KUALA LUMPUR 28 Sept - Yinson Holdings Bhd. menerusi cabang penyelesaian teknologi hijaunya, Yinson Green Technologies Pte Ltd (YGT) bersama rakan kongsi Goal Zero Consortium memulakan pembinaan Hydromover iaitu kapal kargo elektrik sepenuhnya dengan bateri boleh tukar.
Naib Presiden Teknologi dan Penerokaan Baharu Yinson, Eirik Barclay berkata, kapal perintis itu dijangka dilancarkan pada suku kedua 2023, lebih awal daripada jangkaan lima tahun sebelum ini.
Katanya, pelancaran lebih awal itu memberi Goal Zero permulaan awal untuk melancarkan kapal kargo serba elektrik yang dibangunkannya.
"Pada masa sama, ia merupakan sumbangan penting kepada matlamat Singapura terhadap semua pelabuhan domestik untuk beroperasi dengan penyelesaian tenaga rendah karbon menjelang 2030 dan mengurangkan separuh pelepasan karbon daripada kapal-kapal ini menjelang 2050," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dibangunkan oleh Goal Zero, Hydromover 18.5m yang ringan mampu membawa kargo sehingga 25 tan (termasuk bateri).
Kapal serba elektrik itu mempunyai sifar pelepasan dan sasaran untuk mencapai sehingga 50% penjimatan kos operasi disebabkan oleh kecekapan tenaga yang lebih baik dan kos penyelenggaraan yang lebih rendah.
Apabila kehabisan bateri, ia boleh ditukar dengan mudah dalam beberapa minit untuk meminimumkan masa henti operasi.
Malah, ia juga akan dilengkapi dengan sistem pengurusan kapal termaju untuk menyediakan kawalan lancar kepada anak kapal serta penderia tercanggih untuk membolehkan kesediaan operasi autonomi pada masa hadapan.
Goal Zero juga disokong rakan kerjasama indusri iaitu Batam Fast Ferry Pte Ltd, Bernhard Schulte (Singapore) Holdings Pte Ltd, DM Sea Logistics Pte Ltd, Marina Offshore Pte Ltd, Kenoil Marine Services Pte Ltd, Lita Ocean Pte Ltd dan Jurong Port Pte Ltd.
Sementara itu, Penolong Ketua Eksekutif (Industri dan Transformasi) MPA, Kenneth Lim berkata, penyahkorban kapal pelabuhan domestik adalah salah satu keutamaan utama di bawah Pelan Tindakan Penyahkarbonan Maritim Singapura 2050.
"Goal Zero menunjukkan komitmen industri maritim untuk bekerjasama dan mempercepatkan elektrifikasi kapal pelabuhan di Singapura," katanya. - DagangNews.com