Pendefinisian Asnaf al-Riqab menurut Ulama Mazhab dan Ulama Semasa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 30 June 2023

Pendefinisian Asnaf al-Riqab menurut Ulama Mazhab dan Ulama Semasa

 

 

Al-Riqab merupakan salah satu daripada lapan golongan asnaf zakat yang telah dijelaskan dan disebutkan dengan tegas di dalam al-Quran.

 

Al-Riqab adalah perkataan bahasa Arab yang berasal daripada perkataan ‘raqaba’ iaitu mengawasi dan juga membawa makna tengkuk atau leher.

 

Contoh penggunaan perkataannya ialah “keratlah tengkuk musuh kamu dengan pedang” yang membawa makna seseorang terbelengu tengkuknya dan merujuk kepada makna hamba.

 

Makna al-Riqab mengisyaratkan bahawa terdapat belenggu yang menghalang seseorang daripada bebas dan merdeka seperti haiwan peliharaan yang diikat leher. Ia juga kiasan kepada golongan hamba yang dibelenggu dengan perhambaan.

 

Selain itu, Ibn Manzur pengarang ‘Lisan al-‘Arab’ menjelaskan makna dari sudut bahasa lagi ialah merupakan nama Allah SWT iaitu al-Raqib bermaksud yang sentiasa menjaga dan mengawasi dan tidak ada terlepas dari penjagaannya suatu pun. Al-Riqab pula adalah ‘al-raqabah’ iaitu yang dimiliki jadi ia merujuk kepada hamba, kebanyakan ahli tafsir memberi maksud al-raqabah sebagai hamba al-mukatab.


 

parafrasa

 


Secara umumnya, maksud asnaf al-riqab adalah hamba yang perlu membayar sejumlah wang untuk memerdekakan dirinya atau zakat diberi kepada tuannya untuk membebaskan hamba tersebut atau zakat juga boleh diberi kepada hamba tersebut untuk diserahkan kepada tuannya.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) hamba, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orangorang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Taubah: 60)

 

Ayat di atas telah menyatakan lapan golongan yang layak menerima zakat termasuklah al-riqab. Terdapat tiga klasifikasi pembahagian lapan asnaf tersebut;

1. agihan berdasarkan keperluan. Ia termasuklah fakir, miskin, hamba, si berhutang dan ibn sabil.
 

2. agihan berdasarkan pemupukan dan galakan hidup beragama dan moral. Ia termasuklah muallaf dan fi-sabilillah.
 

3. agihan berdasarkan insentif dan motivasi terhadap pengurus zakat iaitu amil.

 

Al-Tabari dalam kitab tafsirnya menjelaskan bahawa ulama berbeza pendapat mengenai maksud al-riqab, namun majoriti ulama berpandangan al-riqab adalah merujuk kepada hamba al-mukatab, iaitu hamba yang dijanjikan pembebasan oleh tuannya sekiranya dia mampu membayar dirinya.

 

Namun, Ibn al-‘Abbas dan al-Hasan menyatakan tidak mengapa membebaskan hamba secara umum menggunakan dana zakat kerana merujuk kepada makna al-riqab adalah merangkumi makna hamba secara umum dan al-mukatab termasuk di dalamnya.

 

Al-Qurtubi dalam tafsirnya juga membawa penjelasan yang hampir sama iaitu terdapat pendapat yang membenarkan zakat digunakan untuk membebaskan hamba dan tidak terhad kepada al-mukatab kerana tujuan pemberian zakat al-raqabah dalam ayat tersebut adalah untuk membebaskan hamba keseluruhannya.


 

parafrasa

 


Menurut pandangan ini juga, al-mukatab dalam hal ini adalah masuk dalam kategori al-gharimin iaitu orang yang berhutang, oleh itu zakat diberikan kepada mereka atas faktor tersebut.

 

Manakala majoriti ulama seperti Sa’id bin Jubayr, al-Nakha‘i, al-Zuhri, al-Layth, al-Syafi’e berpendapat zakat diberikan kepada golongan al-mukatab kerana tujuan zakat adalah diserahkan kepada orang yang memerlukan dan boleh memiliki untuk tujuan tersebut, jadi dalam konteks ini al-mukatab adalah memerlukan dan memiliki duit zakat untuk membebaskan dirinya kerana hal tersebut tidak berlaku dalam hamba yang lain, kerana duit zakat tersebut seolah menjadi manfaat tuannya.

 

Sementara, menurut ulama kontemporari menjelaskan bahawa seperti pandangan al-Bahuti iaitu harus menggunakan dana zakat al-riqab untuk membebaskan orang Islam dalam tawanan musuh, ia bermaksud membebaskan perhambaan melalui tawanan dan padanya wujud memelihara kemuliaan agama.

 

Seterusnya, Zaydan pula melakukan pentarjihan mengenai makna al-riqab sebagai semua makna hamba yang termasuk di dalamnya al-mukatab dan selainnya. Oleh itu, zakat digunakan untuk membebaskan hamba-hamba ini dalam berasaskan pelbagai kaedah pembebasan.

 

Selain itu, Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Rashid Redha dan Syeikh Mahmud Syaltut juga telah meluaskan definisi al-riqab kepada segala bentuk yang bersifat perhambaan dan belenggu iaitu bukan hanya terhad kepada golongan hamba al-mukatab semata-mata, bahkan kepada tawanan-tawanan perang muslim dan negara Islam yang ditakluki atau ditindas oleh orang kafir.

 

Realiti pada hari ini, perhambaan sudah hampir tidak wujud dan tidak kedengaran lagi kerana Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam ‘article 4, The Universal Declaration of Human Right’ yang diumumkan pada 10 Disember 1948 telah menggariskan larangan amalan perhambaan dan perdagangan hamba untuk dilakukan oleh mana-mana negara atau institusi.


 

parafrasa

 


Sebenarnya, Islam telah mendahului deklarasi tersebut dengan menetapkan denda-denda yang melibatkan hukuman memerdekakan hamba seperti hukuman bunuh secara tidak sengaja dan kafarah sumpah.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman.” (Surah al-Nisa: 92)

 

Selain itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba.” (Surah al-Maidah: 89)

 

Terdapat dalam kalangan ulama kontemporari berpendapat bahawa tiada lagi asnaf al-riqab dan harta zakat golongan tersebut boleh diagihkan bahagiannya kepada asnaf-asnaf lain yang memerlukan.

 

Namun, sebahagian ulama kontemporari lain pula telah meluaskan definisi al-riqab kepada segala bentuk yang bersifat perhambaan dan belenggu iaitu bukan hanya terhad kepada golongan hamba al-mukatab semata-mata.


 

parafrasa

 


Demikianlah, peluasan makna al-riqab ini juga difatwakan dan dipraktikkan di Malaysia, antaranya Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan menyenaraikan asnaf al-riqab dengan golongan yang dibelenggu atau dieksploitasi dari aspek pemikiran, harta benda, kekuasaan dan kebebasan yang tidak mampu membebaskan diri dari belenggu tersebut. - DagangNews.com

 

 
PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam  Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags