Malaysia-UAE kongsi amalan terbaik kerajaan kendalikan COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Malaysia-UAE kongsi amalan terbaik kerajaan kendalikan COVID-19


KUALA LUMPUR 13 Ogos 2020 — Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), di bawah Kementerian Luar Negeri Malaysia, bekerjasama dengan Rabdan Academy, sebuah institusi pendidikan terkemuka yang menumpukan kepada keselamatan, pertahanan, dan kesediaan kecemasan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), menganjurkan persidangan atas talian perkongsian pengetahuan dalam amalan terbaik daripada pengalaman kedua-dua negara dalam membendung penyebaran COVID-19.

Persidangan ini merangkumi tiga tema utama; sistem kepolisan, penjagaan kesihatan dan hubungan antarabangsa, diikuti dengan sesi soal jawab. Persidangan ini juga memberi fokus kepada kerjasama dua hala dan hubungan diplomatik antara Malaysia dan UAE.

Membuka sesi itu, Datuk Kamarudin Jaffar, Timbalan Menteri Luar Negeri berkata, inisiatif ini merupakan dorongan untuk hubungan masa depan yang bermakna dan kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, pembelajaran dari sesi ini adalah sangat penting bagi kedua-dua pihak dalam persiapan menghadapi situasi yang sama pada masa hadapan dan Malaysia berharap ini akan membuka jalan untuk lebih banyak kerjasama seumpama ini antara Malaysia dan UAE.

 

Sementara itu,  Menteri Muda Hal Ehwal Pembangunan Antarabangsa UAE, Sultan Mohammed Al Shamsi berkata, UAE merupakan salah sebuah negara pertama yang menghulurkan bantuan kepada lebih daripada 100 buah negara.

 

yas
Sultan Mohammed Al Shamsi


Pada awal krisis kata beliau, UAE melancarkan pelbagai inisiatif kemanusiaan untuk membantu membendung penyebaran virus ini.

"Dalam masa yang singkat, UAE telah memberikan lebih daripada 1,279 tan bantuan perubatan melalui 149 penerbangan perubatan yang membawa alat ujian, pelitup muka, dan peralatan perlindungan kekitangan ke 107 negara hingga kini, dengan penerima langsung melebihi 1.28 juta pekerja penjagaan kesihatan di seluruh dunia,” katanya.

Beliau juga menyebut bahawa UAE mempunyai hubungan sejarah yang kuat dengan Malaysia dan beliau menekankan perlunya untuk terus maju bersama dan berkongsi kepakaran dan pengetahuan mengenai amalan terbaik yang bukan hanya untuk menghadapi wabak ini tetapi juga krisis lain di masa akan datang.

Kerjasama yang ada adalah penting bagi mengeratkan hubungan antarabangsa kedua-dua negara bagi menghadapi cabaran ini. Satu lagi faktor penting adalah lokasi strategik kedua-dua negara, dan infrastruktur yang kukuh juga membantu menguruskan rantaian bekalan, makanan dan peralatan perubatan.

Sementara itu, Duta Besar UAE ke Malaysia, Khalid Ghanem Al Ghaith berkata, Malaysia dan UAE mempunyai kerjasama yang kukuh melalui perkongsian pengetahuan dalam memerangi COVID-19 di negara masing-masing.

Sebagai contoh, dari segi bantuan, UAE telah menyumbangkan bantuan perubatan kepada Malaysia dalam bentuk 20,000 alat ujian dan pelitup muka manakala Malaysia pula  menyumbangkan bekalan makanan ke UAE. Kerjasama kami menekankan perlunya kerjasama global dan perlunya perkongsian pembelajaran dalam memerangi COVID-19.”

Naib Presiden Akademi Rabdan, Dr. Faisal Al-Ayyan berkata, kerjasama antara Akademi Rabdan dan Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Malaysia adalah cerminan dari tahap hubungan dua hala antara UAE dan Malaysia, terutama dalam menghadapi cabaran Covid-19.

"Kedua-dua negara ini membentuk  kerjasama strategik yang mendalam dan luas, dari Asia Timur hingga ke Timur Tengah. Kerjasama ini merangkumi beberapa bidang, seperti keselamatan makanan, perdagangan, ekonomi dan pertukaran budaya. Kami berharap dapat meneruskan kerjasama ini dengan rakan-rakan kami di Malaysia," kata beliau.

Pada perbincangan mengenai sistem kesihatan kedua-dua negara dalam menangani COVID-19, Dr Farida Al Hosani, jurucakap rasmi untuk sektor penjagaan kesihatan di UAE, memuji hubungan strategik antara Malaysia dan UAE dalam menghasilkan usaha dan respon yang berjaya dalam membendung penyebaran COVID-19.

f
                             Dr Farida Al Hosani


Dr. Farida berkata, jumlah ujian yang telah dilakukan setakat ini adalah lebih daripada 5 juta ujian dengan purata 530 ribu bagi setiap 100 ribu penduduk, bermaksud sekitar 50% populasi UAE telah diuji. "Kami juga merupakan salah sebuah negara dengan jumlah kematian paling sedikit, iaitu kurang daripada 0.4%," kata beliau. - DagangNews.com