Skip to main content

Optimis dengan prospek Siab Holdings, Malacca Securities beri FV lebih tinggi pada 37 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Feb - Malacca Securities Sdn. Bhd. meletakkan nilai wajar (FV) Siab Holdings Bhd. pada 37 sen, 23.3% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 30 sen.

 

Penyedia perkhidmatan pembinaan ini bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 Februari ini.

 

Penilaian itu adalah berdasarkan kepada peruntukan sasaran harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 12x bagi pendapatan sesaham (EPS) untuk tahun kewangan 2022 (FY22).

 

Penganalisisnya, Kenneth Leong berkata, sasaran PE itu adalah sejajar dengan PE bagi sektor pembinaan Bursa Malaysia sebanyak 12.1x bagi FY22.

 

Katanya, Siab mempunyai keupayaan menjana rekod prestasi yang lebih baik dari segi prestasi kewangan dan disokong dengan buku pesanan tertunggak yang kukuh sebanyak RM545 juta yang akan mengekalkan keterlihatan pendapatan dalam tempoh 2 tahun akan datang.

 

"Kami juga mendapati Siab memiliki kedudukan imbangan tunai yang kukuh, dilengkapi dengan tahap gearan yang agak rendah dan pulangan ke atas ekuiti (ROE) 2 digit yang kukuh selama ini. 

 

"Walaupun Siab tidak mengguna pakai dasar dividen rasmi, tetapi kami mendapati kumpulan telah beroperasi dengan aliran tunai operasi bersih sepanjang tahun yang ditinjau dan kami percaya bahawa modal yang dikekalkan untuk pengembangan masa depan akan menjadi tumpuan utama semasa," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

Baca : Siab Holdings sasar kumpul RM36.72 juta daripada IPO

 

 

Menerusi penyenaraiannya di Pasaran ACE, kumpulan menyasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM36.72 juta daripada IPO.

 

Pada 28 Januari lalu, Pengarah Urusan Kumpulan Siab, Ng Wai Hoe berkata, 89% daripada hasil kutipan itu diperuntukkan bagi meningkatkan keupayaan syarikat termasuk pembelian tanah untuk pembinaan kemudahan penyimpanan, melaksanakan sistem model maklumat bangunan (BIM), mesin baharu serta modal kerja.

 

Berdasarkan nilai tender syarikat yang mencecah RM1 bilion pada masa ini, Siab mengalami impak minimum daripada impak pandemik COVID-19 dengan mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 13% bagi FY20.

 

Setakat ini, ia mempunyai 8 projek pembinaan yang sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada 2022 hingga 2024, manakala jumlah nilai kontrak belum dijelaskan adalah sebanyak RM544.98 juta.

 

Leong menjangkakan Siab akan merekodkan hasil dan pendapatan bersih yang lebih baik bagi FY22 dengan masing-masing meningkat 49.5% tahun ke tahun kepada RM357.6 juta dan RM15.2 juta (meningkat 41.2% tahun ke tahun). 

 

Katanya, prestasi itu didorong oleh nilai kontrak yang tinggi diperoleh lebih 2 tahun lalu dan penambahan mesin-mesin serta peralatan baharu untuk menjalankan kerja kontrak tambahan.

 

"Kami mengambil kira andaian penambahan buku pesanan sebanyak RM200 juta untuk FY22 daripada buku tender semasa kira-kira RM1.5 bilion (dengan mengandaikan 13.3% kadar kejayaan yang selaras dengan kadar kejayaan kumpulan selama ini antara 10-15%)," katanya.

 

Malah, beliau berkata, sasaran pengambilalihan 2 ekar tanah di Lembah Klang bernilai hampir RM8.7 juta untuk membangunkan kemudahan penyimpanan (dengan kos hampir RM3.5 juta) dijangka menyediakan penjimatan kos dalam tempoh yang panjang kepada kumpulan. 

 

Kemudahan itu akan menempatkan bahan binaan, mesin dan peralatan pembinaan yang mana ketika ini Siab menyewa kemudahan penyimpanan di Puchong, Selangor. - DagangNews.com