Pavilion Malaysia Expo 2020 Dubai buka ruang pasaran global | DagangNews Skip to main content

Pavilion Malaysia Expo 2020 Dubai buka ruang pasaran global

 Pavilion Malaysia Expo 2020 Dubai

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Pavilion Malaysia yang dijalankan bersempena dengan Expo 2020 Dubai membuka peluang dan ruang kepada syarikat tempatan untuk memasuki pasaran di peringkat global.

 

Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) berkata, ruang tersebut disediakan melalui program perniagaan mingguan yang telah disusun dan dirancang untuk acara global.

 

"Pavilion Malaysia akan menganjurkan 26 program perniagaan tematik secara mingguan semasa expo berkenaan dan syarikat boleh mengambil bahagian dalam pameran, sesi padanan perniagaan, forum dan perbincangan secara percuma. Terdapat juga 200 bilik pameran percuma untuk syarikat.

 

"Syarikat yang tergolong dalam penghasilan produk dan perkhidmatan teknologi hijau boleh mendapatkan lebih banyak maklumat dengan mendaftar di virtual.igem.my dan kunjungi Pavilion Malaysia di Dewan Antarabangsa Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau serta Produk Eco Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2020 yang dijalankan secara maya," kata MGTC dalam satu kenyataan.

 

 Pavilion Malaysia Expo 2020 Dubai

 

Pavilion Malaysia dijadual berlangsung pada 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022, manakala IGEM akan dilancarkan pada 19 hingga 23 Oktober 2020.

 

Penglibatan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai dikendalikan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang turut disokong oleh MGTC sebagai penganjur bersama IGEM 2020 dan agensi pelaksana.

 

Mengulas berkaitan dengan IGEM 2020, Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd. Nor berkata, IGEM 2020 merupakan platform terbaik bagi Malaysia untuk mempromosikan penyertaan negara di expo berkenaan.

 

"MGTC 2020 menyediakan lebih 100 bilik pameran dari 22 negara dengan sasaran kehadiran seramai 10,000 pengunjung.

 

"Kami mahu menarik syarikat yang ingin mengembangkan perniagaan dan eksport mereka untuk menjadi sebahagian daripada delegasi perniagaan kami di Expo 2020 Dubai.

 

 Pavilion Malaysia Expo 2020 Dubai

 

"Ini termasuk syarikat pengeluar produk dan perkhidmatan hijau yang dapat menyertai empat program mingguan dengan MGTC iaitu Minggu Pembinaan dan Infrastruktur Lestari, Minggu Produk dan Perkhidmatan Eko, Minggu Bandar Berdaya Tahan, Pintar dan Rendah Karbon serta Minggu Ekonomi Pusingan," jelas beliau.

 

Shamsul yang juga Pengarah Projek Pavilion Malaysia berkata, Malaysia mensasarkan lebih daripada 200 syarikat tempatan untuk menjadi sebahagian daripada delegasi perniagaan program mingguan yang diadakan di Pavilion dan lain-lain lokasi di Dubai.

 

"Kami akan membawa yang terbaik dari industri lestari kami ke Expo 2020 di mana kami juga akan mempamerkan budaya, warisan dan masakan Malaysia kepada pengunjung.

 

"Ia akan menjadi acara tanpa henti dari perbincangan perniagaan dan perdagangan yang serius, rangkaian, dialog mengenai isu kelestarian, pameran dan persembahan menarik di Pavilion Malaysia yang bertemakan 'Energizing Sustainability'," ujarnya lagi. - DagangNews.com