JKKMAR setuju cadangan laksana RUU Sumbangan Politik - PM | DagangNews Skip to main content

JKKMAR setuju cadangan laksana RUU Sumbangan Politik - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 19 Mei - Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) secara dasarnya bersetuju dengan Cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, bagaimanapun ia perlu dibawa untuk perbincangan dengan ahli Kabinet sebelum mengadakan sesi libat urus dengan parti-parti politik.

 

Jelasnya, skop dasar bagi RUU baharu berkaitan pengawal seliaan sumbangan politik dipersetujui untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri.

 

"RUU ini penting kerana sehingga kini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik dan ia dapat mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik yang memberi impak negatif kepada imej negara dan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat JKKMAR, hari ini.

 

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat turut membincangkan mengenai pengasingan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

 

"Mesyuarat bersetuju supaya kajian yang lebih mendalam dilakukan kerana ianya melibatkan perlembagaan, undang-undang dan kewangan. Kerajaan sentiasa komited untuk menambah baik tadbir urus dan integriti dalam usaha memerangi rasuah di negara ini," katanya.

 

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memperkenalkan Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) iaitu satu pelan komprehensif bagi menginstitusikan prinsip dan amalan tadbir urus baik di semua agensi kerajaan termasuk badan berkanun.

 

Beliau berkata, MyGovernance bertujuan meningkat dan memperkukuh keupayaan penyampaian perkhidmatan awam ke arah mencapai visi nasional serta menangani isu-isu kelemahan tadbir urus aspek kerajaan termasuk badan berkanun. 

 

"Pelan tersebut adalah berdasarkan 4 prinsip tadbir urus baik iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan, dan keberkesanan. Satu jawatankuasa akan diwujudkan bagi pembangunan MyGovernance. 

 

"Selaras dengan pembangunan tersebut, pengukuran tahap kualiti tadbir urus sesebuah institusi kerajaan akan dibuat melalui Malaysian Governance Index (MGI).

 

"Mesyuarat bersetuju dengan pembangunan MyGovernance dan mengesyorkan supaya kajian dan sesi libat urus dilaksanakan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk dibincangkan dalam mesyuarat JKKMAR akan datang," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, selain itu mesyuarat turut bersetuju supaya Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menjadi agensi berpusat bagi pengurusan harta disita dan dilucut hak. 

 

Jelasnya, keperluan menjadikan NFCC sebagai sebuah agensi berpusat adalah amat penting dan perlu disegerakan ke arah usaha yang lebih berkesan bagi membanteras jenayah kewangan dan mengekang ketirisan hasil kerajaan. 

 

"Sebanyak 26 daripada 53 akta berkaitan dengan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut perlu diberi keutamaan untuk dipinda bagi melaksanakan dasar tersebut. Dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak ini akan membolehkan agensi penguat kuasa lebih fokus kepada pelaksanaan siasatan bagi kes-kes jenayah khususnya jenayah kewangan," katanya.

 

Katanya, mesyuarat juga bersetuju supaya kajian yang lebih mendalam dilakukan kerana ia melibatkan perlembagaan, undang-undang dan kewangan. 

 

"Kerajaan sentiasa komited untuk menambah baik tadbir urus dan integriti dalam usaha memerangi rasuah di negara ini," katanya. - DagangNews.com