Kebun Komuniti UPM capai kejayaan bersama penduduk Taman Perwira | DagangNews Skip to main content

Kebun Komuniti UPM capai kejayaan bersama penduduk Taman Perwira

Abdul Latif Mohamed, wakil komuniti Garden 8 memberikan penerangan pelaksanaan kebun komuniti kepada Profesor Dr. Ismi Arif Ismail di Fasa 4 Taman Perwira, Gombak pada 3 September 2022. - Gambar UPM
Oleh MAHANI AMAT @ HALIMI

Kebun Komuniti Garden 8 yang terletak di Taman Perwira, Gombak dengan keluasan sekitar 400 meter persegi yang mula diusahakan oleh 8 buah rumah (Fasa 1) pada waktu PKP COVID-19 iaitu September 2021, kini telah menunjukkan hasil kejayaan membanggakan.

 

Kini Garden 8 telah berkembang kepada Fasa ke 4 (Mei/Jun 2022) dan melibatkan 36 buah rumah yang telah diinspirasi dengan idea berkebun di belakang rumah.

 

Fasa 4 kebun komuniti Garden 8 ini telah dirasmikan oleh Profesor Dr. Ismi Arif Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia pada 3 September 2022 bertempat di Garden 8. Acara itu turut dihadiri kira-kira 50 orang warga komuniti Garden 8 dan pegawai-pegawai UPM.

 

“Pengenalpastian isu dan permasalahan yang dihadapi oleh komuniti setempat menjadi titik tolak bagi merancang sesuatu program dan aktiviti yang akan dilaksanakan.

 

“Hal ini bagi memastikan bahawa setiap program yang dilaksanakan memberikan impak yang besar kepada komuniti dan menepati kehendak komuniti,” ujar Ismi.

 

Tambah beliau lagi, “program pemindahan ilmu ini yang bermatlamatkan meningkatkan pengetahuan komuniti dan penglibatan pegawai UPM untuk membantu mengatasi masalah kebun yang dihadapi adalah selaras dengan moto UPM iaitu “Berilmu, Berbakti”.

 

“Pengiktirafan Garden 8 sebagai Rakan Kebun Komuniti telah diletakkan di bawah salah satu inisiatif UPM melalui Program Pembangunan Komuniti Pertanian Angkat (Zon Tengah) UPM”, ujarnya.


 

Profesor Dr. Ismi Arif Ismail
Profesor Dr. Ismi Arif Ismail berucap pada majlis Fasa 4 kebun komuniti Garden 8 di Taman Perwira, Gombak pada 3 Sept 2022.


 

UPM
Anak-anak Garden 8 turut memeriahkan majlis dengan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia Garden 8 bersama UPM.

 


Inisiatif ini adalah salah satu usaha untuk menjayakan agenda tanggungjawab sosial UPM sebagaimana yang diuar-uarkan oleh Menteri Kementerian Pengajian Tinggi iaitu Universiti Untuk Masyarakat (UNITY).

 

“Sebagaimana menara seruan Al-Falah, UPM telah bersama-sama membawa dan membimbing komuniti untuk mencapai kejayaan membangunkan kebun komuniti melalui khidmat nasihat dan bimbingan yang berterusan. Kejayaan yang dicapai oleh universiti harus dinikmati bersama masyarakat,” jelas Ismi.

 

Menurut Abdul Latif Mohamed, wakil Garden 8, “Kebun komuniti Garden 8 terus memberikan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia hasil kesepakatan jiran tetangga yang membawa berkat”.


 

UPM
Idea kreatif warga komuniti Garden 8 menggunakan bahan terbuang untuk dijadikan tempat penanaman dan hiasan.

 


Buktinya, Garden 8 telah berjaya mengaplikasikan ilmu yang dikongsikan oleh pegawai di UPM sehingga mampu menghasilkan sumber makanan untuk keperluan sendiri dan komuniti setempat melalui Program Sunday Market yang diadakan sebulan sekali pada minggu akhir”.

 

Pelbagai jenis tanaman sayur-sayuran yang telah ditanam seperti terung, cili, sawi, kobis, cendawan dan tanaman herba  yang turut diselang seli dengan kepelbagaian tanaman bunga-bungaan dan hiasan taman menyerikan lagi kebun Garden 8.

 

Uniknya, Garden 8 turut mempunyai tanaman yang jarang dilihat seperti kacang itik, kacang batik, heirloom tomato, pink tomato, habanero, ubi kerinting, dan banyak lagi.


 

UPM
Perasmian Fasa 4 Garden 8 oleh Prof. Dr Ismi Arif Ismail sambil disaksikan oleh Pengarah UCTC UPM, Prof. Dr. Loh Teck Chwen

 

UPM

 

“Kawasan belakang rumah yang dahulunya tidak terurus kini berubah landskap menjadi sebuah kebun yang bukan sekadar sumber makanan segar dan selamat, tetapi ia juga merangkumi pelbagai fungsi seperti taman mini rekreasi, pendidikan, mengamalkan kitar semula dan merapatkan ukhuwah sesama jiran,” ujar Abdul Latif.

 

Penglibatan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula sejak awal penubuhan Garden 8 melalui aktiviti perkongsian ilmu dan kepakaran berkaitan kaedah semaian dan penanaman anak pokok telah membantu komuniti Garden 8 membangunkan kebun komuniti.

 

“Di antara program pemindahan ilmu UPM yang telah dikongsikan kepada warga Garden 8 seperti demonstrasi penanaman sayur berdaun dan pengurusan kompos dari sisa dapur, demonstrasi pengurusan dan kawalan serangga dan pengurusan tanaman cendawan tiram, perkongsian ilmu berkaitan asas pengurusan ternakan kelulut, karnival Garden8 dan menyediakan set sistem pengairan secara automatik yang lebih efisien dengan penggunaan teknologi pintar”, jelasnya lagi.

 

Perkongsian ilmu penanaman ini turut melibatkan pegawai dari Fakulti Pertanian, Pusat Pertanian Putra, dan Cirnet.

 

Sempena Majlis Perasmian Fasa 4 Kebun Komuniti Garden 8, UPM turut menyumbangkan tiga unit log kelulut spesies Heterotrigona itama kepada komuniti Garden 8 untuk mewujudkan ekosistem semulajadi yang lebih lestari sebagai agen pendebungaan.


 

UPM
Penyerahan Log Kelulut dari UPM kepada Komuniti Garden 8

 


Di samping itu, sumbangan ini sebagai tanda sokongan UPM bagi meningkatkan lagi motivasi dan semangat warga komuniti Garden 8 untuk terus bercucuk tanam dan menjadi contoh kepada seluruh rakyat Malaysia. 

 

Turut bersama di dalam program ini adalah Pengarah UCTC UPM, Prof. Dr. Loh Teck Chwen; Timbalan Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr Khairulmazmi Ahmad; pegawai Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Kementerian Pengajian Tinggi, pegawai-pegawai UPM dan komuniti warga Garden 8 seramai 50 orang. – DagangNews.com

 

Mahani Amat@ Halimi merupakan Pegawai Pertanian Kanan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Putra Malaysia