Malaysia tidak mungkin tergelincir ke dalam kemelesetan, kata Abdul Wahid Omar | DagangNews Skip to main content

Malaysia tidak mungkin tergelincir ke dalam kemelesetan, kata Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR 14 Sept - Malaysia tidak mungkin tergelincir ke dalam kemelesetan berikutan struktur kepelbagaian ekonominya yang kurang bergantung kepada komoditi, selain memiliki dasar pragmatik dan responsif, kata Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar.

 

Beliau berkata sektor pertanian dan perlombongan kini hanya menyumbang 14% kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia, manakala sektor perkhidmatan menyumbang 57% dan sektor pembuatan menyumbang 24.3%.

 

"Kepelbagaian rakan dagangan kami - di mana kami tidak terlalu bergantung kepada satu negara tertentu - menambah daya tahan ekonomi kami," katanya dalam ucapan perasmian 'Invest Malaysia 2022 Siri 1: Membina Ketahanan Ditengah Ketidaktentuan' di sini hari ini, Bernama melaporkan.

 

Abdul Wahid berkata, bank dan syarikat perkhidmatan kewangan Malaysia mempunyai wajaran yang ketara dalam kedua-dua FTSE Bursa Malaysia KLCI dan indeks kemampanan FTSE4Good Bursa Malaysia.

 

“Tujuh saham perbankan ini sahaja iaitu Maybank, Public Bank, CIMB Bank, Hong Leong Bank, RHB Bank dan Alliance Bank mempunyai gabungan permodalan pasaran RM325.36 bilion, atau kira-kira 20% daripada jumlah permodalan pasaran RM1.65 trilion pada akhir Jun 2022,” katanya.

 

 

Abdul Wahid Omar
                                                 TAN SRI ABDUL WAHID OMAR

 

 

Beliau juga berkata sistem kewangan itu dilengkapkan dengan pasaran hutang dan modal ekuiti yang berfungsi dengan baik, yang bernilai RM3.5 trilion pada 30 Jun 2022, di mana pasaran modal hutang menyumbang RM1.8 trilion dan pasaran modal ekuiti terdiri daripada RM1.7 trilion.

 

"Malaysia juga merupakan rumah kepada pasaran modal Islam terkemuka dunia pada RM2.2 trilion, mewakili hampir dua pertiga daripada jumlah pasaran modal," katanya.

 

Beliau berkata kekuatan dan kestabilan sistem kewangan adalah faktor penting dalam daya tahan Malaysia, di mana bank tempatan mempunyai permodalan yang baik, cair, diurus dengan lebih baik dan dikawal dan diselia dengan berkesan oleh Bank Negara Malaysia.

 

"Bank juga terus melaksanakan peranan pengantaraan mereka dengan menggembleng dana untuk disalurkan kepada sektor ekonomi yang produktif," katanya.

 

Di peringkat global, Abdul Wahid menyatakan bahawa ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China dan konflik Ukraine-Rusia juga telah menyebabkan harga komoditi dan kos logistik meroket, mengakibatkan tekanan inflasi yang tinggi di seluruh dunia, memaksa bank pusat mengetatkan dasar monetari mereka untuk mengekang inflasi.

 

"Ini berkemungkinan menyebabkan kelembapan ekonomi dan potensi kemelesetan di beberapa negara pada 2023," katanya. - DagangNews.com