Ketidaktentuan cukai, unjuran pendapatan FY22 Nestlé disemak turun | DagangNews Skip to main content

Ketidaktentuan cukai, unjuran pendapatan FY22 Nestlé disemak turun

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Nov - Cadangan pelaksanaan Cukai Makmur dan duti eksais ke atas minuman pracampuran di bawah Bajet 2022 akan menjejaskan pendapatan Nestlé (Malaysia) Bhd. bagi tahun kewangan 2022 (FY22) meskipun merekodkan prestasi yang kukuh bagi suku ketiga. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, Nestlé mengumumkan keuntungan bersihnya meningkat 15.3% kepada RM148.02 juta daripada RM128.39 juta setahun lalu bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 berikutan pertumbuhan pendapatan dan jualan yang bertambah baik dan perbelanjaan pemasaran yang lebih rendah.

 

Hasil suku tahunan Nestlé  meningkat 3.62% kepada RM1.44 bilion daripada RM1.39 bilion setahun lalu dan syarikat itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 70 sen sesaham, berjumlah RM164.15 juta, untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

 

Penganalisis CGS-CIMB, Walter Aw berkata, bagaimanapun, pendapatan Nestlé akan terjejas dengan pelaksanaan sekali sahaja Cukai Makmur, justeru, menyemak semula unjuran pendapatan Nestlé yang lebih rendah sebanyak 10.6% bagi FY22.

 

"Bagi cukai gula pula, kami menganggarkan jualannya terutama bagi Milo dan Nescafe akan terjejas antara 25 hingga 30% menerusi produk minuman pracampuran. 

 

"Tetapi, pada pandangan kami, Nestlé boleh menaikkan harga jualan untuk melepasi sepenuhnya cukai gula dan merendahkan kandungan gula dalam produknya," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagaimanapun, Aw menangguhkan sementara perubahan unjuran pendapatan berikutan kesan cukai gula ini terhadap minuman pracampuran.

 

Namun, firma itu mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Nestlé dengan harga sasaran pada RM136.60.

 

Baca : Nestle beri amaran kenaikan harga makanan komoditi

 

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 berkata, kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara one-off, dikenali sebagai Cukai Makmur kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi.

 

Ini membolehkan syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24% dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022.

 

Kerajaan turut mengumumkan bahawa duti eksais ke atas minuman bergula akan termasuk minuman penyediaan pracampuran (2-dalam-1 atau 3-dalam-1) berkuat kuasa 1 April 2022.

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Ahmad Ramzani Ramli turut mengurangkan unjuran pendapatan Nestlé sebanyak 10% kepada RM588 juta bagi FY22 berikutan pelaksanaan Cukai Makmur pada tahun hadapan.

 

Bagaimanapun, beliau menaikkan anggaran FY21 sebanyak 3% kepada RM653 juta didorong jualan peringkat domestik yang positif. 

 

Katanya, prestasi suku keempat dijangka melepasi suku sebelumnya dengan kelonggaran sekatan pergerakan dan pembukaan semula ekonomi. 

 

"Beberapa faktor akan memacu hasil atau jualan kasar kumpulan antaranya, penggunaan di dalam rumah yang berdaya tahan, jenama yang kukuh dalam pasaran, produk baharu dan sumbangan menerusi aktiviti di luar (out of home) yang lebih baik ekoran pembukaan semula ekonomi," katanya.

 

Firma itu mengekalkan penarafan 'market perform' ke atas Nestlé tetapi harga sasaran (TP) disemak semula lebih rendah kepada RM138.90 (berbanding RM143.60 sebelum itu). - DagangNews.com