Inisiatif Air Asia - 'Ikhlas untuk Sabah' bantu ringankan beban rakyat Sabah | DagangNews Skip to main content

Inisiatif Air Asia - 'Ikhlas untuk Sabah' bantu ringankan beban rakyat Sabah

Oleh YEO LI SHIAN
l
ishian@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Okt. -  Sebagai usaha untuk meringankan beban komuniti yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di Sabah, airasia.com hari ini melancarkan satu inisiatif derma digital awam ‘IKHLAS untuk Sabah’ menerusi cabang perniagaan mesra Muslim di bawah naungan syarikat penerbangan itu, IKHLAS.

Inisiatif khas merupakan sebahagian daripada perkhidmatan Sedekah di bawah IKHLAS dan orang ramai yang berminat untuk menderma boleh melayari laman ikhlas.com atau memanfaatkan aplikasi airasia.com super app mulai hari ini sehingga 30 November depan.

Menurut Ketua IKHLAS, Ikhlas Kamarudin, usaha airasia.com ini bertujuan untuk memastikan tiada komuniti yang terjejas akibat pandemik di Sabah yang tertinggal daripada menerima bantuan sewajarnya. 

“Walaupun pelbagai organisasi telah menghulurkan bantuan di Sabah, masih banyak lagi komuniti yang belum menerima bantuan dan kami berhasrat untuk membantu seramai mungkin khususnya mereka yang kurang bernasib baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, pihaknya berhasrat meringankan beban sekurang-kurangnya 2,500 buah keluarga daripada pelbagai komuniti menerusi kerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan tempatan Sabah bagi mengenal pasti kumpulan yang memerlukan bantuan.

Antara golongan sasaran bagi inisiatif IKHLAS untuk Sabah ini termasuk keluarga yang kurang bernasib baik, ibu tunggal, orang kurang upaya, komuniti tempatan dan juga pasukan barisan hadapan tanpa mengira agama atau kepercayaan mereka.

Sumbangan dana yang dikumpul akan dimanfaatkan untuk membeli bekalan barang keperluan asas dari peniaga tempatan dan PKS di Sabah, sekali gus membantu perniagaan mereka di waktu sukar ini.

Sejak April 2020, perkhidmatan Sedekah IKHLAS telah menerima dana sebanyak RM1.3 juta melalui inisiatif derma digital awam pertamanya,  ‘Derma dengan IKHLAS’ yang berjaya membantu lebih 15,000 keluarga di seluruh negara. 

Selaku jenama perniagaan di bawah naungan AirAsia.com yang dikhususkan untuk komuniti Muslim di seluruh dunia, IKHLAS menyediakan akses untuk pelbagai amalan berasaskan keimanan termasuk kewajipan agama seperti Umrah, Korban dan pilihan gaya hidup berasaskan hukum Syariah.

Untuk maklumat lanjut mengenai tabung bantuan dan inisiatif akan datang, layari ikhlas.com, atau melalui laman sosial di Instagram ikhlasdotcom dan Facebook ikhlasdotcom. - DagangNews.com