Pendefinisian Asnaf Miskin menurut Ulama Mazhab dan Ulama Semasa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 9 June 2023

Pendefinisian Asnaf Miskin menurut Ulama Mazhab dan Ulama Semasa

 

 

MAKNA asnaf miskin adalah berbeza dari asnaf fakir, perbahasan mengenai tafsiran miskin telah dibincangkan secara terperinci dalam kalangan ulama mazhab dan memiliki pandangan yang berbeza.

 

Miskin dikategorikan dalam golongan kedua daripada asnaf zakat selepas fakir. Kalimah ‘masakin’ ialah jama’ dan mufradnya ialah miskin iaitu orang yang berupaya memenuhi hajatnya tetapi tidak mencukupi.

 

Ayat yang menjelaskan asnaf miskin ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah zakat itu hanyalah bagi orang-orang fakir, miskin, amil, mualaf yang dipujuk hatinya, untuk hamba, orang yang berhutang, pada jalan Allah dan orang-orang yang dalam perjalanan sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Tawbah: 60)

 

Berdasarkan ayat diatas, dapat dilihat dengan jelas bahawa asnaf miskin adalah di turutan kedua selepas fakir yang layak menerima zakat dan diikuti oleh asnaf amil, mualaf, al-riqab, al-gharimin, fi sabilillah dan ibnu al- sabil.


 

tnb

 


1. Mazhab Hanafi

Mazhab Hanafi menjadikan sifat meminta-minta sebagai aspek yang menentukan seseorang itu miskin.

 

Mazhab Hanafi juga menjelaskan kategori miskin itu lebih memerlukan bantuan berbanding orang fakir disebabkan meminta-minta dan tidak mempunyai harta walau sedikit.

 

Imam Abu Yusuf meriwayatkan daripada Imam Abu Hanifah bahawa beliau mengatakan bahawa miskin diertikan sebagai orang yang meminta-minta.

 

Begitu juga dengan Ibn al-Humam yang diriwayatkan oleh Abu Hanifah bahawa miskin ialah orang yang langsung tidak memiliki harta serta membenarkan mereka untuk meminta-minta bagi mendapatkan makanan dan pakaian.

 

2. Mazhab Maliki

Mazhab Maliki membuat ukuran miskin dengan meneliti aspek sama ada keperluan yang dimiliki oleh seseorang cukup untuk tempoh setahun ataupun tidak.

 

Al-Dusuki telah menjelaskan asnaf miskin ialah orang yang langsung tidak memiliki sesuatu apa pun. Kedudukan mereka adalah lebih daif daripada kedudukan orang miskin kerana mereka tidak mempunyai sebarang keperluan.

 

3. Mazhab Shafie 

Mazhab Shafie menentukan seseorang itu miskin melalui aspek pemilikan harta dan pekerjaan digunakan sebagai kayu ukur. Ulama mazhab Shafie mendefinisikan miskin sebagai orang yang mempunyai harta atau pekerjaan tetapi tidak cukup untuk menampung keperluannya sama ada meminta-minta atau tidak.

 

Sementara Imam al-Nawawi menjelaskan miskin ialah orang yang mampu mendapatkan keperluannya namun masih tidak mencukupi. Oleh itu, kadar zakat yang diberikan kepadanya perlulah mengikut kadar yang munasabah untuk memenuhi keperluannya.


 

tnb

 


4. Mazhab Hanbali

Mazhab Hanbali menentukan miskin berdasarkan kepada aspek had kifayah. Asnaf miskin adalah yang mempunyai harta, namun tidak sampai sepenuhnya untuk mencukupkan keperluan hariannya.

 

Al-Bahuti mendefinisikan miskin sebagai golongan yang mempunyai harta dan dapat memenuhi sebahagian besar atau separuh daripada keperluannya. Contohnya, seseorang memerlukan RM10 untuk mencukupkan keperluan harian tetapi hanya mempunyai RM8. Maka layak dikategorikan sebagai orang miskin.

 

5. Ulama kontemporari

Tafsiran ulama kontemporari berkenaan istilah miskin dapat dilihat bahawa tidak mempunyai perbezaan yang jauh dengan definisi yang dibincangkan oleh ulama-ulama mazhab terdahulu tentang golongan tersebut.

 

Al-Marhum Shaikh Dr. Yusuf al-Qardawi mendefinisikan miskin sebagai golongan yang dalam kekurangan dan sangat memerlukan. Sementara, al-Zuhaili juga memberi contoh orang miskin ialah seseorang yang memerlukan RM10 tetapi hanya mempunyai RM8 yang tidak cukup untuk dibelanjakan dengan secukupnya pada makanan, pakaian dan tempat tinggal.

 

Seterusnya, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dalam Buku Manual Pengurusan Agihan Zakat pula mendefinisikan asnaf miskin sebagai seseorang yang mempunyai harta atau pendapatan yang melebihi 50% tetapi tidak mencapai had kifayah untuk keperluan asas diri dan tanggungan.


 

tnb

 


Tafsiran ulama kontemporari menunjukkan bahawa asnaf miskin adalah golongan yang tidak mempunyai harta atau hasil pendapatan hanya mencukupi untuk menampung keperluan mereka dari segi makanan, pakaian dan tempat tinggal sahaja. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags