Kadar inflasi April tertinggi sejak 2018 | DagangNews Skip to main content

Kadar inflasi April tertinggi sejak 2018

 

 

 

KUALA LUMPUR 21 Mei - Kadar inflasi yang diukur oleh indeks harga pengguna (IHP) pada April 2021 meningkat 4.7%, tertinggi sejak 2018. 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar itu meningkat kepada  123.1 berbanding 117.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Katanya, kenaikan itu dijangka berterusan sehingga suku pertama 2022.

 

"Peningkatan IHP keseluruhan ini adalah didorong oleh kenaikan indeks Pengangkutan (27.0%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (3.1%); Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.9%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (1.6%) dan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (1.2%).

 

"Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga April 2021 menunjukkan peningkatan 1.6% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

"Bagi perbandingan bulanan, IHP turut meningkat 0.2% berbanding Mac 2021 disumbangkan oleh Makanan & Minuman Bukan Alkohol (0.3%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (0.3%); Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.2%); Restoran & Hotel (0.2%); Pendidikan (0.2%); Pengangkutan (0.1%) dan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (0.1%)," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

IHP tanpa bahan api meningkat 1.7% pada April 2021 kepada 113.8 berbanding 111.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

Bagi IHP tanpa bahan api, ia meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.

 

Sementara itu, indeks teras meningkat 0.7% pada April 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (1.6%); Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (1.2%); Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.7%); Pengangkutan (0.6%); Kesihatan (0.5%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (0.4%); Restoran & Hotel (0.2%) dan Pendidikan (0.2%).

 

Menurut beliau, enam negeri iaitu Terengganu (6.3%), Kelantan (5.7%), Pahang (5.6%), Kedah & Perlis (5.1%), Negeri Sembilan (5.0%) dan Johor (4.9%) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 4.7% pada April 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

 

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol. 

 

"Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Pahang iaitu pada 3% diikuti oleh Terengganu (2.8%), Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.6%), Kelantan (2.6%) dan Johor (2.1%)," katanya. - DagangNews.com