Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan 2022 catat peningkatan sehingga 50.35% - PM | DagangNews Skip to main content

Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan 2022 catat peningkatan sehingga 50.35% - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMKe-12 Bilangan 2 Tahun 2022 pada 19 Ogos 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) Tahun 2022 sehingga 15 Ogos 2022 telah mencatat peningkatan sehingga 50.35% berbanding 26.4% pada 15 April 2022.

 

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) Bilangan 2 Tahun 2022 yang turut dihadiri Menteri-Menteri Kanan serta Ketua Jabatan dan Agensi, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju supaya Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU JPM) menyediakan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) bagi meneliti dan menyemak semula dasar dan sasaran sedia ada agar matlamat pembangunan yang disasarkan dapat dicapai. 

 

Beliau berkata, proses tersebut akan bermula pada September 2022 hingga September 2023.

 

"Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMKe-12 dan juga Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) akan terus meneliti isu dan cabaran semasa bagi mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dalam tempoh RMKe-12, demi manfaat kepada Keluarga Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Perdana Menteri berkata, selaras dengan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan pada tahun 2025, mesyuarat bersetuju untuk membuat pemantauan rapi dan berterusan ke atas pencapaian indikator utama serta memastikan pelaksanaan intervensi yang perlu ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia, konflik geopolitik yang mempengaruhi kenaikan inflasi serta perubahan struktur ekonomi negara yang perlahan. 

 

Beliau berkata, Malaysia telah menjadi negara menua (ageing nation) pada tahun 2021 dan dijangka menjadi negara tua (aged nation) pada tahun 2044. 

 

 

pm

 

 

"Sehubungan itu, mesyuarat bersetuju dengan mekanisme mengarus perdana agenda negara menua dan penyediaan satu blueprint Agenda Negara Menua (ANM) yang akan diselaraskan EPU JPM," katanya. 

 

Katanya, kerajaan komited dalam mencapai matlamat sifar miskin tegar menjelang penghujung tahun 2025 menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang telah mula pada akhir bulan April 2022 bagi Fasa 1 yang melibatkan 80 lokaliti dan kira-kira 5,000 Ketua Isi Rumah (KIR) secara rintis. 

 

"Pelaksanaan BMTKM akan menggunakan pendekatan baru yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan KIR miskin tegar secara 
mampan," katanya. - DagangNews.com