Pekerja di kawasan PKPB perlu kerja dari rumah bermula 22 Oktober 2020 | DagangNews Skip to main content

Pekerja di kawasan PKPB perlu kerja dari rumah bermula 22 Oktober 2020


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju agar pekerja bagi sektor awam dan swasta di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak perlu untuk hadir ke pejabat dan hanya bekerja dari rumah (Work From Home). 

Pekerja ini melibatkan di peringkat pengurusan dan pengawasan serta pelaksanaan akan bermula 22 Oktober 2020 sehingga PKPB tamat.

Langkah itu diambil selepas KKM mengumumkan terdapat sembilan kluster dari tempat kerja di negeri Selangor sehingga hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melihat kepada trend peningkatan kes positif COVID-19 di negeri dan wilayah-wilayah itu, terdapat keperluan bagi memperketatkan kawalan aktiviti pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan berkenaan.

 

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

 

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga memaklumkan bahawa hampir 800,000 pekerja sektor industri dari Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah akan terlibat dengan arahan ini. 

“Arahan ini juga akan melibatkan seramai hampir 200,000 penjawat awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini. 

Walaubagaimanapun, terdapat pengecualian bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti bahagian yang terlibat dalam urusan kewangan yang membuat bayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan.

Dalam pada itu, pihak majikan diarah untuk mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang terpaksa bekerja di pejabat sepanjang tempoh ini. 

“MITI akan mengeluarkan kenyataan media berkenaan arahan ini dalam masa terdekat. 

“Pekerja yang tinggal di kawasan zon merah perlu melakukan swab test dan jika pihak majikan mencarum dengan PERKESO, kos akan ditanggung,” tambah Ismail Sabri. - DagangNews.com