Skip to main content

Pasaran tempatan susut, ringgit mengukuh

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Pasaran tempatan mengakhiri dagangan minggu ini dengan ditutup pada 1,621.85 mata setelah susut 6.41 mata.

 

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang bergerak dalam jajaran 1,618.54 hingga 1,628.82 mata melibatkan 14.22 bilion saham diniagakan bernilai RM6.75 bilion. 

 

Kaunter rugi mengatasi untung pada 731 berbanding 580 manakala 429 kaunter tidak berubah. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup tinggi pada RM4.0580/0620 berbanding dolar AS didorong kenaikan harga minyak mentah. 

 

Semalam, mata wang tempatan ditutup pada RM4.0700/0730 berbanding dolar AS. 

 

Anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya mencapai persetujuan untuk meningkatkan pengeluaran dalam beberapa bulan akan datang dengan menambah pengeluaran sebanyak 500,000 tong sehari mulai Januari 2021. 

 

Perjanjian sebelum ini mempersetujui pemotongan sebanyak 7.7 juta tong sehari (bpd) dan dijadual akan dikurangkan kepada 5.8 juta bpd bermula 1 Januari depan.

 

Menurut Reuters, Brent naik 93 sen atau 1.9% kepada AS$49.64 setong setakat 0748 GMT selepas melonjak 1% pada Khamis. 

 

Harga minyak West Texas Intermediate pula meningkat 76 sen atau 1.6% kepada AS$46.40 setong, setelah menokok 1% dalam sesi sebelumnya. 

 

Pada Jumaat, harga minyak setakat ini melonjak sekitar 2%, menuju kenaikan minggu kelima. 

 

Bagaimanapun, bagi pasaran saham Asia, Reuters melaporkan ia melonjak ke paras tertinggi pada Jumaat ekoran meningkatnya keyakinan terhadap rangsangan fiskal AS yang besar dan juga pelancaran vaksin COVID-19 merangsang pemulihan ekonomi global sekali gus menyokong sentimen pelabur. 

 

Ketua Strategi Pelaburan di Mitsubishi UFJ Morgan Stanley Securities, Norihiro Fujito berkata, pasaran saham bertindak balas seolah-olah dunia sudah menangani wabak ini sedangkan hakikatnya ia akan mengambil masa sebelum vaksin boleh diagihkan ke seluruh pelosok dunia dan jangkitan COVID-19 semakin berkurangan. 

 

"Dengan melihat kepada lonjakan harga saham beberapa bulan lalu, ia mungkin wujud aktiviti pengambilan keuntungan. Bagaimanapun, saya percaya pasaran belum mencapai kemuncaknya," katanya dalam laporan tersebut.

 

Sementara itu, Inter-Pacific Research Sdn. Bhd. dalam nota kajiannya berkata, selepas melonjak lebih kukuh di luar jangkaan, aktiviti pengambilan untung dijangka berterusan menjelang hujung minggu. 

 

"Buat masa ini, kami melihat indeks utama akan berlegar sekitar 1,600 hingga 1,610 mata manakala paras rintangan antara 1,636 dan 1,650 mata," katanya.

 

Di peringkat domestik pula, ketidaktentuan politik kembali mencuri perhatian apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya yang diusulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

 

Daripada 59 ADUN, hanya 10 yang menyokong manakala 48 lagi membantah dan satu undi rosak dalam undi belah bahagi yang ditetapkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid. - DagangNews.com