Penggunaan media sosial golongan ibu di Malaysia catat peningkatan ketara ketika pandemik - kajian Nuren Group | DagangNews Skip to main content

Penggunaan media sosial golongan ibu di Malaysia catat peningkatan ketara ketika pandemik - kajian Nuren Group

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kaji selidik yang dihasilkan Nuren Group, melalui portal dan e-dagang komuniti keibuan Motherhood.com.my, menunjukkan peningkatan ketara penggunaan media sosial di luar jangkaan dalam kalangan ibu-ibu semasa pandemik dan peralihan ke endemik.

 

Hasil tinjauan daripada Januari hingga Mac, lebih 2,000 ibu di seluruh negara mendapatkan info yang lebih lanjut mengenai tabiat dan penggunaan ibu-ibu di media sosial. 

 

Soal selidik ini juga menunjukkan para ibu di Malaysia berjaya mendapatkan sesuatu maklumat dengan lebih selamat dan membuat pilihan yang bijak melalui media sosial. 

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Nuren Group, Petrina Goh berkata, pelaksanaan sekatan COVID-19 dari 2020 hingga awal 2022, mereka dapati ibu-ibu lebih mementingkan kesihatan diri dan keluarga dan anak-anak kecil di rumah. 

 

"Kerana asyik terkepung di rumah, ibu-ibu terus bergantung kepada media sosial dan internet untuk memperoleh pelbagai maklumat tentang kesihatan diri sendiri dan keluarga yang tersayang, terutamanya anak-anak kecil. Soal selidik ini membantu ibu mendapatkan maklumat tepat yang akan membantu mereka membuat keputusan yang lebih bijak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Petrina, berdasarkan hasil soal selidik itu, pihaknya percaya bahawa ia amat menarik bagaimana pandemik telah menyebabkan peningkatan yang sangat ketara dari segi penggunaan dan kepercayaan para ibu terhadap media sosial. 

 

"Ini bermakna, mereka semakin percaya dan yakin dengan penggunaan media sosial dan mengecilkan lagi jurang antara maklumat atas-talian bagi ibu-ibu di Malaysia. 

 

 

nuren
Statistik tinjauan menunjukkan bagaimana ibu-ibu mendapat maklumat tentang penjagaan kesihatan dan keibubapaan

 

 

"Sebagai jenama yang komited untuk memperkasakan ibu dan seangkatan dengannya secara keseluruhan, kami tidak sabar untuk menjadi suara utama yang memahami dan berkongsi lebih banyak maklumat serta pandangan bersama wanita yang bergelar ibu,” katanya.

 

Katanya, hasil soal selidik itu juga pasti dapat memberi manfaat kepada perniagaan dan jenama-jenama produk kerana ia menunjukkan corak penggunaan atas-talian para ibu selepas pandemik. 

 

Melihat lanjut ke atas tabiat para ibu sepanjang tempoh pandemik, 82% ibu telah beralih ke media sosial ketika masa lapang mereka, dan 38% pula tak lekang dengan telefon sehingga 6 jam sehari.

 

Dalam beberapa jam penggunaan telefon tersebut, 59% ibu mencari nasihat dan petua kesihatan diri, manakala 62% lagi lebih kepada tip-tip dan info keibubapaan. Antara platform yang sering menjadi pilihan para ibu di Malaysia adalah Facebook, Instagram dan YouTube.

 

Motherhood.com.my adalah salah satu platform digital di bawah Nuren Group yang menyediakan maklumat dan kandungan informatif dan menghiburkan untuk bakal ibu, ibu bapa dan para ibu. - DagangNews.com