Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia beri peluang usahawan IKS luaskan pasaran  | DagangNews Skip to main content

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia beri peluang usahawan IKS luaskan pasaran 

Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai makanan ringan di gerai Kerepek Bibik Enterprise pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah.
Oleh ZAKI SALLEH 

PASIR SALAK 2 Julai - Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi kelima di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah di sini sangat dinantikan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) apabila mendapat peluang mengetengahkan produk masing-masing.

 

Selain berpeluang mencari peluang dan pasaran baharu, AKM juga membantu usahawan IKS menambah jaringan perniagaan apabila berjumpa secara langsung dengan pelanggan.

 

Che Din Food Industries (Che Din) yang mengusahakan produk makanan dalam tin misalnya meletakkan objektif hadir pada AKM bagi mempromosikan jenama tersebut kepada pelanggan Keluarga Malaysia.

 

Menurut jurutera operasinya, Muhammad Harith Mohd. Khairuddin, 27, menerusi promosi tersebut pihaknya menawarkan harga istimewa bagi tiga produk makanan dalam tin iaitu daging ayam kurma, daging masak hitam dan sardin.

 

"Kami mengadakan promosi jualan sempena kenaikan harga barang iaitu tiga produk tadi pada harga RM20 berbanding harga sebenar RM23.

 

"Jenama Che Din dari Kuala Kangsar merupakan produk bumiputera adalah setanding dengan produk pesaing, malah pada harga lebih mampu beli," ujarnya ketika ditemui DagangNews.com.

 

 

AKM
Muhammad Harith Mohd. Khairuddin mengakui program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah membuka peluang IKS meneroka pasaran perniagaan lebih meluas.

 

 

Produk makanan ringan jenama Aneka Kerepek Bibik Kriuk Kriuk yang diusahakan Habibah Rahim, 40, dan Noraspalela Mat Amin, 47, melihat AKM sebagai platform terbaik memasarkan produk desa.

 

Dua sahabat itu mengusahakan makanan ringan seperti tempeyek kacang tanah, tempeyek kacang dal, kuih siput, popia cheese, bahulu, kuih loyang dan opak original.

 

"Ini merupakan produk usahawan desa dari pekan Chenderong Balai, Teluk Intan. Selain jualan dan promosi, kami juga mengambil tempahan bagi majlis keraian dan perkahwinan.

 

 

AKM
Habibah Rahim

 

 

"Pada pengunjung yang membeli banyak di sini kita akan berikan potongan harga kasih sayang," ujar Habibah.

 

Tidak ketinggalan ialah Imanchateq, yang merupakan pusat rawatan kulit muka yang mempunyai premis di Silibin, Ipoh dan Hulu Perak.

 

 

AKM
Dua petugas Imanchateq menunjukkan pelbagai jenis minyak wangi yang boleh diperolehi di gerai jualan sepanjang program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia negeri Perak.

 

 

Menurut jurukecantikan Imanchanteq, Abbigail, 23, sebagai sampingan pihaknya turut mempunyai rangkaian produk minyak wangi dan freshmatic iaitu semburan haruman untuk rumah.

 

"Produk haruman kita misalnya serendah RM10 iaitu pada harga mampu milik sehingga RM119.90. Minyak wangi Imanchanteq diakui kualitinya oleh pelanggan selain harumannya tahan lebih lama," ujarnya. - DagangNews.com