KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi antara lapangan terbaik dunia 2021 | DagangNews Skip to main content

KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi antara lapangan terbaik dunia 2021

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mac - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) muncul antara lapangan terbang terbaik dunia dalam kategori masing-masing untuk tahun 2021, menerusi tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) global oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).

 

KLIA dan LIA mencapai kejayaan skor sempurna 5.00 dalam kategori lapangan terbang iaitu lebih 40 juta penumpang setahun (mppa) dan masing-masing 2-5 mppa. 

 

ASQ menanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi kepuasan penumpang keseluruhan untuk keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan. 

 

Penganugerahan industri baru-baru ini oleh badan global akan memberi dorongan tambahan kepada Malaysia Airports untuk terus mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi terutamanya, memandangkan jangkaan peningkatan dalam pergerakan penumpang selepas sempadan Malaysia dibuka semula pada 1 April 2022.

 

Pada Februari 2022, Kumpulan merekodkan sejumlah 4.66 juta pergerakan penumpang dan daripada jumlah itu, 2.54 juta pergerakan penumpang atau 55% disumbangkan oleh rangkaian lapangan terbang tempatannya dan 2.12 juta atau 45% adalah daripada aset Turkinya, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG). 

 

Bagi Malaysia, pergerakan trafik penumpang domestik berjumlah 2.27 juta dan antarabangsa 0.28 juta, manakala ISG mencatatkan 1.09 juta domestik dan 1.03 juta antarabangsa.

 

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, pengendali lapangan terbang berbangga kerana dua lapangan terbang Malaysia diiktiraf untuk anugerah berprestij berkenaan.

 

“Walaupun kami telah mencapai skor tinggi pada 2020, kami masih ketinggalan 0.02 mata daripada skor sempurna. 

 

 

airports
Datuk Iskandar Mizal Mahmood

 

 

"Pada tahun 2021, pasukan telah berusaha keras untuk menutup jurang ini kerana sebagai pengendali lapangan terbang, kami tidak boleh berkompromi dengan kecekapan operasi dan standard perkhidmatan lebih-lebih lagi kerana kami menjangkakan kemasukan penumpang antarabangsa ke negara mulai bulan depan dan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selain meneruskan semula laluan biasa mereka, syarikat penerbangan juga telah mula memperkenalkan laluan baharu.

 

 

airports
Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA)

 

 

Antara syarikat penerbangan yang telah menyambung semula laluan sebelum ini termasuk AirAsia X untuk penerbangan mingguan Kuala Lumpur-Sydney, Thai Airways untuk penerbangan dua kali seminggu Bangkok-Kuala Lumpur dan Vietnam Airlines untuk penerbangan dua kali seminggu Ho Chi Minh City-Kuala Lumpur. 

 

Sementara itu, Scoot memperkenalkan penerbangan Singapura-Miri dua kali seminggu di atas penerbangan Singapura-Kuching tiga kali seminggu.

 

Pemain tempatan, Firefly turut mengumumkan pengembalian semula operasi jetnya bermula April dari hab baharunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu. - DagangNews.com