Orang lain mabuk, orang lain pula kena bayar | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 3 December 2020

Orang lain mabuk, orang lain pula kena bayar

 

 

SAYA resah sepanjang jalan ke hotel memikirkan bagaimana saya harus membayar minuman keras Prince BD. Mungkin berpuluh, mungkin beratus atau mungkin beribu. Saya tidak tahu. Bergantung kepada jenis dan gred minumannya. Dia berkeras suruh saya membayar harga bakal minumannya. Saya tidak pernah sekali membayar minuman keras, apa lagi meminumnya.

 

Saya tidak tahu apa perlu dibuat. Dia memandang saya dengan mata merah sepanjang jalan. Kami tiba di hotel yang mahal bayarannya kerana ia adalah hotel terbesar di UAE, selepas Burj Al Arab. Saya memastikan dia berdaftar. Dia hanya duduk di kerusi empuk. Semua hal diuruskan oleh saya.

Setelah selesai saya mahu membawa ke biliknya. Dia enggan dan menyuruh saya mencari bar. Baru pukul enam pagi. Semua kedai tutup. Dia berjalan mencari. Satu pun tidak dibuka. Dia marah dan meradang.

 

Saya menelefon AK untuk memberitahu hal yang sebenarnya. AK terdiam dan menyuruh saya mengikutinya. Saya akur.

 

Akhirnya Prince BD masuk ke bilik dengan tidak puas hati. Saya pulang untuk tidur sekejap. Selepas bangun kembali di hotel lebih kurang pukul 11 pagi. AK sudah ada menanti Prince BD bersiap.

 

aaa
MBC dan CNN di Dubai Media City

 

Kami menunggu sambil berborak. Saya baru tahu AK pernah dua tahun bekerja di Malaysia. Sambil ketawa dia bercerita bahawa dia pernah bekerja dengan sebuah syarikat antarabangsa minyak di Malaysia. Dia pernah belajar di Universiti Harvard. Lama di Amerika. Dia sudah bercerai dengan wanita Amerika.

 

Saya dipanggil untuk menyediakan makan tengahari di sebuah kompleks yang terkenal untuk meraikan Prince BD. Gadis Palestin bernama RS sudah ada. Kami berkejaran untuk menempah sebuah meja dengan 12 kerusi untuk Prince BD dan para pengurus media.

 

aaa
Wafi Mall, tempat makan tengahari.

 

Saya merasakan kemesraan RS. Rupa-rupanya dia anak kepada seorang Palestin yang kaya-raya di Dubai. Dari namanya dengan menyebut nama keluarga sudah cukup untuk memperkenalkannya. Saya bertanya adakah dia anak kepada tokoh Palestin itu, dia hanya mengangguk.

 

Saya terkesima. Dia masih belum berpunya. Kerana belajar di Harvard dan London. Mengambil  PhD di London School of Economy.

 

Pada pukul 12 tengahari mereka pun tiba kecuali Prince BD dan AK. Semuanya Arab dan RS seorang perempuan. Bercakap dalam bahasa Arab sesama mereka. Saya terkebil-kebil untuk memahaminya. Kemudian Prince BD dan AK pun tiba. Hanya AK seorang Arab tempatan, yang lainnya Arab dari pelbagai negara, ramai dari UK.

 

aa
Studio di MBC Dubai

 

Pelayan datang bertanyakan tentang minuman. Seorang demi seorang meminta minuman keras yang mahal. AK bertanya kepada saya, “Tak nak minta minuman keras ke?”

 

Saya menggeleng, hanya oren. AK ketawa.

 

Dia bercerita di Malaysia dia pernah menerima hadiah sebuah barrel minuman keras. Sempena tahun baru Cina. Dia minum satu barrel semalaman hingga tidak sedar dan cuti seminggu. Semua ketawa. Dia terus bercerita dia minum hari-hari.

 

Dia berpaling pada saya.  “Kenapa tidak minum. Orang Islam di Malaysia, kawan-kawan saya juga minum!”

 

Saya diam. Tidak tahu hendak cakap apa. Apakah benar kata-kata itu? Sungguh mengejutkan, orang Islam di Malaysia minum minuman keras? Saya rasa tidak percaya tetapi AK tentu bercakap benar.

 

Dalam makan tengahari itu diumumkan syarikat media itu sanggup berpindah ke Dubai dalam masa 6 bulan. Semua gembira. Tambah lagi minuman keras. Semua mabuk dan bergembira.

 

Syarikat media terbesar Arab itu tidak perlu membayar apa-apa, satu sen pun. Semua peralatan dan teknologi dibeli baru dengan duit dari kerajaan Dubai. Peralatan yang mereka ada memang sudah lama sejak ditubuhkan. Syarikat dari London itu membayar secara ansuran dua tahun kemudian. Semua staf akan dibawa dari London untuk yang mahu ikut, kalau tidak mereka mencari staf baru.

 

Dalam diam RS memberitahu saya, dia hanya meminum wain segelas. Dia tidak mabuk seperti orang lain. Dia bersetuju dengan saya yang tidak minum dan dia berkata, segelas wain itulah yang terakhir dia minum. Dia menghormati saya berkeras tidak minum minuman keras. Dia mahu ikut saya untuk tegas dengan pendirian.

 

Saya tersenyum dengan budi bahasa dan kesopanan RS.

 

aaa
Dubai Media City

 

Makan tengahari itu tidak berakhir di situ. Mereka mengajak pada waktu malam untuk bersantai di sebuah bar. Minum-minum sepuas hati.

 

Saya mengikut dan dengan RS minum oren. Semua Arab lain minum minuman keras. RS duduk berdua dengan saya sahaja sambil bercerita dan menghantar saya pulang awal.

 

Hampir setiap minggu kami pergi ke bar.

 

Syarikat media terbesar Arab itu meminta satu bangunan yang diperuntukkan untuknya, MBC. Kami bersetuju. Lebih mudah membeli peralatan baru yang lebih canggih. Kami bermesyuarat tiap hari dan ke bar di malam hari.

 

Dalam pada itu CNN mula menunjukkan minat untuk berpindah ke Dubai Media City. Saya diarahkan berbincang dengan CNN untuk mengetahui teknologi dan apa perlu dibuat. CNN bersetuju peralatan yang baru untuk melawan media terbesar Arab itu.

 

Saya bergembira dengan CNN tindakan pantas. Itulah pertama kali berurusan dengan CNN dari CEO untuk perpindahan ke Dubai Media City.

 

aaa
CNN Dubai

 

Kemudian pelbagai syarikat media yang terpaksa saya hubungi. Staf masih empat orang. Saya bekerja keras untuk memastikan semua orang gembira.

 

Ada 50 buah syarikat media, besar dan kecil yang mula tawarkan untuk pindah. Ada dari India, Pakistan, Arab Saudi, UK dan sebagainya. Dubai Media City menjadi topik panas dan ramai mahu beralih untuk kawasan baru yang serba lengkap.

 

Saya rasa gembira dan bekerja lebih gigih. Walau pertama kali berjawatan ketua kejuruteraan. Banyak yang saya dapat dari kawan-kawan di TV3 Malaysia. Saya adalah pengurus IT di bahagian kejuruteraan.

 

Dalam masa sebulan, Hamid Kazim, CEO Dubai Internet City memanggil saya.

 

“You ada masalah dengan CEO Dubai Media City?”

 

Saya berterus terang. “Dia kaki minum!”

 

Hamid Kazim segera menyuruh saya untuk pindah ke pejabatnya. Dia faham masalah saya. Saya merasa lega dan sangat berterima kasih. Saya memberitahu AK yang terkejut, kehilangan Ketua Kejuruteraan. Dia duduk lama dan bertanya saya adakah saya mahu mengikuti arahan itu. Saya berkata, ya.

 

Saya menemui RS. Dia lagi terperanjat, saya beritahu sebab saya pindah disuruh Hamid Kazim. RS menangis kerana sedih. Dia berkata kerja saya terlalu singkat, banyak lagi saya boleh buat. Banyak yang kami berdua telah siap untuk dikerjakan.

 

Saya ketawa sahaja.

 

Bermulalah kerja saya sebagai Pengurus Besar Pembangunan Bisnes, sama seperti RS!

 

(Bersambung)

 

aaa
Wafi Mall

 

 

 

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

KOLEKSI WAINUIOMATA

Bila UAE longgarkan undang-undang Islam

Pengerusi Media Arab yang Mabuk

Tinggal setahun di apartmen depan kubur luas

TIDAK LAGI DITANYA GAJI SEMASA MAKAN TENGAHARI

Lapor diri di Dubai Internet City pada 2000

Menjadi jemaah tunggal Malaysia di khemah Indonesia

Tilam ditarik, kepala terhantuk lantai Masjidilharam

INDONESIA BAGUS BAGUS !!!

Mengerjakan haji dengan visa instant

Dinafikan Koridor Raya Multimedia, Selamat Datang Dubai Internet City 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags