Muslim Pro nafi jual data peribadi  | DagangNews Skip to main content

Muslim Pro nafi jual data peribadi 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Aplikasi mudah alih Islam, Muslim Pro menafikan dakwaan bahawa pihaknya telah menjual data peribadi pengguna kepada ketenteraan Amerika Syarikat (AS). 

 

Menerusi pengumuman di laman webnya, Muslim Pro menekankan dakwaan itu “salah dan tidak benar”. 

 

Sejak perkara itu menular, Muslim Pro telah melakukan siasatan dalaman untuk memastikan bahawa kesemua data pengguna selamat. 

 

“Dalam usaha untuk menyampaikan yang terbaik untuk pengguna serta membantu meningkatkan tawaran produk dan perkhidmatan oleh perniagaan-perniagaan, kami berkongsi data tanpa nama dengan rakan kongsi teknologi terpilih yang perlu mematuhi undang-undang global melibatkan perlindungan data peribadi. 

 

“Sejak difahamkan mengenai situasi ini, kami telah menjalankan siasatan dalaman dan mengkaji dasar pentadbiran data untuk memastikan bahawa semua data pengguna dikendalikan dengan keperluan sedia ada,” kata kenyataan itu.

 

Vice sevelum ini melaporkan bahawa tentera AS telah membeli data daripada Muslim Pro melalui pihak ketiga iaitu broker data dikenali sebagai X-Mode. 

 

Broker data merupakan pihak yang mengumpul dan membeli data daripada pelbagai syarikat.

 

Dalam kenyataan sama, Muslim Pro juga bertindak untuk menamatkan hubungan kerjasama dengan rakan kongsi data termasuk X-Mode dengan serta merta. 

 

Tambah Muslim Pro, selain daripada Seksyen Komuniti, setiap ciri yang adalah juga tersedia tanpa mendaftar atau log masuk. 

 

Ini sekali gus mengekalkan data yang dikumpul dan diproses tanpa nama. 

 

“Muslim Pro komited untuk melindungi dan menjaga peribadi pengguna kami. Kami mengambil serius perkara ini. 

 

“Kami menjalankan pengurusan keselamatan standard industri dan langkah-langkah perlindungan serta memilih rakan kongsi teknologi besar untuk memastikan data kami selamat dalam infrastuktur awan. 

 

“Kami juga bersikap terbuka dan telus berhubung maklumat peribadi yang dikumpul, disimpan dan diproses kerana kepercayaan jutaan umat Islam dalam Muslim Pro bermakna buat kami,” kata Muslim Pro. - DagangNews.com