Skip to main content

IOI Corp sasar tanam durian di kawasan seluas 200 hektar dalam tempoh 5 tahun

Tanaman durian akan menjadi fokus IOI Corp untuk mengurangkan kebergantungan kepada penanaman sawit. - Gambar Unsplash/Jonny Clow

KUALA LUMPUR 26 Jan - IOI Corp Bhd. akan memberi tumpuan kepada penanaman durian membabitkan kawasan seluas 200 hektar dalam tempoh 5 tahun (2020 hingga 2024) dalam usahanya mengurangkan kebergantungan kepada penanaman sawit. 

 

Dalam pembentangan slaid sempena Hari Korporat CGS-CIMB ke-14 secara maya, kumpulan itu turut menyasarkan untuk menanam kelapa di kawasan seluas 5,000 hektar dan 300 hektar dengan tanaman kenaf. 

 

Bagaimanapun, IOI Corp. mahu meningkatkan hasil minyak perladangan sebanyak 15% menjelang 2024. 

 

Katanya, sasaran itu boleh dicapai dengan memastikan penggunaan baja yang betul untuk meningkatkan sasaran hasil. 

 

"Kumpulan merancang untuk mengurangkan tenaga kerja lebih daripada 25% dalam tempoh 2 tahun lalu dan meningkatkan produktiviti pekerja ladang sebanyak 3% setiap tahun. 

 

"Di samping itu, IOI Corp. juga mahu meningkatkan jumlah jualan bagi segmen oleokimia sebanyak 15% dan keuntungan sebanyak 25%," katanya seperti dilapor TheEdge hari ini. 

 

Pada Februari lalu, syarikat perladangan ini menjangkakan, ia akan menuai hasil nenas MD2 yang banyak serta tanaman kontan lain apabila ia sudah masak.

 

IOI Corp sebelum ini berkata dengan kecekalan dan kegigihan pasukan Sagil Estate di Tangkak, Johor, 25,000 nanas MD2 telah ditanam setiap bulan sejak Ogos 2020.

 

Pada suku pertama berakhir 30 September 2021, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM277.6 juta, hanya susut sedikit berbanding RM277.9 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat kepada RM3.6 bilion daripada RM2.48 bilion tahun sebelumnya. 

 

Keuntungan bagi segmen perladangan kumpulan dalam suku pertama itu melonjak 78% kepada RM487 juta, manakala segmen pembuatan berasaskan sumber meningkat 16% kepada RM46.1 juta. 

 

Bagi segmen perladangan, IOI Corp. menjangkakan pengeluaran minyak sawit mentah yang lebih rendah daripada jangkaan awal berikutan kesan cuaca buruk yang timbul daripada fenomena La Nina dan situasi kekurangan buruh yang tidak dapat diselesaikan. - DagangNews.com