Kebergantungan kerajaan kepada dividen Petronas dilihat tidak cekap - RHB Research | DagangNews Skip to main content

Kebergantungan kerajaan kepada dividen Petronas dilihat tidak cekap - RHB Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Julai - Di sebalik cadangan kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang dilihat satu perkembangan positif, namun, ia masih kekal membimbangkan terutamanya kecenderungan kerajaan melaksanakan langkah populis secara berterusan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), demikian menurut RHB Research.

 

Pada Jun lalu, Kementerian Kewangan (MOF) dilaporkan akan membentangkan RUU FRA di Parlimen menjelang akhir tahun ini bagi membolehkan negara memulakan inisiatif pembaharuan fiskal.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, RUU itu merangkumi usaha untuk meluaskan asas cukai negara termasuk mengenakan cukai kepada ekonomi bayangan.

 

Malah, ia penting bagi memastikan Malaysia dapat menambah baik cukai pematuhan serta pentadbiran ke arah membantu meningkatkan kutipan cukai.

 

Namun, penganalisis RHB Research, Alexander Chia berkata, negara sudah pun menghadapi prospek cukai yang lebih tinggi, yang mungkin melemahkan daya saing Malaysia berbanding negara serantau.

 

"Kami berpandangan, risiko pengawalseliaan dan dasar akan kekal tinggi, dan akan kembali ke arus perdana wacana pelabur, apabila semakin menghampiri pembentangan Bajet 2023 pada suku keempat 2022.

 

"Walaupun dengan pengenalan RUU ini, kami tetap bimbang tentang kekurangan kemahuan politik yang jelas untuk mencapai penyatuan fiskal yang mampan memandangkan kecenderungan untuk langkah populis yang berterusan menjelang PRU-15," katanya dalam nota kajian. 

 

Lebih membimbangkan, menurut beliau, persekitaran kadar faedah yang tinggi dan peningkatan tanggungan subsidi menyukarkan usaha kerajaan untuk mencapai sasaran defisit perbelanjaan yang ditetapkan bagi tahun ini.

 

Setakat akhir 2021, kedudukan hutang langsung berada pada paras RM979.8 bilion, bersamaan 63% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meningkat kepada RM1.29 trilion atau 83.5% daripada KDNK selepas mengambil kira jaminan hutang.

 

Caj pembayaran balik hutang berada pada paras RM43.1 bilion tahun ini, bersamaan 18.4% daripada jangkaan pendapatan.

 

"Kenaikan kadar faedah dan bil subsidi yang semakin meningkat, hanya akan menyebabkan sasaran defisit fiskal 6% yang disasarkan kerajaan lebih sukar dicapai," tegasnya. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Menurut Chia, Malaysia memiliki sistem subsidi yang kompleks dan berisiko untuk dirungkai terutamanya membabitkan bahan api, elektrik, air dan makanan. 

 

Katanya, dengan peningkatan kos pengeluaran secara berterusan, mengekalkan harga subsidi semakin mencabar dan dalam sesetengah kes, ia boleh menjejaskan pasaran. 

 

"Secara dasarnya, subsidi domestik menjadi isu politik yang hangat terutama menjelang PRU-15, memandangkan Barisan Nasional (BN) yang berhasrat untuk kekal berkuasa dan mendesak pembubaran Parlimen lebih awal. 

 

"Dalam hal ini, sebarang perubahan kepada subsidi menjadi perkara yang sensitif walaupun memberi kesan kepada kewangan awam. Semakin lewat PRU-15 diadakan, ini menjadikan bil subsidi semakin meningkat," jelasnya.

 

Beliau berkata, bil subsidi boleh mencapai RM28 bilion tahun ini berbanding RM11 bilion pada 2021 seperti yang dinyatakan Menteri Kewangan (Tengku Zafrul) sebelum ini, terutamanya dengan harga petrol RON 95 dan diesel yang bersubsidi tinggi, dan (harga) minyak mentah Brent didagangkan melebihi AS$100 setong.

 

"Situasi ini menyaksikan kerajaan akan terus bergantung kepada dividen yang lebih tinggi daripada Petronas sekiranya harga minyak kekal tinggi.

 

"Ini akan menjadi peruntukan yang tidak cekap berikutan sumber yang terhad selain menjejaskan keperluan perbelanjaan dan operasi Petronas," katanya.

 

Bagaimanapun, menurut Chia, pengumuman di luar jangkaan oleh agensi penarafan antarabangsa, S&P yang menaikkan tinjauan penarafan hutang bagi Malaysia kepada stabil berbanding negatif memberi sedikit jaminan kepada pelabur.

 

Namun, katanya, agensi penarafan itu membayangkan bahawa kerajaan komited untuk melaksanakan pembaharuan fiskal termasuklah langkah kritikal dengan memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

 

"Kami percaya GST tidak mungkin dibentangkan dalam Bajet 2023, tetapi akan diumumkan pada Mac 2023, dengan pelaksanaannya pada akhir tahun hadapan atau awal 2024 sekitar paras rendah 1 angka," jelas beliau. - DagangNews.com