Parlimen akan bersidang sebelum 1 Ogos | DagangNews Skip to main content

Parlimen akan bersidang sebelum 1 Ogos

 

 

KUALA LUMPUR 2 Julai - Parlimen akan bersidang secepat mungkin sebelum 1 Ogos ini, seperti diputuskan Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen.

 

Bagaimanapun, Jemaah Menteri akan memuktamadkan tarikh persidangan Parlimen pada 7 Julai ini.

 

Perkara itu dimaklumkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini. 

 

"Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen Malaysia secepat mungkin sebelum 1 Ogos ini.

 

"Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berhubung dengan persidangan Parlimen," katanya.

 

Sebelum ini, Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan satu persidangan khas Parlimen akan diadakan dalam masa terdekat.

 

Malah, kedua-dua Yang di-Pertua turut mencadangkan kepada Ketua Majlis Parlimen untuk mengadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos.

 

Cadangan itu berikutan Yang di-Pertuan Agong sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu dilaksanakan secepat mungkin. - DagangNews.com