Kelangsungan hidup Sapura Energy bergantung kepada penstrukturan semula hutang | DagangNews Skip to main content

Kelangsungan hidup Sapura Energy bergantung kepada penstrukturan semula hutang

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Jun - Sapura Energy Bhd. menduduki carta kaunter paling aktif pagi ini dengan menokok lebih 20% setelah kumpulan kembali meraih keuntungan apabila mencatat untung bersih RM92 juta pada suku pertama berakhir 30 April 2022, berbanding kerugian bersih RM97.1 juta pada suku sama setahun lalu.

 

Setakat 9.08 pagi ini, harga saham syarikat yang bergelut dengan masalah kewangan itu meningkat 1 sen atau 22.22% kepada 5.5 sen dengan 21.91 juta saham diniagakan. 

 

Prestasi kewangan pada suku tersebut juga adalah lebih baik daripada suku sebelumnya yang mana mengalami kerugian bersih sebanyak RM6.8 bilion.

 

Ini juga adalah kali pertama Sapura Energy mencatat keuntungan selepas mengalami kerugian selama 5 suku berturut-turut sejak suku keempat berakhir 31 Januari 2021.

 

Pendapatan pada suku berkenaan bagaimanapun menurun kepada RM886.1 juta daripada RM1.47 bilion yang dicatat pada suku sama setahun lalu.

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisis CGS-CIMB Research Raymond Yap berkata, di sebalik prestasi sukuan yang lebih baik, masih terdapat banyak cabaran dengan kontrak lama yang merugikan merangkumi sehingga satu perempat dan satu pertiga daripada hasil tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23).

 

Katanya, ia juga mungkin berlanjutan sehingga FY24 dengan kontrak fabrikasi Platform Pemprosesan Berpusat (CPP) yang bermasalah untuk projek 98/2 Oil and Natural Gas Corporation (ONGC).

 

"Pada masa sama, kami juga bimbang dengan peruntukan tambahan kos di sebalik langkah penstrukturan semula yang dilaksanakan pada suku keempat FY22. 

 

"Kami berpendapat, Sapura Energy akan terus menghadapi cabaran kecairan dan pelaksanaan, serta penstrukturan semula hutang yang kompleks," jelasnya. 

 

Sehubungan itu, beliau mengekalkan saranan 'kurang' terhadap saham Sapura Energy dengan harga sasaran (TP) masih dinilai pada 0.5 sen. 

 

"Sapura Energy perlu memastikan pelan penstrukturan hutangnya berjaya, bagi mengelakkannya berdepan risiko nyahsenarai," tambahnya.

 

 

sapura energy

 

 

Baca : Sapura Energy kembali catat untung sebanyak RM91.93 juta bagi 1QFY23

 

Sapura Energy kini diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 dan pelan penyusunan semula, berdasarkan Pelan Set Semula Kumpulan, sedang dirumuskan.

 

Pelan Tetapan Semula Sapura Energy, yang dimulakan pada Disember 2021, bertujuan untuk mewujudkan kemampanan jangka panjang dengan membina semula kunci kira-kira kumpulan, meningkatkan rangka kerja pengurusan operasi dan risikonya, dan melakarkan hala tuju perniagaan masa depan melalui rasionalisasi portfolio. Setakat ini, pelaksanaan Pelan Tetapan Semula kekal di landasan yang betul.

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengulangi saranan 'jual' terhadap Sapura Energy dengan TP 1 sen. 

 

Penganalisisnya, Jeremy Yap berkata, kumpulan memerlukan lebih banyak masa dan usaha untuk memulihkan operasinya dan kembali mencatat keuntungan yang mana ia mungkin tidak berlaku dalam tempoh terdekat. 

 

"Kami bimbang mengenai kecairan operasinya daripada kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan dan keupayaannya untuk memperoleh kontrak pada masa depan disebabkan kelemahan lembaran imbangannya.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan cabaran semasa dan ketidaktentuan akan berterusan sepanjang FY23," katanya. 

 

Hutang bersih kumpulan terus merosot, meningkat kepada RM10.2 bilion pada suku pertama FY23 berbanding RM9.9 bilion pada akhir FY22.

 

Setakat akhir April 2022, nilai kontrak Sapura Energy berjumlah RM8.3 bilion manakala RM23 bilion masih di peringkat bidaan.

 

Yap berpendapat kumpulan akan berdepan tugas yang sukar untuk memulihkan operasinya dalam jangka masa terdekat dan sederhana disebabkan peningkatan lebihan kos dalam projeknya dan isu kecairan daripada kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan kerana ia kini secara rasmi merupakan syarikat PN17.

 

"Selain itu, risiko penyampaian dan pelaksanaan kerja Sapura Energy masih belum menunjukkan rekod prestasi yang memuaskan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan ketidakupayaannya untuk memperoleh kontrak kerja ekoran kedudukan lembaran imbangannya yang mencabar," jelasnya. - DagangNews.com