Jualan kenderaan Oktober melonjak 5.2% | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan Oktober melonjak 5.2%

Proton X50

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Jualan kenderaan di negara ini melonjak sebanyak 5.2% kepada 56,670 unit kenderaan pada Oktober 2020.

 

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memberitahu, jumlah tersebut meningkat berbanding 53,870 kenderaan yang berdaftar pada tahun sebelumnya.

 

"Jualan kenderaan di negara ini meningkat 0.4% daripada 56,444 unit yang didaftarkan pada bulan September.

 

"Ini menjadikan penjualan pada bulan Oktober adalah kedua tertinggi selepas Julai (57,552 unit) bagi tahun 2020," jelas MAA dalam satu kenyataan.

 

Mengulas lanjut, MAA berkata, prestasi jualan yang makin meningkat mengikut perbandingan tahunan dan suku tahunan itu didorong oleh pelancaran model baharu kenderaan.

 

Proton X50

 

Selain itu, kempen promosi kenderaan yang agresif dan berterusan oleh syarikat kenderaan juga menjadi penyumbang kepada peningkatan jualan.

 

Bagi tempoh 10 bulan pertama tahun 2020, jumlah jualan kenderaan di negara ini berada di tahap rendah sebanyak 398,159 (19.86%) berbanding 496,855 yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Bagaimanapun, jualan kenderaan pada November pula dijangka lebih rendah berbanding prestasi yang dicatatkan pada Oktober.

 

Jangkaan itu dibuat susulan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijalankan di semua negeri kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan.

 

Tambah MAA, jangkaan itu turut dinilai melalui kekurangan jumlah pelawat di bilik pameran automotif.

 

"Daripada perspektif pengeluaran, jumlah pengeluaran meningkat 5.12% pada bulan Oktober kepada 58.631 unit, daripada 55.775 unit tahun lalu. 

 

"Sementara itu, jumlah pengeluaran untuk 10 bulan pertama tahun ini menurun sebanyak 22.21% kepada 374.494 unit berbanding 481.428 unit untuk tempoh sama tahun sebelumnya," tambah MAA lagi. - DagangNews.com