NUBE adakan piket di seluruh Semenanjung bantah HSBC | DagangNews Skip to main content

NUBE adakan piket di seluruh Semenanjung bantah HSBC

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) akan mengadakan piket kebangsaan di seluruh Semenanjung Malaysia mulai minggu ini sebagai tanda protes terhadap sikap tidak adil, tidak profesional dan diskriminasi HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC), melibatkan 300 pertikaian industri.

 

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan itu selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia dan CEO semasa tidak mahu mengadakan mesyuarat jawatankuasa tetap bagi menangani proses penyelesaian pertikaian selaras dengan peruntukan Perjanjian Bersama (CA). 

 

Beliau berkata, pengurusan HSBC enggan menyelesaikan isu-isu yang telah dibangkitkan oleh NUBE sejak 3 tahun kebelakangan ini dan mencabuli hak dan kepentingan ahli-ahli NUBE dalam kalangan B40 dan M40.

 

Jelasnya, pertikaian industri yang telah dikenal pasti termasuklah, HSBC enggan menghormati undang-undang buruh Malaysia termasuk peruntukan Akta Perhubungan Perusahaan 1967, HSBC menghina pekerja-pekerja beragama Islam, pekerja-pekerja bank terutama ahli-ahli NUBE didiskriminasi dan HSBC melanggar peruntukan undang-undang buruh bagi mengawal fungsi dan peranan NUBE.

 

"Selain itu, HSBC didapati mendedahkan butiran peribadi pelanggan kepada pihak luar, sekali gus melanggar Seksyen 30 dan 40 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, termasuk turut melanggar Seksyen 133(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

 

"HSBC juga mengabaikan aduan-aduan yang dikemukakan oleh pekerja dan NUBE. Pengurusan bank tersebut menjemput pekerja untuk mesyuarat tetapi tidak membenarkan mereka memasuki premis mesyuarat.

 

"Antara pertikaian industri lain, termasuk penyumberan luar pekerjaan kepada pihak ketiga dan memaksa ahli-ahli NUBE mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS) serta membuat permohonan baharu untuk diambil kerja di HSBC. Selain itu, HSBC melayani pekerja-pekerja bank sebagai penjenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Solomon berkata, NUBE tiada pilihan kecuali mengambil tindakan berpiket memandangkan HSBC telah berulang kali enggan berbincang dengan NUBE di pelbagai peringkat, di bawah peruntukan semangat perhubungan perusahaan harmoni yang jelas termaktub dalam CA antara NUBE dan HSBC Bank Malaysia serta Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

 

Beliau berkata, selain itu pada masa sama dengan sengaja mengelak daripada berunding untuk mencari penyelesaian ke atas segala aduan dan pertikaian industri yang telah dibangkitkan.

 

"Tindakan tidak adil dan tidak profesional HSBC itu, yang melibatkan 300 pertikaian industri semasa pandemik adalah melampu dan mencabar kesabaran pekerja-pekerja B40 dan M40. Sikap sedemikian juga tidak mencerminkan kedudukannya sebagai sebuah bank bertaraf global," katanya.

 

Katanya, NUBE akan mengadakan piket yang akan bermula di Johor pada Khamis ini pada pukul 1.30 petang hingga 2.30 petang di pekarangan HSBC Cawangan Jalan Bukit Timbalan, Johor Bharu. - DagangNews.com