Skip to main content

IPPTAR tawar 80 kursus tingkatkan kemahiran dalam bidang teknologi penyiaran

Dua pelatih dengan tanda di belakang baju semasa kursus penggambaran studio yang dianjurkan oleh IPPTAR, baru-baru ini. - Gambar IPPTAR
Oleh FAIZAL ZAKARIA

REVOLUSI Industri 4.0 (IR 4.0) yang berlaku pada masa ini menyaksikan teknologi digital mula menjadi tumpuan dunia merangkumi semua sektor industri.

 

Industri penyiaran turut tidak terkecuali daripada terkena tempias ledakan teknologi digital menyebabkan kesemua pemain industri dan pihak berkaitan mula mengatur rentak dan langkah masing-masing agar tidak ketinggalan.

 

Sebagai sebuah institusi penyedia latihan, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) turut mengambil langkah proaktif dalam menyediakan pelbagai kursus sebagai sokongan kepada perkembangan teknologi penyiaran di negara ini.

 

Ketua Bahagian Akademik IPPTAR, Kumaran Subramaniam berkata, institusi itu kini menawarkan kira-kira 80 kursus setahun bagi peringkat asas, pertengahan dan lanjutan melibatkan tiga kluster utama iaitu Industri Kreatif, Komunikasi Strategik dan Kejuruteraan Penyiaran.

 

Kumaran Subramaniam
                   Kumaran Subramaniam

 

Bagi Kluster Industri Kreatif katanya, antara kursus yang ditawarkan adalah berkaitan radio, televisyen, kewartawanan, media baharu serta grafik dan fotografi.

 

Kluster Komunikasi Strategik pula katanya, menawarkan program latihan untuk kakitangan kementerian dan agensi kerajaan dalam bidang berkenaan, manakala Kluster Kejuruteraan Penyiaran pula menawarkan program latihan berkaitan radio, televisyen dan bersepadu.

 

Jelas beliau, kesemua kursus dan latihan yang ditawarkan IPFAR adalah bagi menyeimbangkan antara kualiti dan profesionalisme dalam sektor penyiaran negara yang kini semakin berkembang sejajar dengan perkembangan teknologi.

 

Menurut Kumaran lagi, walaupun fokus utama kursus dan latihan tersebut adalah kepada kakitangan awam dan pemain industri dalam sektor tersebut, namun sejak dua tahun lalu IPPTAR turut menawarkan kursus-kursus jangka pendek kepada orang awam yang dilaksanakan secara dalam talian.

 

“Bagi kakitangan awam dan pemain industri, mereka hanya dikenakan yuran yang sangat minimum iaitu RM50 sahaja untuk kursus yang dilaksanakan antara tiga hingga lima hari.

 

“Ia bertepatan dengan aspirasi Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Mohammad Mentek yang ingin lebih ramai kakitangan awam dan pemain industri menerima pendidikan formal dalam bidang penyiaran menerusi kursus-kursus di IPPTAR.

 

 

Datuk Seri Mohammad Mentek
                  Datuk Seri Mohammad Mentek

 

“Ini kerana beliau percaya kursus tersebut akan memberi impak jangka panjang yang positif kepada RTM (Radio Televisyen Malaysia) dan industri penyiaran tempatan sendiri apabila pemain industri sudah mampu menghasilkan kandungan penyiaran yang semakin berkualiti dan menepati piawaian RTM, selain bertaraf antarabangsa,” katanya.

 

Sehingga kini jelas beliau, seramai kira-kira 2,500 orang telah menyertai pelbagai jenis kursus dan latihan yang ditawarkan IPPTAR setiap tahun melibatkan kumpulan peserta daripada pelbagai sektor.

 

Mengulas mengenai modul yang ditawarkan, Kumaran menjelaskan IPPTAR mengambil pendekatan dengan melihat kepada keperluan berdasarkan bentuk kursus yang ditawarkan.

 

Untuk itu katanya, setiap kluster kursus akan melibatkan tenaga pengajar yang pakar dalam bidang masing-masing dengan modul yang dibangunkan juga akan dikemaskini dari semasa ke semasa selain akan disimpan di dalam pangkalan data utama.

 

Malah ujar Kumaran, IPPTAR juga tidak keberatan untuk menjemput mana-mana tenaga pengajar mahir termasuk dari luar negara bagi memenuhi tuntutan dan piawaian kursus tersebut.

 

IPPTAR

 

IPPTAR

 

IPPTAR

 

IPPTAR

 

Ia katanya, bagi membolehkan setiap peserta mendapat maklumat berkaitan keperluan terkini dalam industri global untuk diaplikasi di dalam kerjaya masing-masing.

 

“Disebabkan IPPTAR juga mempunyai ramai koordinator yang terdiri daripada golongan penerbit rancangan dan jurutera penyiaran RTM yang sememangnya telah mahir dalam bidang masing-masing, maka mereka juga diberi peluang untuk turut menjalankan kursus dan latihan kepada peserta.

 

“Malah, sehingga kini kami kerap menerima jemputan dan pelawaan daripada pelbagai pihak untuk diberikan latihan dan kursus berkaitan industri penyiaran kepada kakitangan mereka.

 

“Ini membuktikan bahawa IPPTAR sememangnya telah diiktiraf sebagai sebuah institusi penyedia latihan khususnya dalam bidang penyiaran dan penerangan di negara ini,” katanya. - DagangNews.com

 

BACA JUGA: IPPTAR komited bantu tingkatkan Industri Penyiaran Negara
 

Kumaran mahu guna pengalaman bantu IPPTAR muncul penyedia latihan terunggul industri penyiaran