Kilang biskut Hwa Tai dibenar beroperasi semula | DagangNews Skip to main content

Kilang biskut Hwa Tai dibenar beroperasi semula

 

 

KUALA LUMPUR 22 Nov - Hwa Tai Industries Bhd. yang popular dengan jenama biskut 'Luxury' mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 20 November lalu untuk membuka semula operasi kilangnya di Batu Pahat, Johor.

 

Sebelum ini, kilang tersebut ditutup sementara bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Hwa Tai berkata, penutupan sementara itu tidak memberi kesan ketara kepada kedudukan kewangan kumpulan. 

 

"Kesejahteraan dan keselamatan pekerja sentiasa menjadi keutamaan syarikat dan kami tidak berkromponi dengan kualiti produk.

 

"Malah, kami akan terus mematuhi langkah-langkah bagi mencegah pandemik ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di semua premis Hwa Tai termasuk pejabat, kilang dan penginapan pekerja," katanya.

 

Pada 12 November lalu, Hwa Tai menutup sementara kilangnya di Taman Perindustrian Tongkang Pecah di Batu Pahat sehingga 20 November bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 di premis miliknya.

 

Syarikat memaklumkan pihaknya menerima notis daripada KKM pada 10 November lalu untuk menutup sementara premis berkenaan.

 

Penggantungan sementara operasi itu dijangka mengurangkan output pengeluaran kilang terbabit semasa penutupan, justeru menangguhkan penghataran produk bagi tempahan domestik dan antarabangsa sepanjang tempoh berkenaan. - DagangNews.com