Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada permintaan global | DagangNews Skip to main content

Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada permintaan global

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Mei - Konflik Rusia-Ukraine yang masih berlarutan dan sekatan pergerakan di China, berkemungkinan akan melemahkan prospek permintaan global pada suku kedua 2022. 

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan mendapati prestasi perdagangan luar Malaysia berdaya tahan berbanding jangkaan sebelum ini, dengan eksport berkembang lebih pantas beberapa bulan kebelakangan ini menerusi ekonomi utama seperti China, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah.

 

Menurut MIDF Research, perdagangan Malaysia yang berkembang 21.3% kepada RM231.4 bilion pada April 2022, adalah lebih baik daripada jangkaan memandangkan pertumbuhan import yang lebih tinggi berbanding anggarannya sebelum ini. 

 

Pertumbuhan eksport pula memenuhi ramalannya sebelum ini dengan berkembang 20.7% tahun ke tahun.

 

"Walaupun kami menjangkakan sekatan di China akan menjejaskan prestasi perdagangan Malaysia, namun, penyederhanaan eksport pada April bagaimanapun disokong terutamanya oleh pertumbuhan eksport yang lebih perlahan ke negara ASEAN.

 

"Secara umumnya, kami menjangkakan Malaysia akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan berterusan dalam permintaan global, khususnya untuk produk elektrik & elektronik (E&E) dan komoditi seperti minyak sawit, gas asli cecair (LNG) dan petroleum," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu turut menjangkakan import akan terus berkembang pada bulan-bulan akan datang kerana momentum pertumbuhan ekonomi domestik kekal positif di tengah-tengah pembukaan semula ekonomi dan kelonggaran sekatan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

 

Ini membolehkan MIDF Research menyemak naik unjuran pertumbuhan bagi eksport dan import pada 2022 masing-masing kepada 16.9% dan 19.2% setelah mengambil kira pertumbuhan kukuh prestasi dagangan dalam tempoh Januari hingga April 2022. 

 

Semalam, statistik yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menunjukkan prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum peningkatan pada April 2022 dengan jumlah perdagangan menokok 21.3% tahun ke tahun kepada RM231.44 bilion, yang menyaksikan pertumbuhan 2 digit buat bulan ke-15 berturut-turut.

 


Baca : MITI : Perdagangan Malaysia catat peningkatan RM231.44 bilion pada April 2022

 

Pada bulan tersebut, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan nilai bulanan tertinggi.

 

Ia menyaksikan eksport meningkat 20.7% kepada RM127.49 bilion, pertumbuhan 2 digit tahun ke tahun selama 9 bulan berturut-turut manakala import berkembang 22% kepada RM103.95 bilion dan lebihan dagangan meningkat 15.7% kepada RM23.55 bilion.

 

 

oil

 

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research berkata, lebihan dagangan Malaysia yang menurun sedikit kepada RM23.5 bilion pada April (berbanding RM26.7 bilion pada Mac), masih lebih tinggi daripada jangkaannya dan pasaran.

 

Import pula katanya, berkembang 22% pada bulan tersebut, lebih tinggi daripada eksport (20.7%), tetapi susut 0.9% berbanding Mac, manakala eksport yang susut 3.1%. 

 

"Momentum permintaan bagi import berterusan hingga April, dengan pengembangan dalam import bagi barang perantaraan (meningkat 28.1% tahun ke tahun), menandakan pemulihan berterusan dalam aktiviti ekonomi.

 

"Nilai import bagi barang pengguna juga kekal tinggi pada RM8.3 bilion, hanya 5% lebih rendah bulan ke bulan daripada paras tertinggi yang direkodkan pada Mac 2022.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan pemulihan permintaan domestik yang berterusan akan mencerminkan lebihan akaun semasa yang lebih kecil tahun ini, merangkumi 1.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 3.8% pada 2021," jelasnya.

 

Menurut firma itu lagi, walaupun nilai import bagi produk petroleum bertapis pada April masih belum ada buat masa ini, tetapi nilai eksport susut 6.3% tahun ke tahun. 

 

Setakat ini, lebihan perdagangan LNG yang besar (RM4.5 bilion pada April berbanding RM13.1 bilion pada suku pertama 2022) mencukupi untuk menampung defisit perdagangan minyak, mengekalkan imbangan perdagangan minyak & gas (O&G) dalam lebihan.

 

"Namun begitu, lebihan dagangan O&G mungkin mengecil dalam jangka sederhana di tengah-tengah kemerosotan pengeluaran minyak mentah," katanya.

 

CGS-CIMB mendapati, di sebalik permintaan domestik yang bertambah baik dan harga minyak mentah global  melambung tinggi, Malaysia menjadi pengimport bersih minyak mentah dan produk petroleum ditapis. 

 

Pada suku pertama 2022, negara melaporkan defisit perdagangan sebanyak RM2.2 bilion untuk petroleum mentah dan RM1.8 bilion untuk produk petroleum ditapis. - DagangNews.com