun, setidaknya penerbitan dokumentari oleh penerbit Malaysia ini mula memperlihatkan kualiti yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Dengan pengalaman tersebut, ia kemudiannya membuka banyak peluang kepada pembikin dan penerbit tempatan untuk  menerbitkan dokumentari berikutnya secara terus dengan penyiar antarabangsa tanpa bantuan kerajaan.

 

 

kreatif

 

 

Bagaimana pula dengan bidang penerbitan faktual di Malaysia dalam beberapa tahun terakhir ini?

 

Pembangunan teknologi penyiaran dengan perkembangan pelbagai platform penyiaran dalam beberapa tahun terakhir sedikit sebanyak berubah trend penerbitan faktual di Malaysia.

 

Pendekatan penyiaran baharu yang berkembang seperti IPTV, On Demand, OTT,  dan sebagainya bukan sekadar mengubah trend penerbitan, tetapi juga corak kandungan dan penyampaian kandungan faktual yang dihasilkan oleh pembikin dokumentari dan kandungan faktual Malaysia.

 

Dokumentari yang diterbitkan kini lebih bervariasi dan pelbagai. Durasinya lebih pelbagai, dari bentuk penceritaan yang lebih segar, tanpa perlu lagi terikat dengan kerangka penyiar televisyen yang menjadi kelaziman terdahulu. Penerbit dan pembikin berpeluang untuk lebih bereksperimen dan mencuba sesuatu yang berbeza dan baharu.

 

Sesuai dengan trend penontonan semasa yang lebih agresif dan kepelbagaian pilihan - kebanyakan saluran televisyen, termasuk stesen televisyen nasional RTM memperkenalkan slot dokumentari lebih pendek iaitu sekitar 15 minit per episod, setelah ia lebih dahulu diteroka oleh saluran ASTRO Awani.

 

Tambah menarik, beberapa tahun terakhir, muncul beberapa dokumentari yang dibuat secara `feature length` untuk tayangan di pawagam – dengan pendekatan yang lebih sinematik. Antaranya adalah `M For Malaysia` dan `Eye on the Ball`. Ia adalah bentuk yang telah lama wujud di luar negara – namun masih baharu di Malaysia.

 

 

kreatif
Eye On The Ball - contoh dokumentari yang dibuat secara `feature length` untuk tayangan di pawagam.

 

 

Kewujudkan platform seperti Youtube dan Facebook memberikan sumbangan penting dalam pendemokrasian dalam pembikinan kandungan – apabila penghasilan kandungan yang bukan dari pembikin profesional – tetapi juga oleh komuniti dan orang ramai. Muncul mikro dokumentari dengan durasi pendek di bawah 10 minit mahupun 5 minit – yang digunakan sebagai wahana pelbagai tujuan.

 

Platform seperti Instagram dan Tik Tok pula memperhebatkan revolusi kandungan faktual di Malaysia, dengan memungkinkan sekian banyak kandungan dokumentari dihasilkan oleh orang ramai sendiri.

 

Kedua-dua platform ini – ditambah penggunaan telefon bimbit dengan kamera resolusi tinggi yang digunakan sebagai kamera perakam – memunculkan pendekatan baharu dalam bercerita – yang mewujudkan terma dan genre baharu – seperti `vertical storyteller` dan `vertical documentary` - yang mana mereka merakam visual secara vertikal; sesuai dengan kamera telefon pintar yang bersifat menegak itu.

 

Apa sahaja perubahan yang berlaku, saya melihat ia sebagai potensi supaya pembikin dan penerbit untuk tidak tepu dengan pendekatan yang statik. Ia juga membuka segmen pasaran dokumentari yang lebih pelbagai – yang membolehkan setiap segmen pasaran berkembang secara mandiri.

 

Pelabur kandungan mempunyai pilihan pelaburan dengan variasi skala dan variasi risiko – dan tidak perlu lagi berebut `kek yang sama`.

 

Pelaburan penerbitan bukan lagi sekadar bagi kerja-kerja commisioning semata-mata, malah berpotensi untuk membangunkan format dan harta intelek (IP) bagi siri dokumentari yang berpeluang meneroka pasaran berasaskan demografi dan geografi yang lebih pelbagai di seluruh dunia. - DagangNews.com

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

BACA  ARTIKEL INDUSTRI KREATIF INI JUGA : 

Lokasi filem jadi magnet pelancongan pasca COVID-19

Malaysia wajar sertai UNESCO Creative Cities Network (UCCN)

KEDUDUKAN KANDUNGAN KREATIF DALAM WILAYAH EKONOMI & PEMBANGUNAN SERANTAU

Akreditasi & penyumberluaran penting kepada pembangunan kandungan kreatif Malaysia

POTENSI BESAR UNTUK PENERBIT KANDUNGAN DI BORNEO

COVID-19, DTT DAN SALURAN TELEVISYEN TERESTIAL DI MALAYSIA HARI INI

Gelombang Anak Muda Tokusatsu & Harta Intelek

ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?

BIG DATA & POTENSI SILANG INDUSTRI BAGI KANDUNGAN KREATIF

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags