Kemungkinan pelan penswastaan KPJ masih ada - MIDF | DagangNews Skip to main content

Kemungkinan pelan penswastaan KPJ masih ada - MIDF

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Okt. - MIDF Research melihat masih terdapat kemungkinan terhadap cadangan penswastaan KPJ Healthcare Bhd. meskipun kumpulan rangkaian penjagaan kesihatan itu mengumumkan tidak menerima mana-mana cadangan sedemikian setakat ini. 

 

Awal bulan ini, Johor Corp. (JCorp) dan firma dana ekuiti dari Amerika Syarikat (AS), TPG Capital dilaporkan untuk mempertimbangkan mengenai pelan penswastaan KPJ yang akan meningkatkan nilai kumpulan kepada RM5.4 bilion. 

 

Cadangan itu menyaksikan harga saham KPJ mungkin mencecah sehingga antara RM1.20 hingga RM1.25 sesaham.

 

"Selain TPG, ekuiti persendirian lain juga dipercayai sedang mempertimbangkan untuk mengambilalih KPJ yang memiliki 28 rangkaian hospital di seluruh negara," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada 6 Oktober lalu, KPJ mengesahkan tidak menerima tidak menerima sebarang cadangan penswastaan daripada mana-mana pihak setakat ini. 

 

Sebaliknya, kumpulan itu berkata, akan membuat pengumuman penting seperti mana dikehendaki oleh Syarat Penyenaraian Papan Utama jika dan apabila cadangan itu diterima.

 


Baca : KPJ sahkan tiada makluman berhubung cadangan penswastaan setakat ini 

 

Baca : TPG Capital, Johor Corp dilapor pertimbang jadikan KPJ Healthcare syarikat persendirian

 

 

Setakat 9.43 pagi ini, saham KPJ susut 2 sen atau 1.75% kepada RM1.12 dengan 179,200 saham diniagakan.

 

Firma itu menyemak turun penarafan KPJ kepada 'neutral' berbanding 'beli' sebelum ini dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.12. 

 

Jumaat lalu, KPJ bersama Al Aqar Australia Pty Ltd (AAA) menyemak semula kadar sewa hartanah milik AAA yang digunakan KPJ Jeta Gardens sebagai pusat penjagaan warga tua di Brisbane , Australia menerusi perjanjian sewa baharu.

 

Hartanah itu dinilai pada harga AUD28.5 juta (RM87.9 juta) berdasarkan kadar asas sewa yang disemak semula kepada 6.5%, berkuat kuasa 2 Oktober 2021 hingga 1 November 2023. Jeta Gardens adalah anak syarikat KPJ, yang memiliki 57.2% pegangan.

 

"Berdasarkan kepada pandangan KPJ mengenai semakan semula kadar sewa ini, kami percaya ia adalah munasabah dengan mengambil kira keadaan semasa. 

 

"Malah, kami juga mendapati, semakan semula ini tidak memberi kesan kepada keseluruhan operasi KPJ, prestasi kewangan dan pemegangan saham.

 

"Bagaimanapun, kami menyemak turun penarafan KPJ. Kami percaya sektor penjagaan kesihatan akan mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi," katanya. 

 

Namun, MIDF Research berkata, terdapat risiko penurunan dalam semakan semula itu meskipun ia tidak memberi sebarang kesan kepada prestasi kumpulan.

 

Ini termasuklah ketidakpastian operasi Jeta Gardens, industri penjagaan warga emas yang tidak menentu di Australia dan kos operasi yang tinggi disebabkan pandemik yang berterusan dan menyediakan rawatan perubatan tambahan kepada penyewa di Jeta Gardens. 

 

"Australia sedang berusaha untuk bangkit kembali kepada fasa pemulihan ekoran sekatan pergerakan baru-baru ini, yang menyebabkan kelembapan aktiviti ekonomi.

 

"KPJ pula sebelum ini melaporkan kadar penghunian bagi hartanah itu jatuh kepada 79% pada akhir 2020, justeru, kami berpendapat penularan wabak baru-baru ini dan tambahan kepada operasi sempadan yang ketat, kadar penghunian Jeta Gardens akan terus terkesan dalam tempoh terdekat," jelasnya. 

 

Pada masa sama, firma itu melihat kadar sewa yang rendah akan menyokong kadar penggunaan yang rendah, di samping mengekalkan kualiti dan tempoh operasi bagi hartanah berkenaan. 

 

"Malah, Australia turut memperkenalkan pelbagai langkah fiskal dan monetari pada Mac 2020 termasuk kadar faedah rendah bagi membantu pemulihan ekonomi, dan ini dilihat memainkan peranan penting bagi mengimbangi kadar penghunian yang rendah di Jeta Gardens," katanya. -DagangNews.com