Kenaikan harga bahan mentah dijangka jejaskan segmen makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan Nestle | DagangNews Skip to main content

Kenaikan harga bahan mentah dijangka jejaskan segmen makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan Nestle

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Mac - Kenaikan harga bahan mentah yang diburukkan lagi dengan konflik Rusia-Ukraine dijangka menjejaskan margin keuntungan segmen makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan Nestle (Malaysia) Bhd. 

 

Ini kerana menurut MIDF Research, kacang soya dan gandum merupakan bahan utama bagi burger bebas daging di bawah jenama Harvest Gourmet. 

 

Katanya, di sebalik inisiatif pengurusan kos kumpulan, kenaikan harga bahan mentah yang berterusan, kemungkinan membawa kepada kenaikan harga bagi segmen tersebut.

 

"Disebabkan kebanyakan pengguna Malaysia yang sensitif kepada harga, kami berpendapat kenaikan harga dalam segmen produk berasaskan tumbuhan yang sudah pun premium akan menyebabkan pertumbuhan segmen yang lebih perlahan kerana pelanggan akan beralih kepada pilihan yang berpatutan.

 

"Walaupun kami berpendapat mungkin kumpulan akan melepaskan sebahagian daripada kos kepada pengguna akhir, tetapi kami tidak fikir ini akan menjadi besar kerana Nestle komited untuk mengekalkan jenamanya sebagai pilihan makanan yang mampu dimiliki rakyat di negara ini.

 

"Oleh itu, kami berpendapat kenaikan harga tidak begitu ketara untuk menampung peningkatan kos operasi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Nestle telah melabur sebanyak RM150 juta untuk menubuhkan kemudahan pembuatan penyelesaian makanan berasaskan tumbuhan di Shah Alam, yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, dan salah satu daripada dua di Asia.

 

Produk yang diperakui dengan pensijilan halal itu akan memenuhi kedua-dua pasaran tempatan dan eksport di bawah jenama Harvest Gourmet, yang kini terdapat 5 jenis burger dan fillet tanpa daging, diperbuat daripada protein berasaskan tumbuhan terutamanya daripada soya dan gandum.

 

Selain Harvest Gourmet, Nestle juga menyediakan produk berasaskan tumbuhan merentasi rangkaian portfolionya seperti Milo dan Nescafe.

 

Antara produk minuman Nestle, minuman berasaskan tumbuhan adalah berharga premium berbanding minuman bukan berasaskan tumbuhan.

 

Harga yang lebih tinggi ini boleh dikaitkan dengan kos pengadunan, pembotolan dan pembungkusan, sebagai tambahan kepada inovasi dan pemasaran yang berterusan dalam segmen tersebut.

 

Tetapi, harga bagi produk burger berasaskan tumbuhan Nestle adalah lebih kompetitif berbanding jenama lain kerana ia dihasilkan secara tempatan manakala jenama lain diimport dari luar negara.

 

MIDF Research berkata, memandangkan segmen berasaskan tumbuhan bagi Nestle masih di peringkat permulaan, sumbangan kepada jumlah pendapatan kumpulan akan kekal sederhana untuk tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang sebelum menyumbang dengan lebih ketara.

 

"Dengan itu, kami menganggarkan segmen alternatif berasaskan tumbuhan dan tenusu akan memperoleh bahagian pasaran, dan menjadi pendapatan tambahan kepada kumpulan, memandangkan rekod prestasi Nestle dalam membangunkan produk yang relevan dengan citarasa tempatan," jelasnya.

 

Bagaimanapun, firma itu mengurangkan unjuran hasil Nestle bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 16% dan 25.4% setelah mengambil kira kenaikan harga bahan mentah boleh mempengaruhi margin keuntungan kumpulan.

 

Ia turut menjangkakan kumpulan akan merekodkan hasil yang sederhana bagi FY21-FY23 dengan anggaran  Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) 3 tahun sebanyak 3%.

 

Memandangkan kumpulan kini dinilai terlalu tinggi pada tahap dagangan semasa, dengan hasil dividen sederhana sebanyak 1.8%, MIDF Research menyemak turun penarafan sahamnya kepada 'jual' dengan harga sasaran lebih rendah pada RM116.35 daripada RM141.50 sebelum ini.

 

Setakat 11.13 pagi ini, harga saham Nestle menokok 70 sen atau 0.52% kepada RM135.70 dengan 6,100 saham diniagakan. - DagangNews.com