Pendefinisian Asnaf ‘Fi Sabilillah’ menurut Ulama Mazhab dan Ulama Semasa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 21 July 2023

Pendefinisian Asnaf ‘Fi Sabilillah’ menurut Ulama Mazhab dan Ulama Semasa

 

 

 

BERDASARKAN ayat al-Quran yang dinyatakan di bawah telah menjelaskan bahawa asnaf ‘fi sabilillah’ adalah asnaf yang ketujuh yang layak menerima dana zakat.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya sedekah zakat itu hanyalah bagi orang-orang fakir, miskin, amil, mualaf yang dipujuk hatinya, untuk hamba, orang yang berhutang, pada jalan Allah dan orang-orang yang dalam perjalanan sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Tawbah: 60)

 

Penentuan bilangan asnaf telah disepakati oleh para ulama berjumlah lapan, tetapi kebanyakkan ulama berbeza pendapat dari sudut mentafsir dan menentukan sesuatu asnaf terutama ‘fi sabilillah’.

 

Para ulama mempunyai cara tersendiri dalam mentafsirkan asnaf-asnaf tersebut, di samping memahami nas al-Quran dan Hadis yang merupakan satu daripada faktor dalam menentukan tafsiran asnaf.

 

Pentafsiran sesuatu asnaf adalah penting dan amat diperlukan supaya pengagihan zakat yang dilakukan menepati syariat Islam serta tidak menyimpang dari tujuan pensyariatannya.

 

Menurut bahasa ‘Fi sabilillah’ adalah gabungan tiga perkataan iaitu ‘fi’ bermaksud di atau pada, ‘sabil’ bermaksud jalan atau dalam bahasa Arab yang lain ialah ‘tariq’ dan ‘Allah’. Manakala gabungan ‘fisabilillah’ pula bermaksud jalan Allah iaitu jalan petunjuk.

 

Makna secara istilah pula ialah terdapat pelbagai interpretasi, ada yang bersifat khusus dan ada yang bersifat umum. Para ulama telah membahaskan mengenai istilah ‘fi sabilillah’ berdasarkan hujah dan pandangan masing-masing.


 

Shaikh Dr. Yusof al-Qaradawi
Al-Marhum Shaikh Dr. Yusof al-Qaradawi

 


Al-Marhum Shaikh Dr. Yusof al-Qaradawi menjelaskan bahawa perkataan ‘sabil’ disebut secara mutlak yang bermaksud jihad iaitu berperang menentang musuh-musuh iaitu orang kafir. ‘Sabilillah’ pula bermaksud semua perkara yang mendekatkan diri kepada Allah sama ada berbentuk individu atau organisasi.

 

Secara umum, pentafsiran ‘fi sabilillah’ menurut empat mazhab atau jumhur ulama ialah dengan membataskan skop ‘fi sabilillah’ kepada makna jihad dan perkara yang berkaitan dengannya.

 

Manakala pentafsiran secara terperinci, setiap mazhab mempunyai tafsiran tersendiri kerana perbezaan pendapat dalam memahami maksud ‘fi’ dan ‘lil’ yang terkandung di dalam ayat ‘mustahiq zakat’ iaitu golongan yang layak menerima zakat.

 

Imam Abu Yusuf bermazhab Hanafi menyatakan ‘fi sabilillah’ bermaksud orang fakir yang berperang secara sukarelawan yang terputus dan kehabisan bekalannya. Manakala Muhammad Hasan al-Syaibani dari mazhab Hanafi pula menyatakan ‘fi sabilillah’ ialah orang fakir yang mengerjakan haji dan terputus menyempurnakannya.

 

Pendapat Muhammad Hasan al-Syaibani berdasarkan kepada satu riwayat yang mengesahkan seseorang telah menyerahkan untanya untuk diberi atas keperluan ‘fi sabilillah’ dan orang itu telah diperintahkan oleh Nabi SAW untuk diberikan unta kepada jemaah haji.

 

Mazhab Hanafi bagi kedua-dua pendapat ini telah mensyaratkan miskin atau fakir bagi setiap penerima zakat ‘fi sabilillah’ serta pemberian zakat hanya kepada pemilikan peribadi.

 

Mazhab Maliki pula menjelaskan ‘fi sabilillah’ bermaksud tentera Islam yang pergi berperang. Pejuang Islam yang berperang menentang orang kafir. Muhammad Bin Abdul Hakim iaitu ulama mazhab Maliki berpendapat zakat boleh dikeluarkan untuk penyediaan kelengkapan perang atau kepentingan perang seperti membuat baju perang, senjata, dan sebagainya kerana berdasarkan perbuatan Nabi SAW pernah mengeluarkan zakat dengan seratus ekor unta bagi meredakan api pihak lawan dalam peperangan Sahl Bin Abi Hasma.


 

parafrasa

 


Sementara, mazhab Syafie menyatakan ‘fi sabilillah’ ialah orang yang berperang secara sukarela yang tidak mendapat gaji daripada kerajaan atau pemerintah yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya Minhaj.

 

Imam al-Nawawi juga berpendapat tentera di jalan Allah ini harus disediakan bekalan dan pakaian ketika di medan perang serta ketika dia pergi dan balik walaupun tempohnya lama. Imam al-Nawawi menambahkan lagi bahawa haruslah dibiayai kehidupan mujahid ini serta keluarganya ketika ditinggal untuk berperang.

 

Mazhab Hanbali pula berpendapat ‘fi sabilillah’ ialah orang yang berperang pada jalan Allah yang tidak mempunyai wang yang mencukupi serta tidak mendapat gaji tetap daripada pemerintah sepertimana pendapat mazhab Syafie.

 

Terdapat juga pendapat bahawa jemaah haji dikira sebagai ‘sabilillah’. Mazhab Hanbali juga tidak mensyaratkan miskin malah orang kaya juga diberikan zakat di bawah nama ‘fi sabilillah’. Namun, zakat yang tidak digunakan untuk keperluan berperang haruslah dipulang kembali.

 

Selain itu, zakat dibolehkan bagi pemerintah untuk membeli peralatan perang seperti kuda, alat-alat perang dan sebagainya untuk digunakan daam peperangan walaupun orang yang berperang itu sendiri mengeluarkan zakat.

 

Kesimpulannya, mazhab Hanafi dan mazhab Maliki mempunyai pandangan yang sama dalam mentafsir asnaf ‘fi sabilillah’. Manakala, mazhab Syafie sama pandangan dengan mazhab Maliki. Ini bermakna mazhab Hanafi dan mazhab Maliki berbeza pandangan dengan mazhab Syafie dan Maliki dalam mentafsirkan asnaf ‘fi sabilllah’.


 

parafrasa

 


Walau bagaimanapun, keempat-empat mazhab ini bersepakat pada beberapa perkara terhadap tafsiran ‘fi sabilillah’.

1. Orang yang pergi berjihad termasuk di bawah asnaf ‘fi sabilillah’ berdasarkan kepada sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang pergi berjuang, berperang dan berjihad untuk memastikan kalimat Allah itu di tempat, maka itulah yang dimaksudkan fi sabilillah.” (Muttafaq ‘allaih).

 

2. Agihan zakat harus diberikan kepada pejuang Islam. Namun mereka berbeza pendapat dari sudut hukum membeli peralatan berperang.

 

3. Agihan zakat tidak harus diberikan pada perkara-perkara yang berbentuk kebajikan dan maslahat umum seperti mendirikan sekolah, masjid, membina kubu, tembok, membaiki jalan, mengkhafankan jenazah dan sebagainya. Sebaliknya perkara yang berbentuk kebajikan dan maslahat umum itu ditanggung di bawah baitulmal seperti kharaj, al-fai dan selainnya.


 

parafrasa

 


Demikianlah, perbahasan ulama empat mazhab berkaitan asnaf ‘fi sabilillah’ pada asalnya dan dilihat tidak lagi relevan dengan peredaran zaman sekarang khususnya di Malaysia.

 

Masyarakat Islam khususnya di Malaysia hidup dalam aman dan damai, tidak lagi berperang secara fizikal, melawan musuh malah berperang dari sudut pemikiran dan ideologi dari pelbagai sudut sama ada dalaman atau luaran. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags