Majikan wajib iklankan kekosongan jawatan, utamakan pencari kerja tempatan | DagangNews Skip to main content

Majikan wajib iklankan kekosongan jawatan, utamakan pencari kerja tempatan

pekerja tempatan

KUALA LUMPUR 9 Julai - Semua majikan diwajibkan untuk mengiklankan semua kekosongan jawatan yang ingin ditawarkan dan perlu mengutamakan pencari kerja tempatan termasuk para graduan dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, usaha tersebut adalah bagi memastikan golongan pencari kerja tempatan dapat diserap ke dalam bidang bersesuaian mengikut tahap kelayakan berbinding membuka peluang tersebut kepada pekerja asing.

"KSM (Kementerian Sumber Manusia) sentiasa berusaha memastikan setiap peluang pekerjaan yang wujud dalam negara hendaklah diberi keutamaan kepada calon pencari kerja tempatan lebih-lebih lagi dalam keadaan mencabar susulan penularan wabak COVID-19.

"Kerajaan juga setuju dengan cadangan KSM bagi mewajibkan majikan membuat iklan semua kekosongan jawatan yang ingin dibuka di Portal JobsMalaysia dalam tempoh tidak kurang daripada 30 hari sebelum menawarkannya kepada pekerja asing atau pegawai dagang," katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan

 

Selain itu, majikan juga wajib mematuhi elemen Foreign Workers First Out (FWFO) selaras dengan peruntukan Seksyen 60N Akta Kerja Code of Conduct for Industrial Harmony yang menggariskan tindakan pemberhentian dan perkhidmatan pekerja asing yang perlu ditamatkan terlebih dahulu berbanding pekerja tempatan.

"Sekiranya ada syarikat yang ingin kecilkan saiz perniagaan, majikan juga wajib membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhampiran melalui Borang Pemberhentian Kerja (PK) dalam tempoh sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tindakan dibuat.

"Maklumat itu amat penting untuk JTK dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membuat perancangan sewajarnya dalam membantu penempatan semula kepada mereka yang terjejas," katanya lagi.

Saravanan dalam kenyataan yang sama turut menyeru calon pencari kerja tempatan untuk membuat pendaftaran diri melalui MYFutureJobs bagi memudahkan urusan pencarian kerja. - DagangNews.com