Majikan ambil subsidi upah, jujurlah! | DagangNews Skip to main content

Majikan ambil subsidi upah, jujurlah!

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Hilang pekerjaan dan sumber pendapatan - dua perkara ini amat membimbangkan rakyat ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

PKP menyebabkan banyak perniagaan terpaksa menutup operasi dan ini menyaksikan kadar pengangguran terus melonjak kepada 5% pada April lalu, berbanding 3.9% pada Mac.

 

Bagi mengekang lebih banyak pemberhentian pekerja, kerajaan melaksanakan Program Subsidi Upah (PSU) yang setakat 1 Januari lalu berjumlah RM457.14 juta telah memanfaatkan 52,998 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 445,255 pekerja.

 

Kerajaan turut menambahbaik program ini dengan peruntukan tambahan RM1 bilion di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang boleh memanfaatkan 250,000 majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja.

 

Baca : Majikan beroperasi ketika PKP layak mohon Program Subsidi Upah 3.0

 

Bagaimanapun, kebimbangan rakyat kini kembali memuncak apabila PKP 2.0 dikuatkuasakan di seluruh negara kecuali Sarawak seperti diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam. 

 

Secara dasarnya, PSU adalah satu kerangka program yang baik dilaksanakan kerajaan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mengelakkan lebih ramai rakyat hilang pekerjaan.

 

Namun, pemantauan perlu dijalankan bagi mengelakkan majikan memberi maklumat palsu ketika membuat permohonan untuk PSU dan menyalahguna dana yang diberikan.

 

"Perkara ini adalah antara reaksi yang saya terima daripada majikan dan juga masyarakat serta laporan-laporan di media dan media sosial.

 

"Saya akui sukar untuk pihak berkuasa membuat pemantauan ke atas semua majikan dan berdasarkan laporan dari Perkeso, ada majikan yang memberi maklumat tidak betul berkaitan perkara ini," kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan. 

 

Shamsudin Bardan
Shamsuddin Bardan

 

Bercakap kepada DagangNews.com, beliau meminta supaya majikan bersikap jujur dalam hal ini dan memberi maklumat yang diperlukan kepada Perkeso ketika memohon subsidi berkenaan. 

 

Jelasnya, ketika  diperkenalkan tahun lalu, prasyarat menetapkan syarikat yang dapat bantuan tidak boleh lakukan pemberhentian pekerja semasa tempoh 3 bulan penerimaan PSU . 

 

Tetapi, selepas tempoh itu, ia sudah dipinda dan berubah-ubah daripada satu skim kepada skim lain. 

 

Pada masa sama, beliau juga menjelaskan banyak kekeliruan yang wujud berhubung program tersebut dengan menganggap bayaran subsidi upah hendaklah disalurkan kepada pekerja bila majikan menerima bayaran dari kerajaan.  

 

Semasa PKP, katanya, pekerja mendapat gaji seperti biasa dan majikan memohon subsidi ini supaya kos operasi dapat dikurangkan.

 

"Oleh demikian, di bawah PSU bila majikan menerima bayaran dari kerajaan, bayaran itu tidak perlu disalurkan kepada pekerja. 

 

"Keadaan mengelirukan ini telah mencetuskan pertelingkahan antara pekerja dan majikan," katanya.

 

Berbeza dengan PKP 1.0, majikan boleh memohon Program Pengekalan Pekerja (ERP) yang mana majikan akan menyalurkan dana tersebut kepada pekerja yang diarahkan bercuti tanpa gaji untuk sekurang-kurangnya selama 30 hari. 

 

Tetapi, katanya, ramai majikan tidak memohon ERP kerana banyak syarat perlu dipatuhi.

 

ERP dilaksanakan pada 16 Mac lalu sebagai insentif bantuan segera sebanyak RM600 sebulan kepada pekerja yang menerima notis cuti tanpa gaji oleh majikan yang terjejas akibat penularan COVID-19 dan PKP.

 

Beliau berkata, dalam tempoh setahun sejak PKP dilaksanakan secara berfasa, banyak konflik yang timbul antara pekerja dan majikan. 

 

"Syarikat mahu bertahan dan untuk itu, kos dikurangkan terutama gaji. Tetapi di pihak pekerja pula, syarikat tiada hak nak kurangkan gaji atau semak semula terma penggajian tanpa persetujuan pekerja," katanya.

 

Dalam hal ini, ujarnya, kedua-dua pihak perlu mencari persefahaman supaya syarikat dapat bertahan dan mengekalkan pekerja agar apabila COVID-19 berakhir, mereka masih mempunyai pekerjaan.

 

Tegas beliau, apa yang penting ketika ini adalah pekerja kekal dalam pekerjaan dan majikan diberi fleksibiliti untuk menguruskan sumber manusia mengikut situasi semasa.  

 

Berdasarkan unjuran MEF, kadar pengangguran dijangka terus meningkat kerana masih ada banyak syarikat  membekukan pengambilan pekerja. 

 

Kira-kira sejuta pekerja baharu juga akan memasuki pasaran pekerjaan tahun ini, sama ada lepasan universiti mahupun SPM. 

 

"Ini merupakan satu cabaran kepada kerajaan yang mahu mewujudkan 500,000 pekerjaan baharu tetapi mereka yang memasuki pasaran pekerjaan adalah 2 kali ganda daripada biasa. 

 

"Sudah pasti, situasi ini akan terus meningkatkan kadar pengangguran negara, bukan sahaja yang hilang pekerjaan tetapi yang baru memasuki pasaran buruh," jelas beliau. 

 

Mengulas mengenai Permai, Shamsuddin berkata, kerajaan perlu menambah lagi peruntukan PSU kerana PKP sudah dikuatkuasakan hampir di seluruh negara dan majikan yang memohon akan meningkat sekali ganda. 

 

Beliau melahirkan kebimbangan jika peruntukan PSU tidak ditingkatkan, akan menyebabkan lebih banyak syarikat gulung tikar apatah lagi subsidi itu hanya diberikan bagi tempoh sebulan. 

 

"Berbanding PKP 1.0, sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi ketika PKP 2.0 sudah semakin jelas kerana mereka sudah memahami apa yang diperlukan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. 

 

"Tetapi bagi sektor pemasangan kenderaan, masih lagi kabur kerana semasa PKP 2.0 pemasangan kenderaan tidak dibenarkan beroperasi dan kebanyakan pengeluar ini perlu meningkatkan stok terlebih dahulu terutama menjelang musim perayaan," katanya. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz semalam berkata, kerajaan menjangkakan pelaksanaan PKP 2.0 menyebabkan negara kerugian RM600 juta sehari berbanding RM2.4 bilion sehari pada Mac hingga Mei, tahun lepas. - DagangNews.com